Oleh: Nury Kadir
Sewaktu hendak meminjam manisnya mulut, ibaratnya boleh kena kencing manis tahap ‘jingga’. Bila sampai masa yang dijanjikan untuk balik bayar hutang,berdesup lari macam syaitan dengar azan.
Hendak tahu macam mana syaitan lari apabila dengar azan, ia diterangkan dalam hadis riwayat al-Bukhari. Rasulullah SAW bersabda, maksudnya; “Apabila panggilan solat (azan dikumandangkan maka syaitan akan lari sambil terkentut-kentut hingga dia tidak mendengar azan lagi.”
Hutang tetap hutang, walaupun anda lari sampai terkentut-kentut hingga ke hujung dunia, hutang tetap kena bayar. Betapa pentingnya hutang itu perlu dibayar telah Rasulullah SAW sebut di dalam hadis. Setiap hutang perlu dicatat dengan sempurna untuk memudahkan urusan dan bukan sekadar janji manis.
Ia bukan aturan manusia tetapi itu adalah perintah yang Allah SWT tetapkan. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 282.
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا تَدَايَنتُم بِدَيْنٍ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى فَاكْتُبُوهُ ۚ وَلْيَكْتُب بَّيْنَكُمْ كَاتِبٌ بِالْعَدْلِ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang- piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar).
Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, hutang adalah satu amanah yang wajib ditunaikan dengan secara adil dan hukum untuk melangsaikannya sebagai satu akad antara sesama manusia adalah wajib, ini seperti disebutkan di dalam al-Quran:
إِنَّ اللَّـهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ ۚ
Maksudnya: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. (Surah al- : 58)
Allah berfirman dalam surah al-Maidah ayat 1:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ ۚ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian.”
Seperti mana yang dicatatkan dalam www.muftiwp.gov.my., terdapat banyak hadis yang menerangkan ancaman terhadap golongan yang lari daripada hutang dan tidak berusaha untuk melunaskan hutang.
Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ أَخَذَ أَمْوَالَ النَّاسَ يُرِيدُ أَداءَهَا أَدَّى اللهُ عَنْهُ وَ مَنْ أَخَذَ يُرِيدُ إِتْلَافَهَا أَتْلَفَهُ اللهُ
Maksudnya: Barangsiapa yang mengambil harta manusia (berhutang) dengan niat untuk membayarnya semula, maka Allah SWT akan menunaikannya untuknya. Barangsiapa yang mengambil harta manusia (berhutang) dengan niat untuk menghabiskannya tanpa membayar balik, maka Allah SWT akan membinasakan dirinya. (HR al-Bukhari)
Rasulullah SAW juga bersabda:
أيُّما رجلٍ يَدَّينُ دَينًا وهو مجمعٌ أن لا يوفِّيه إيَّاه لقي اللهَ سارِقًا
Maksudnya: Sesiapa sahaja yang berhutang lalu berniat untuk tidak mahu melunaskannya, maka dia akan bertemu Allah (pada hari Kiamat) sebagai seorang pencuri. (HR Ibn Majah)

Disamping itu, hutang akan dibayar kepada si pemiutang dengan pahala amal kebajikan si penghutang di akhirat kelak. Rasulullah SAW bersabda:
وَ مَنْ مَاتَ وَ عَلَيْهِ دَيْنٌ فَلَيْسَ ثَمَّ دِينَارٌ وَلَا دِرْهَمٌ وَلَكِنَّهَا الحَسَنَاتُ وَ السَيِّئَاتُ
Maksudnya: Barangsiapa yang mati dalam keadaan masih memiliki hutang, maka di hari Akhirat tidak ada lagi urusan dinar dan dirham, yang ada hanyalah urusan berkaitan pahala kebaikan dan dosa kemaksiatan. (HR Abu Daud)
