Oleh: Khadijah Ibrahim
JARANGLAH nak dengar cerita sensasi atau gimik murahan tentang pelakon atau dramatis popular Noorkhiriah Ahmad Shapie sejak dia mencebur diri dalam bidang lakonan sejak 1997.
Tanpa publisiti murahan, namanya tetap tersohor kerana pelakon, pelawak dan pengacara yang berusia 47 tahun itu ‘menjual dirinya’ dengan bakat seni yang dimiliki dan diserikan lagi dengan peribadi yang disenangi ramai.
Anak seni yang berasal dari Raub, Pahang itu sebelum ini ‘dibenci’ penonton drama kerana wataknya sebagai Aisyah dalam drama bersiri “Nur” dan “Nur 2”, sebagai isteri kepada Ustaz Syed Hamadi, lakonan Azhan Rani.

“Tak sangka lakonan saya sebagai Aisyah meninggalkan kesan besar kepada penonton sehingga dikecam teruk di media sosial. Walaupun dikecam teruk, saya tak kisah kerana watak itu memberi peluang kepada saya untuk mencuba sesuatu yang baharu.
“Sesungguhnya, saya gembira kerana drama “Nur” mendapat sambutan hangat kerana drama arahan Sharulezad Mohameddin itu secara tidak langsung dapat berdakwah kepada orang ramai. Mesej yang dapat kita pelajari daripada drama itu adalah jangan menilai orang dari luaran yang penting hati bersih,” ujarnya dalam satu temu bual sebelum ini.
Penjiwaan watak yang dibawa oleh Noorkhiriah bukan setakat dalam drama itu sahaja, baru-baru ini dia turut membuat jiwa penonton resah tatkala muncul sebagai Nor dalam drama “Seribu Tahun” arahan Shahrulezad Mohameddin.
Menerusi drama 24 episod itu, penampilan Noorkhiriah sebagai Nor sempat dikecam oleh warganet kerana dia dilihat melakonkan babak bersentuhan walaupun berlapik dengan Azhan Rani.

Tidak mudah melatah, kata Nookhiriah sebagai manusia biasa, dia tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan, meskipun sentiasa cuba menjaga batasan ketika di set penggambaran.
“Saya tahu batasannya tapi kadang-kadang apabila terlalu menjiwai watak, akan ‘terbabas’ juga. Selalunya sebelum penggambaran, memang mereka (kru) akan minta izin. Sebelum ini, produksi sangat menjaga dan hormat dengan pendirian saya.
“Kalau ada babak tidak sesuai, mereka tidak akan keluarkan. Saya sangat terharu. Sebenarnya, bukan sentuh kulit pun, tetapi sentuh bahagian atas tapak tangan yang dilapisi stokin tangan. Tetapi, perkara sudah terjadi, saya kena terimalah. Kalau ada yang tidak berkenan, saya minta maaf,” katanya terbuka menerima teguran tapi perlu berlapik.

Bagaimanapun ibu kepada tiga orang anak (seorang anak angkat) tersebut bersyukur kerana suaminya, Azfaizul Ahtan sentiasa menyokong kerjaya seninya dan justeru itu jugalah, Noorkhiriah sanggup menjiwai watak Nor dalam satu babak yang sukar dilupakannya.
Untuk melakonkan adegan berbaring dalam liang lahad menerusi drama “Seribu Tahun”, Noorkhiriah berkongsi pengalamannya itu menerusi Instagram dan menganggap kenangan itu sebagai hadiah dan tanda kasih sayang Allah menjelang ulang tahun kelahirannya, pada 11 April lalu.
“Sampai sahaja di kubur, air mata saya tidak berhenti. Ya Allah, satu sahaja pesan saya, jangan tinggal solat walau sejahat manapun diri kita jika ada rasa sayang dalam diri.
“Terima kasih Allah memberikan hadiah cukup besar, Allah izinkan saya masuk ke dalam liang lahad dua hari sebelum ulang tahun kelahiran. Waktu hari lahir, suami hadiahkan kain kafan. Dosa banyak sampai Allah bagi nikmat ini, momen ini mahal,” kongsinya menerusi sebuah video di Instagram.


Sementara itu, video tersebut terus mencuri perhatian ramai dan rata-rata penonton memuji komitmen ditunjukkan Noorkhiriah bagi menjayakan watak Nor. Malah ada netizen yang memberi komen supaya mengangkat Noorkhiriah sebagai pelakon terbaik 2025.
Sepanjang pembabitannya sebagai anak seni, Noorkhiriah telah memenangni beberapa anugerah antaranya, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Drama) di Anugerah Skrin 2007 untuk drama “Nek Kiah”, Pelakon Wanita Terbaik (Drama) Anugerah Skrin 2010, Pelakon TV Komedi Terbaik (Telefilem) di Anugerah Seri Angkasa 2022 dan Artis Komedi Wanita Popular untuk Anugerah Bintang Popular Berita Harian, tiga kali berturut-turut pada edisi 2009 – 2011.
Noorkhiriah bukan sahaja laris sebagai pelakon drama, dia juga sering mendapat tawaran untuk berlakon filem selepas muncul sebagai Orked dalam filem pertamanya, “Rabun” pada 2003.
Lain-lain filem lakonannya adalah “Gubra” (2006), “Mukhsin” (2007), “Papadom” (2009) dan “Papadom 2” (2013). Manakala drama lakonan Noorkhiriah, antaranya, “Emil Emilda” (2006), “Sindarela” (2008), “Duri Di Hati” (2013) dan “Khunsa” (2004).

Pertubuhan Amal Nur By Khiriah
Mulianya hati anak seni yang kalau diusik pasti melatah itu kerana menubuhkan Pertubuhan Amal Nur By Khiriah untuk memberi bantuan berupa pengurusan jenazah secara percuma kepada orang yang memerlukan dan pengebumian jenazah tiada waris yang tidak dituntut.
“Bab meninggal dunia ini bukan perniagaan tetapi fardu kifayah. Nak cakap lebih saya pun tak tahu, tapi nak maklumkan bahawa pertubuhan ini percuma untuk semua tidak mengira bangsa selagi beragama Islam.
“Meninggal dunia, sakit apa pun team akan bantu. Kita bersaudara. Terima kasih kepada yang menyumbang seikhlas hati semampu dan seadanya. Alhamdulillah terima kasih doakan usaha ini dipermudahkan Allah,” katanya yang menggubah kereta miliknya iaitu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Hyundai Starex yang diubah menjadi van jenazah.
Sebelum van tersebut terbabit dalam kebakaran pada 27 Februari 2024, kata Noorkhiriah kenderaan tersebut telah menghantar lebih kurang 100 jenazah. Meskipun rasa sedih dengan kejadian itu, dia tetap reda dan menganggap ada hikmah di sebaliknya.
“Saya tak kaya tapi sebelum meninggal dunia saya nak tinggalkan sesuatu buat semua. Semoga kita istiqamah dalam perjuangan diri sendiri, amin,” coretnya di media sosial dan baru-baru ini, Noorkhiriah berada di Negara Matahari Terbit bagi menjalani penggambaran program “Epic Redah Jepun” sebanyak 12 episod.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.









