Oleh: Khadijah Ibrahim
MUNGKIN ada di kalangan pendengar muzik baru mengenali nama komposer Ade Govinda yang berasal dari Indonesia itu selepas terpesona dengan lagu “Masing-Masing” dendangan Ernie Zakrie yang mendapat sambutan hangat di Malaysia dan negara jiran itu.
Malah karya tersebut dipilih sebagai ‘Lagu Paling Boom Popular’ di Anugerah Bintang Popular 2024 dan dinobatkan sebagai pemenang untuk ‘Sondtrack Sinetron Paling Ngetop’ di Indonesia untuk drama ‘Luka Cinta’ sempena SCTV Awards 2024.
Sebelum mencipta lagu untuk Ernie, Ade yang juga pemain gitar utama untuk kumpulan Govinda terlebih dahulu menembusi pasaran muzik tempatan menerusi lagu “Terbaik Bagimu”, “Engkau”, dan “Tak Pernah Ragu” dendangan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang dimuatkan dalam album “Fragmen” pada 2014.
Sekali lagi Ade atau nama lengkapnya, Ade Nurulianto, 41, kembali berkolaborasi dengan penyanyi nombor satu negara itu menerusi lagu “Menamakanmu Cinta”.
Single terbaharu hasil kolaborasi dua sosok yang terkenal di negara masing-masing itu, merupakan lagu cinta yang penuh emosi dan dijangka akan menjadi pilihan ramai untuk penggemar muzik di Malaysia, Indonesia, dan seluruh pencinta muzik di mana pun.
Siti Nurhaliza melahirkan rasa syukurnya kerana dapat kembali bekerjasama dengan Ade setelah sekian lama.

“Sejujurnya saya senang sekali dapat kembali berkolaborasi dengan Ade Govinda setelah lagu “Terbaik Bagimu”, “Engkau”, dan “Tak Pernah Ragu” di album sebelumnya. “Menamakanmu Cinta” adalah lagu yang sangat indah, sangat khas dengan sentuhan Ade yang selalu mampu menciptakan lagu-lagu hits masa kini.
“Harapan saya, semoga single terbaharu ini dapat diterima dengan baik oleh para penggemar di Malaysia, Indonesia, maupun di mana saja,” ujar Siti Nurhaliza.
Tambahnya, lagu tersebut merupakan sebuah karya yang membawa pesan positif dalam menghargai orang-orang tercinta.
“Saya berharap lagu ini boleh dinikmati oleh semua pendengar, dan menjadi lagu cinta yang menyatukan kenangan serta perasaan mereka yang menghargai cinta dalam kehidupan.
“Lagu ini dibuat dengan penuh perasaan dan harapan, dengan setiap liriknya mencerminkan keindahan cinta sejati. Semoga para pendengar mampu merasakan perjalanan emosional melalui setiap nada dan melodi yang disajikan,” ujarnya.

Sementara itu, Ade Govinda, selaku penulis lagu sekali gus produser, mengungkapkan bahawa pengalaman bekerjasama dengan Siti Nurhaliza kali ini terasa sangat istimewa.
“Idea awal lagu ini muncul kerana saya ingin menciptakan lagu cinta yang bisa dinyanyikan di setiap pernikahan oleh siapa saja yang sedang berbahagia. Proses bekerja dengan Datuk Seri Siti sangat cepat, menyenangkan, dan saya bisa mengeksplorasi vokalnya secara luar biasa dalam waktu yang singkat,” kata Ade Govinda.
Ade yang sebelum ini mencipta lagu untuk Fazura iaitu “Luar Biasa” dan “Lebih Indah Berpisah” buat Bella Astillah turut berkongsi kenangan manis bersama Siti Nurhaliza selama proses rakaman di studio.
“Datuk Seri Siti, seperti biasa, selalu perhatian kepada semua orang. Saat sesi rakaman, beliau pasti membawa banyak makanan. Suasana rakaman sangat santai namun tetap profesional, sehingga saya merasa bebas untuk mengeksplorasi kreativitas,” jelasnya.
Terkait harapannya terhadap lagu ini, Ade Govinda menyampaikan bahawa “Menamakanmu Cinta” diharapkan dapat menjadi lagu tema bagi pasangan yang sedang jatuh cinta.
“Saya berharap “Menamakanmu Cinta” bisa menjadi soundtrack kehidupan bagi siapa pun yang sedang jatuh cinta. Lagu ini bukan sekadar melodi atau lirik, tetapi juga merupakan ungkapan perasaan yang mampu menyentuh jiwa dan menggambarkan kedalaman emosi antar pasangan.
“Semoga lagu ini bisa membangkitkan kenangan manis dan momen-momen berharga dalam perjalanan cinta mereka, serta menjadi pengiring setia di setiap detik kebahagiaan yang mereka jalani bersama,” katanya penuh harapan.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.









