Oleh: Khadijah Ibrahim
DALAM tempoh dua minggu, stesen radio Suria FM kehilangan dua orang penyampai iaitu Datuk Fizz Fairuz, 46, dan Suraya Borhan, 43 tahun.
Fizz Fairuz atau mesra dengan panggilan Tok Fizz di saluran radio tersebut yang memulakan tugasan sebagai penyampai di Suria FM bermula 21 Januari 2024. menamatkan perkhidmatannya sebagai penyampai radio untuk segmen Morning Morning Suria pada 18 Julai lalu.
Menurut Tok Fizz, dia tidak menyambung kontrak kerana mahu memberi tumpuan kepada keluarga dan anak-anak kerana kasihan melihat isteri, Datin Almy Nadioa terpaksa menguruskan anak-anak seorang diri.

Manakala Suraya pula yang mula bertugas di Suria FM pada 2016 memberi notis penamatan perkhidmatannya sebagai penyampai untuk segmen Suria Petang bersama Chiwan itu pada 1 Ogos baru-baru ini.
Dalam tempoh sembilan tahun berkhidmat di stesen tersebut, Suraya sentiasa memperlihatkan komitmen dan profesionalisme yang tinggi, menjadi inspirasi kepada rakan sekerja di Suria FM.
Pertukaran penyampai di sesebuah stesen radio adalah perkara biasa, namun program tetap diteruskan kerana setiap stesen ada pendengar setia yang tersendiri.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.









