Saloma Kuala Lumpur mahu berkongsi rezeki dengan waris Allahyarham Saloma .

Oleh: Khadijah Ibrahim

SETIAP kali melalui Jalan Ampang, kita pasti terpandang bangunan Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC) dan bersebelahan dengannya adalah sebuah restoran.

Selepas Restoran Saloma Bistro ditutup, nama baharu bagi lokasi tersebut adalah TheLove MATIC dan terkini dikenali dengan nama Saloma Kuala Lumpur.

Sejak Datin Riza Che Umar selaku Presiden Saloma Kuala Lumpur mengambil alih lokasi tersebut, suasana di restoran tersebut kembali meriah. Penghuni kota menjadikan Saloma Kuala Lumpur sebagai tempat lepak dengan rakan-rakan dan saudara mara sambil menikmati hidangan makanan yang lazat.

Jelas Riza, dari awal pembukaan restoran tersebut, pihaknya mahu mengekalkan penggunaan nama Biduanita Negara Puan Sri Saloma kerana nama tersebut sudah ada dalam peta dunia. Ujarnya, adalah menjadi satu kerugian jika tidak menggunakan nama yang sudah tersohor itu.

Dari kiri, Arzanee Armalie, Riza Che Umar dan suami pada majlis sambutan raya dan penyerahan gratuiti kepada waris Allahyarham Saloma, baru-baru ini.

“Selepas Saloma Bistro sudah ada pelbagai nama tapi kami pilih untuk kekalkan nama Saloma Kuala Lumpur. Waktu itu kami terfikir kalau nak guna nama arwah, sekurang-kurangnya kenalah maklumkan kepada waris.

“Waktu itu kita dapat mencari waris melalui pertolongan Presiden Karyawan, Dato’ Freddie Fernandez iaitu cucu Saloma, Arzanee Armalie dan adiknya, Rozaidie Armali.

“Arzanee dan Rozaidie bagi sokongan dan tak ada masalah langsung untuk kami menggunakan nama arwah. Mereka tidak meletakkan apa-apa syarat. Kami hanya guna nama Puan Sri Saloma saja.

“Sebagai tanda terima kasih dan penghargaan kepada waris, kami di Saloma Kuala Lumpur berbesar hati untuk memberi gratuiti kepada pewaris Allahyarham Saloma.

“Penyerahan gratuiti kepada cucu-cucu Allahyarham, Arzanee Armalie dan Rozaidie Armalie, menjadi simbol penghormatan di atas sumbangan besar Biduanita Negara tersebut dalam memperkayakan industri seni dan budaya Malaysia,” katanya pada majlis jamuan raya, baru-baru ini.

Sejak Riza Che Umar mengurus Saloma Kuala Lumpur, lokasi tersebut kembali menjadi tumpuan ramai.

Jelas Riza, pemberian gratuiti tersebut tidak ada nilai yang spesifik kerana pihaknya memberi seikhlas hati dan mahu melakukan perkara yang sama setiap tahun.

“Kami pun sepakat untuk satu amaun setiap tahun kepada waris tanpa ada paksaan atau komitmen apa-apa. Ini adalah kami punya hasrat dan niat untuk berkongsi rezeki dengan waris-waris Saloma. Jumlah seikhlas hati dan kalau boleh tak nak dedahkan jumlah itu takut jadi satu isu lain pula.

“Walaupun tak ada komitmen tapi kami mahu sumbangan itu berterusan. Insya-Allah selagi ada rezeki kami kat sini, kami bercadang untuk berkongsi rezeki dengan waris Saloma setiap tahun,” katanya terus terang.

Tambahnya lagi, majlis tersebut diadakan bukan sahaja untuk meraikan sambutan Aidilfitri tetapi juga untuk mengenang jasa dan sumbangan Biduanita Negara Saloma sebagai seorang seniwati unggul dan ikon budaya negara.

“Penyerahan gratuiti kepada pewaris legasi seni Biduanita Negara ini merupakan manifestasi keikhlasan dan penghargaan atas jasa dan bakti yang telah ditinggalkan Puan Sri Saloma kepada generasi masa kini.

Saloma Kuala Lumpur kini menjadi pilihan Gen Z untuk lepak di situ.

“Ia juga merupakan kesinambungan kepada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Saloma Kuala Lumpur yang turut menyantuni tetamu istimewa termasuk mereka yang memerlukan bantuan,” katanya.

Sumbangan gratuiti tersebut disampaikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan.

Meskipun sekarang ini Saloma Kuala Lumpur semakin mendapat perhatian, namun kata Riza, ada beberapa pengubahsuaian dari segi reka bentuk perlu dikemas kini.
“Sebenarnya mula-mula nak buka tempat ini, ramai yang rasa takut sebab bangunan yang kita ambil alih ini bangunan lama sebab dah lama tak digunakan. Agak banyak kami keluarkan kos untuk pulihkan tempat ini.

“Mungkin orang tengok tempat ini meriah tapi dari segi keuntungan nak capai ROI (pulangan pelaburan) lama lagi. Sebab dengan dekorasi dan banyak yang perlu dilakukan. Kos dekorasi masih belum habis lagi. Berjuta juga yang telah dikeluarkan tapi kami ada rakan kongsi.

“Kami beruntung kerana tempat ini popular tanpa kita buat pemasaran. Mungkin pempengaruh atau artis datang sini dan buat live. Kami hanya buat promosi pada bulan puasa saja untuk promosi buffet,” katanya gembira dengan kehadiran pelanggan dari kalangan Gen Z.

Bagi memastikan tempat tersebut terus dikunjungi, setiap malam ada persembahan kebudayaan, tarian dan secara tak langsung memberi peluang kepada Gen Z untuk menyanyi dan menari bersama.

Previous articleKhasiat dan manfaat bawang merah untuk kesihatan
Next articleAmira Othman hargai doa dan sokongan peminat

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here