Oleh : Nafsiah Jani
Foto : Ehsan Adilla Idris/Koleksi Syed Wafa
19 Julai ini (Sabtu) secara rasminya penyanyi versatile irama keroncong, Adilla Idris bakal bergelar mak mentua. Anak sulongnya, Tengku Indra Iskandar dan Elliya Athila akan disatukan dalam sebuah majlis perkahwinan yang gilang-gemilang bersama tetamu dan keluarga daripada kedua belah pihak pengantin di Shah Alam.
Kata Adilla Idris atau nama sebenarnya, Fadzilah Idris,“Dulu masa anak-anak kecik, kita raikan majlis harijadi anak, bila dah besar nak raikan majlis perkahwinan mereka pula. Memanglah sedih juga rasa…nak` berpisah’ dengan anak, anak dah besar nak ada keluarga sendiri dan berdebar pula rasanya nak jadi mak mentua.

“Satu pengalaman berbeza bila buat persiapan sendiri…sangat menenatkan sebab semua persiapan saya yang buat. Dari cari baju pengantin, door gift, katering dan dewan. Bila tengok jemputan dari rsvp yang kami buat, berdebar sebab ramai yang nak hadir dan harapan saya agar segalanya dipermudahkan.
“Nak kahwin anak sulong, pasti ramai tertunggu dan nak datang tengok…anak penyanyi Adilla pulak tu. Ini satu pengalaman baru dan selepas ini dah senang nak buat buat majlis anak-anak yang seterusnya.”

Bercerita mengenai perkembangan terbarunya selain daripada menyanyi, Adilla menambah kini dia banyak menghabiskan masa menyanyi secara live dan mengajar kelas aerobik secara live di media Tik Tok.
“Sekarang saya lebih pada mengajar senaman aerobik kat media Tik Tok Live setiap pagi dari jam 8.10 pagi hingga 8.40 pagi setiap hari kecuali hari ahad. Kalau nak tengok saya, pergilah ke akaun media Tik Tok saya, Adila Fitness & Friends. Sejak buat live Tik Tok ini ramai yang minta saya mengajar private class, korporat dan di pejabat.


“Kalau tak sibuk dengan event atau majlis makan malam, saya akan buat live menyanyi di platform Tik Tok. Memang dah ramai artis-artis lama macam saya menyanyi live kat Tik Tok. Inilah cara kami untuk mendekati peminat generasi baru.
“Kebanyakan generasi baru tak begitu mengenali kami, tapi setelah menonton persembahan live saya menyanyi lagu irama keroncong dan lagu-lagu irama Asli, ramai anak-anak muda semakin mengenali sebagai Kak Adel atau kak Adilla. Melalui platform ini Kak Adel boleh jadi ‘versatile’. Dahulu Kak Adel dikenali dengan irama keroncong, tetapi melalui platform Tik Tok, Kak Adel boleh menyanyikan apa sahaja lagu.”
Sejak aktif menyanyi di platform Tik Tok ini kini diri Adilla semakin dikenali dan buktinya persembahannya, Showcase A Mesmerising Nite With Adilla 2.0 pada Disember lalu mendapat sambutan menggalakkan.

“Showcase ini bukannya showcase besar tapi artis lama macam saya selalunya nak dapatkan 100 orang penonton pun susah. Tapi Alhamdulillah masa showcase tu lebih 100 orang yang datang termasuk keluarga, kawan-kawan dan peminat dari tik tok serta facebook.
“Bila dapat sambutan macam itu, saya rasa teruja nak buat lagi showcase. Kalau ada rezeki mungkin tahun ini ataupun awal tahun depan, saya akan buat showcase lagi…Insya-Allah,” kata anak kelahiran Johor ini.
Kini Adilla bahagia bersama suami tercinta Tengku Ngah Putra serta anak-anaknya, Tengku Indra Iskandar27,, Tengku Indra Muzaffar, 23, (Tengku Prince Affa), Tengku Idrus Zulkarnain,21, dan Tengku Puteri Rania, 17.

Bercakap mengenai anak-anaknya,“Dulu ada juga anak kedua saya, Prince Affa yang ikut jejak saya dan sempat lahirkan sebuah single, Lafazkan Cinta ketika berusia 17 tahun. Namun sejak dah besar dan bekerja ini, minatnya semakin berkurangan. Begitu juga dengan satu-satunya anak perempuan saya Puteri Rania yang nampaknya ada bakat menyanyi dan menari
“Sebagai ibu saya tak akan menghalang anak-anak saya buat apa yang mereka minati. Sebagai ibu saya akan memberi sokongan moral daripada belakang.”
Adilla menceburi bidang seni pada tahun 1992 dan digelar Ratu Keroncong kerana irama yang diperjuangkannya. Bakat Adilla diketengahkan abangnya, komposer dan pemain saksofon terkenal, Jari. Tamat saja persekolahan, Adilla mengikut Jari ke Kuala Lumpur dan Adilla telah dilamar syarikat rakaman Suara Cipta Sempurna (SCS) sebagai artis rakaman.

Ketika remaja, Adilla sering mengikuti ayahnya ke majlis persembahan muzik dan ayahnya juga banyak mengajar tentang selok-belok ilmu nyanyian sebelum diberi kepercayaan melakukan persembahan dan mengikuti pelbagai pertandingan nyanyian di sekitar Johor Bahru.
Dirinya pernah mendapat liputan yang meluas dari media setelah terpilih sebagai finalis Anugerah Juara Lagu (AJL-1994) mengantikan Kumpulan Iklim menerusi lagu, Bukan Aku Tak Cinta (yang turut dirakamkan semula oleh Adilla dalam bentuk akustik keroncong) dan layak ke AJL 1996 menerusi lagunya sendiri berjudul, Janji Seorang Kekasih.
Walaupun gagal mendapatkan sebarang kemenangan namun pencalonan tersebut sedikit sebanyak berjaya meletakkan nama Adilla setanding dengan penyanyi-penyanyi popular lain yang ada pada ketika itu.
Sepanjang penglibatannya, Adilla pernah tampil dengan album Medley Popular 94 (1994), Pelangi Kasih (1996), 5 Ratu Dalam Pesta Dangdut (1997), Puncak Yang Satu (2002) dan Rock Keroncong (2010).

Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita dan Saji terbitan Utusan Karya.









