Bakal datang lagi ke Malaysia untuk menjayakan konsert Bunga Citra Lestari pada 27 September ini.

Oleh: Khadijah Ibrahim

SEWAKTU bertandang ke Malaysia baru-baru ini (3 – 5 Ogos) untuk mempromosi single sulung berjudul “Tahta Hatiku #Pendampingmu” dan menjadi artis jemputan untuk acara Anugerah Meodi Terhangat 2025, Fajar Noor menyatakan yang dia seronok berada di Malaysia.

Fajar, 21, yang pertama kali berkunjung ke sini rasa terharu kerana kehadirannya diterima ramai dan tak sangka Malaysia begitu indah sekali.

“Senang banget bisa hadir di Malaysia dan tak sangka Malaysia seindah itu. Enggak mau pulang rasanya mau stay di sini saja,” katanya tanpa berselindung.

Tidak dinafikan kehadiran pemenang kedua Indonesian Idol musim ke-13, itu mendapat sokongan peminat di Malaysia kerana ramai sudah jatuh hati dengannya, gara-gara lagu “Putri Iklan” yang dinyanyikan itu.

Sebelum Fajar hadir ke sini untuk mempromosi single “Tahta Hatiku #Pendampingmu”, pihak media yang hadir ke sidang media Bunga Citra Lestari (BCL) pada 14 Julai lalu, telah mencadangkan nama Fajar kepada penyanyi tersebut untuk dibawa ke konsert BCL: Eternal Love – Timeless Romance pada 27 September ini di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).

Bersama orang besar Universal Music Malaysia yang telah mengatur beberapa aktiviti sepanjang Fajar Noor berada di Malaysia.

Ternyata BCL dan penganjur konsertnya, Pulse Project Asia tidak menghampakan permintaan peminat Malaysia dan akhirnya Fajar diumumkan sebagai salah seorang penyanyi yang bakal memeriahkan konsert BCL selain Dennis Lau (pemain violin) dan Jaclyn Victor.

Fajar atau nama lengkapnya, Fajar Nurdiansyan, mengakui yang dia tidak jangka bakal menduduki tempat kedua dalam pertandingan Indonesian Idol ke-13 kerana sebelum itu dia juga pernah menyertai program realiti X Factor Indonesia musim keempat (2023) tapi rezeki tidak memihak kepadanya.

“Aku tak pernah terfikir untuk menjadi naib juara kerana sejak awal sertai Indonesian Idol aku tak pernah target apa pun sebab sebelum itu aku sudah pernah gagal.

“Bagi aku menyertai Indonesian Idol adalah salah satu program pertandingan TV terbaik di Indonesia jadi menurut aku, saat itu mesti sangat susah. Sepanjang tempoh pertandingan, aku selalu bertanya pada diri, adakah aku mampu melakukannya atau tidak. Kebimbangan tetap ada dalam diri aku.

“Apapun, aku selalu percaya kepada rezeki dan tidak pernah memikir atau mengukur diri aku dengan orang lain. Bagi aku nothing to lose, apa pun yang terjadi dan risikonya itu yang terbaik buat aku,” jelas anak muda yang berasal dari Medan, Sumatera Utara, Indonesia itu.

Malah kerana kejayaannya di program tersebut, Fajar berpeluang datang ke Malaysia untuk mempromosi lagu ciptaan komposer terkenal Indonesia, Yovie Widianto dan lirik oleh Arsy Widianto itu.

Single “Tahta Hatiku #Pendampingmu” membawa mesej mendalam mengenai cinta yang ikhlas yang mana memilih untuk terus mendampingi insan tercinta, meskipun tidak memiliki sepenuhnya.

Menurut Fajar, dengan kekuatan lirik yang emosional menjadikan lagu tersebut menyentuh hati pendengar segenap usia.

“Lagu ini mengenai mencintai dalam diam. Kadang, kita tak selalu dapat bersama orang yang kita sayang, tapi kita tetap ada untuk mereka. Aku percaya ramai orang pernah melalui perasaan itu,” katanya.

Menurutnya lagi, mesej yang disampaikan dalam lagu ini juga mencerminkan sisi peribadinya yang tidak begitu gemar mengekspresikan cinta secara terbuka, sebaliknya melalui karya dan nyanyian.

Fajar Noor tak sangka kehadirannya di Malaysia disambut baik oleh peminat tempatan.

“Sebagai penyanyi baharu, aku mahu karya aku berbicara lebih kuat daripada kata-kata aku sendiri. Aku tak menyangka sambutan lagu ini begitu positif di Indonesia, dan aku harap ia turut mendapat tempat di hati rakyat Malaysia,” katanya yang merupakan penuntut Fakulti Pertanian Universitas Al Washliyah (UNIVA), Medan, jurusan agroteknologi.

Kunjungan promosi ini turut menjadi penanda awal langkah Fajar untuk meluaskan empayar muziknya ke pasaran serantau, dengan sokongan penuh daripada Universal Music Malaysia dan peminat yang semakin bertambah di platform media sosial dan penstriman digital.

“Alhamdulillah, bisa datang pertama kali ke Malaysia kerana dulu aku juga sering dengar lagu-lagu dari Malaysia sewaktu kecil, macam lagu Datuk Siti Nurhaliza. Aku senang banget bisa datang ke Malaysia, ini satu pengalaman terbaik kepada aku. Ya, aku terkejut kerana ada peminat di Malaysia.

“Aku ingin membina hubungan yang kuat dengan peminat di Malaysia. Ini baru permulaan. Aku pasti akan kembali dengan lebih banyak lagu dan persembahan selepas ini,” ujarnya.

Meskipun kehidupannya sudah berubah, Fajar masih tetap berpijak di bumi nyata. Sebagai anak tunggal, Fajar yang sebelum ini lebih cenderung sebagai pemain midfield pasukan bola sepak berkata, setiap rezeki yang diperolehi akan dikongsikan dengan kedua ibu bapanya.

“Sekarang aku sudah bisa memberi orang tua setiap kali aku dapat job. Aku selalu beri wang kepada mereka. Dalam apa hal, aku lebih memikirin orang tua kerana aku adalah anak tunggal. Cuma aku yang bisa membahagiakan mereka.

“Jadi untuk sekarang aku lebih fokus kepada orang tua. Kalau orang tua hanya cakap, tak apa-apa mungkin itu perjalanan yang harus dijalani. Lewati aja badainya semoga ke depan bisa diterima dengan lebih baik,” kongsi Fajar tentang penerimaan ibu bapanya tatkala namanya terkait gosip bersama Shabrina Leanor, juara Indonesian Idol ke-13 itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here