Oleh: Khadijah Ibrahim
JIKA anda mengikuti drama bersiri ‘Pabila Dia Tersenyum’ yang ditayang di Viu dan bersimpati dengan karakter Elina, pasti anda juga rasa runut bunyi (OST) “Jahat” sebuah karya yang meruntun jiwa itu sesuai untuk drama arahan Feroz Kader.
Lagu “Jahat” dendangan Wany Hasrita itu bukan sahaja menyentuh hati sesiapa yang mendengarnya, malah penyanyi itu sendiri menganggap lagu itu sekali gus membuka ruang bagi dirinya menyelami sisi lebih dalam sebagai penyanyi.

Bagi Wany Hasrita lagu ciptaan komposer terkenal dari Indonesia seperti Audree Dewangga, David Elsandro, Andre Lizt dan Trakast itu, memberi warna tersendiri dalam keseluruhan karya kerana ia lebih emosional, matang dan penuh penghayatan. Lagu ini juga menyaksikan kolaborasi pertama Wany Hasrita dengan barisan komposer tersebut.
Akui Wany, pemilihan “Jahat” sebagai lagu tema rasmi drama lakonan Amir Ahnaf, Alya Iman dan Adam Lee yang diterbitkan oleh Global Station Sdn. Bhd., itu adalah satu penghormatan besar buat dirinya.

“Saya sangat bersyukur apabila lagu “Jahat” dipilih sebagai OST untuk drama ini. Ia bukan sekadar peluang untuk karya saya didengari, tetapi juga untuk diserap masuk ke dalam cerita yang kuat dan menyentuh hati.
“Saya mahu biarlah lagu ini menyentuh hati ramai pendengar, terutamanya mereka yang pernah berdepan dengan kekecewaan atau terluka dalam perhubungan.
“Lagu ni memang berat dari segi emosi, tetapi saya percaya dalam setiap lagu sedih pun ada keindahan dan kekuatannya tersendiri. Saya berharap ia boleh menjadi ‘peneman’ buat sesiapa yang sedang melalui fasa susah ini,” katanya penuh makna.

Jelas Wany Hasrita, sudah lama beliau menyimpan impian mahu menyanyikan lagu pop balada yang betul-betul ‘galau’ dan tak sangka “Jahat” adalah rezeki untuknya.
“Pertama kali mendengar demo lagu ni, saya terus jatuh hati. Saya mengambil masa sekitar tiga jam sahaja untuk menyiapkan vokalnya. Namun, walaupun prosesnya ringkas, emosi yang dimasukkan dalam setiap bait lagu menuntut sepenuh jiwa dan perasaan,” kata Wany Hasrita.
Beliau juga teruja dapat menyiapkan video muzik untuk lagu “Jahat” kerana ia dihasilkan dengan naratif visual yang melengkapkan maksud lagu.

Video muzik itu menggambarkan seorang wanita yang kelihatan tenang di luar tetapi bergelora di dalam, sekali gus ia menyampaikan perasaan kekeliruan dan kesakitan yang dialami oleh seseorang yang dimanipulasi secara emosi oleh pasangannya.
“Video muzik ini sangat dekat dengan lagu dan maksudnya. Saya tidak perlu ‘acting’ pun sebenarnya, kerana emosi itu memang datang sendiri semasa rakaman video,” katanya.
Drama bersiri “Pabila Dia Tersenyum” merupakan kisah menyentuh jiwa tentang seorang gadis yang dibesarkan dalam suasana keluarga yang penuh rahsia dan tragedi.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.