Jiwa orang yang berhutang akan tergantung selagimana dia tidak melunaskan hutangnya terlebih dahulu. Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW:
نَفْسُ المُؤمِنِ مُعَلّقَةٌ بِدَيْنِه حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ
Maksudnya: Jiwa seorang mukmin tergantung dengan hutangnya sehingga dilunaskan hutang baginya. (HRTarmidzi)
Dosa berhutang tidak terampun kecuali dihalalkan oleh si pemiutang tersebut walaupun mati sebagai mati syahid. Rasulullah SAW bersabda:
يُغْفَرُ لِلشَّهِيدِ كُلُّ ذَنْبٍ إلَّا الدَّيْنَ
Maksudnya: Diampunkan semua dosa bagi orang yang terkorban mati syahid kecuali jika ia mempunyai hutang (kepada manusia). (HR Muslim)
Orang yang berhutang tidak disembahyangkan oleh Rasulullah SAW. Daripada Salamah bin Akwa` RA bahawa dia berkata:
كُنَّا جُلُوسًا عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذْ أُتِيَ بِجَنَازَةٍ فَقَالُوا صَلِّ عَلَيْهَا فَقَالَ هَلْ عَلَيْهِ دَيْنٌ؟ قَالُوا لاَ قَالَ فَهَلْ تَرَكَ شَيْئًا؟، قَالُوا لاَ فَصَلَّى عَلَيْهِ ثُمَّ أُتِيَ بِجَنَازَةٍ أُخْرَى فَقَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ، صَلِّ عَلَيْهَا، قَالَ: هَلْ عَلَيْهِ دَيْنٌ؟ قِيلَ نَعَمْ، قَالَ فَهَلْ تَرَكَ شَيْئًا؟، قَالُوا ثَلاَثَةَ دَنَانِيرَ، فَصَلَّى عَلَيْهَا، ثُمَّ أُتِيَ بِالثَّالِثَةِ، فَقَالُوا صَلِّ عَلَيْهَا، قَالَ هَلْ تَرَكَ شَيْئًا؟، قَالُوا لاَ، قَالَ فَهَلْ عَلَيْهِ دَيْنٌ؟، قَالُوا ثَلاَثَةُ دَنَانِيرَ، قَالَ صَلُّوا عَلَى صَاحِبِكُمْ، قَالَ أَبُو قَتَادَةَ صَلِّ عَلَيْهِ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَعَلَيَّ دَيْنُهُ، فَصَلَّى عَلَيْهِ
Maksudnya: “Pernah suatu ketika kami duduk-duduk bersama Rasulullah SAW, kemudian kami dibawakan sekujur jenazah. Mereka yang membawa jenazah itu memohon kepada Rasulullah SAW: “Mohon disolatkan jenazah ini.” Sabda Rasulullah SAW, “Apakah ke atasnya hutang?” Mereka menjawab, “Tidak”. Rasulullah SAW bersabda, “Apakah dia meninggalkan (mewariskan) sesuatu?” Mereka menjawab, “Tidak”. Lalu Baginda mensolatkan jenazah itu. Kemudian dibawakan jenazah lain dan mereka memohon, “Wahai Pesuruh Allah! Solatkan jenazah ini”. Sabda Rasulullah SAW, “Apakah ke atasnya hutang?” Mereka menjawab, “Ya”. Rasulullah SAW bersabda, “Apakah dia meninggalkan sesuatu?” Mereka menjawab, “Tiga dinar”. Lalu Baginda mensolatkan jenazah itu. Kemudian datang jenazah ketiga. Mereka memohon: “Mohon disolatkan jenazah ini.” Sabda Rasulullah SAW, “Apakah ke atasnya hutang?” Mereka menjawab, “Tiga dinar”. Lalu Baginda bersabda: “Biar kalianlah yang bersolat atas jenazah sahabat kalian ini.” Lalu Abu Qatadah merespon: “Mohon solat ke atas jenazah ini wahai Pesuruh Allah, aku akan menanggung hutangnya.” Lalu Baginda mensolatkan jenazah itu.” (HR al-Bukhari)
Berhutang boleh tetapi suka berhutang adalah penyakit. Sebaik-baiknya adalah mengelakkan diri daripada berhutang jika tidak perlu kecuali jika diyakini mampu untuk membayarnya.
#Ikuti sambungan artikel akan datang doa-doa yang boleh diamalkan agar kita semua terhindar dan dapat melangsaikan segala hutang yang ada#

NURY Kadir, ialah penulis untuk ruangan Agama Ladybosz. Beliau juga adalah bekas editor Majalah Al-Islam.









