Akhirnya konsert 'Gelombang Bahagiaku' menyatukan ibu dan anak, Salamiah Hassan dan Atilia Haron di pentas yang sama.

Oleh: Khadijah Ibrahim

MELIHATKAN sambutan hangat yang diberikan oleh penonton untuk konsert ‘Gelombang Bahagiaku’, Atilia Haron tidak dapat menyembunyikan rasa terharunya kerana sudah lama beliau idamkan untuk menjayakan persembahan bersama ibu tercinta, Salamiah Hassan di pentas yang sama.

Bagi Atilia, 51, konsert yang berlangsung di Plenary Theatre, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), pada 16 Ogos lalu merupakan impiannya yang menjadi kenyataan.

“Sejak kecil, saya ingin menjadi seperti mama. Dapat berkongsi pentas bersamanya, di hadapan penonton yang penuh… it’s surreal. Projek ini bukan mudah kerana kami bermula tanpa penaja, tetapi berkat sokongan rakan-rakan dan keluarga, ia menjadi malam yang tidak akan saya lupakan,” kata Atilia terharu.

Salamiah, 74, pula menyifatkan malam itu sebagai momen berharga dalam kariernya yang kini memasuki tahun ke-55.

“Menyanyi bersama anak saya sepanjang konsert ini adalah hadiah paling indah. Saya gembira, sangat bersyukur, dan berharap kami dapat melakukan lebih banyak konsert bersama nanti,” luahnya dengan penuh rasa.

Konsert anjuran Mujik Wand Production itu mencatat kejayaan luar biasa apabila tiket terjual habis, disambut meriah oleh penonton yang terpesona dari lagu pertama hingga penutup.

Persembahan pada malam itu dimulakan dengan lagu “No Fruits For Today” oleh Atilia, diikuti rangkaian lagu seperti “Old Love”, “Rekah”, medley “Bodoh” dan “Cinta Sampai Mati” serta kolaborasi penuh energi dengan MonoloQue menerusi “Kekanda Adinda”.

Atilia turut mempersembahkan “Bahagiaku” bersama pemuzik Jason Voo dengan “Salah Sangka”, “Sangkar”, “Sudah” dan “Selagi”.

Salamiah dan Atilia berharap ada ruang untuk mereka berkolaborasi lagi di masa akan datang.

Manakala, Salamiah pula memukau penonton dengan pelbagai genre muzik daripada lagu “I’m So Excited” ke balada “Surat Terakhir”, medley “Miang Miang Keladi”m “Kau Dan Alasanmu”, “Antara Dua Kasih”, jazz klasik “Frim Fram Sauce”, duet romantis bersama Hardy Arbi dalam “Berdebar-Debar Rasa Hati”, hinggalah ke “Kenang Daku Dalam Doamu”.

Kehadiran Mimifly menambah warna persembahan pada malam itu, menerusi medley “Sahabat” dan “Angkat”, sebelum Salamiah kembali dengan rangkaian lagu seperti “Superstar”, “Semut Semut Di Titian Usang”, “Menghitung Hari”, “If You Go Away” dan lagu wajib “Gelombang”.

Persembahan penutup tirai disudahi dengan duet sulung ibu dan anak iaitu “Age Is Just The Number” yang mendapat sambutan hangat, dan persembahan istimewa lagu klasik “Empat Dara” bersama Mimifly serta Elvira Arul, membuat seluruh dewan berdiri dengan tepukan gemuruh.

“Bila kami berpandangan sambil menyanyi, saya rasa macam dunia terhenti sekejap. Momen itu yang saya tunggu-tunggu,” kata Atilia.

Sementara Salamiah pula berkata, tatkala mereka berduet, beliau dapat melihat di mata Atilia yang penuh semangat dan kasih. Senario itu membuatkan beliau merasakan itulah kebahagiaan sebenar baginya.

Sebagai seorang legenda, Salamiah juga memberi kata semangat kepada generasi baharu.

“Penyanyi muda sekarang hebat-hebat, buat lagu sendiri, belajar vokal. Saya yang sudah 55 tahun dalam industri ini pun masih lagi belajar. Kerana seni itu satu perjalanan tanpa henti,” katanya merendah diri.

Selain nyanyian yang memukau, suasana konsert turut dihangatkan dengan sambutan positif dari penonton yang hadir. Merchandise seperti t-shirt konsert yang dicetak khas sebanyak 100 helai habis terjual.

“Ini kali pertama kami membuat merchandise sendiri. Seronok apabila melihat peminat memakai baju konsert sambil bergambar dengan kami,” kata Atilia sambil tersenyum.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here