Oleh: Khadijah Ibrahim
NAMA Feroz Kader lebih menonjol sebagai pengarah drama berbanding filem dan kebanyakan drama arahannya mendapat sambutan hangat daripada peminat drama tempatan.
Antara drama arahan Mohd. Feroz Abd. Kader Sahib, 50, yang menjadi bualan peminat adalah ‘Dunia Baru Musim Ke-3’, ‘Tentang Dhia’, ‘Adam & Hawa’, ‘Pelangi Kasih’, ‘Aku Buka Geisha’, ‘Cinta Non Grata’, ‘Budak Tebing’ dan ‘Takdir Itu Milik Aku’.
Kesibukannya sebagai pengarah drama dan sesekali sebagai penerbit, tidak menghalang Feroz untuk memikul tanggungjawab sebagai pengarah filem. Setakat ini beliau sudah mengarah filem ‘Suamiku, Encik Perfect 10!’ dan ‘Seratus’ yang dikeluarkan pada 2022.

Karya terkini arahan Feroz adalah ‘Balas Balik’ yang bakal ditayangkan di pawagam tempatan pada 29 Mei ini. Jelas Feroz, ‘Balas Balik’ bukanlah filem yang menampilkan adegan tembakan berdentam-dentum, letupan kereta atau bangunan serta babak pertarungan hidup mati, tapi karyanya itu lebih berpaksikan kepada cerita.
“Bagi saya, setiap cerita harus ada makna, warna dan memberi rasa, sama seronok atau resah, marah atau nyaman, menginsafkan atau barangkali juga sedikit kesedaran untuk dibawa pulang. Itu yang cuba digarap menerusi ‘Balas Balik’.

‘Walaupun ‘Balas Balik’ adalah filem kepolisan tapi ia berbeza dengan filem kepolisan yang sering ditonjolkan di pasaran seperti filem ‘Sheriff’ atau ‘Polis Evo’.
“Balas Balik hadir dengan sebuah penyiasatan bergaya. Seorang detektif khas, Detektif Zul (Shukri Yahaya) ditugaskan menyelesaikan ‘puzzle’ penyiasatan kes kematian mengejut seorang CEO. Filem ini muncul dengan genre penyiasatan jenayah, membawa bersama nilai suspens dan dramatik sebagai taruhan.
“Bila filem genre begini, story line (cerita) sangat penting. Kami fokus dalam penghasilan skrip. Tiga bulan juga saya ambil masa, berbincang dan tulis. Penerbit mahukan kelainan dan saya pun suka. Dari awal, ‘Balas Balik’ memang asalnya filem bukan drama,” kata Feroz.

Tambahnya lagi, untuk ‘Balas Balik’, banyak unsur digabungkan. Masih ada elemen komersial, bukan dark movie atau art house filem.
“Penonton boleh hubung kait konsep sebegini dengan filem-filem penyiasatan Hollywood. Kami kena pastikan setiap babak ada motif supaya penonton kekal dalam momentum sehingga bertemu jawapan di hujung cerita.
“Nak kekalkan adrenalin, rasa ingin tahu sepanjang cerita dan babak-babak itu sangat penting. The hidden point perlu kemas.

“Kalau cerita hantu kena ada jumpscare, filem ini terletak kepada nilai suspens. Itu yang jadi hook (kata kunci) yang pegang, gam perhatian penonton sampai habis. Penonton kena seronok,” katanya yang tetap menerapkan mesej dalam berkarya.
Seperkara lagi, katanya, ‘Balas Balik’ tidak hanya fokus kepada watak utama, Detektif Zul.
“Ada banyak watak lain yang turut diberi penekanan, semua ada motif dan karakter mereka harus dikeluarkan,” ujarnya tentang filem yang diterbitkan oleh Shaibha Vision Entertainment Sdn. Bhd.

Filem ‘Balas Balik’ berkisar mengenai siapakah yang bertanggungjawab menyebabkan Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat telekomunikasi, Datuk Roslan (Tony Eusoff) yang ditemui mati di pejabatnya sendiri.
Mulanya diklasifikasikan kes bunuh diri, Detektif Zul yang mengetuai siasatan menemui petunjuk yang mendorongnya menyiasat semua kakitangan syarikat tersebut termasuk ahli keluarga yang mempunyai motif untuk membunuh pegawai tertinggi itu. Satu demi satu jawapan terungkai sehingga akhirnya menemui kebenaran yang mengejutkan.
Filem ini turut dibintangi oleh pelakon hebat seperti Marisa Yasmin, Zarul Umbrella, Adam Lee, Meor Mohd, Razman Mahayudin, Josiah Lim dan Maisara Sufia.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.