Persrmbahan Amy sewaktu menjayakan konsert 'Amy Search Konsert Pertama' di Axiata Arena, batu-baru ini memang mantap.

Oleh: Khadijah Ibrahim

SEWAKTU penulis menaiki LRT (transit aliran ringan) dari stesen Chan Sow Lin ke Bukit Jalil, pada 26 April, baru-baru ini gerabak memang penuh. Gerabak yang dikhaskan untuk penumpang wanita telah ‘dicerobohi’ oleh penumpang lelaki.

Pengawal yang bertugas pun tidak dapat masuk untuk mengarah penumpang lelaki supaya tidak berada di kawasan penumpang wanita kerana pada malam itu semua orang nak menuju ke Bukit Jalil untuk menonton dua acara besar.

Sebaik turun di stesen Bukit Jalil, sewaktu berjalan menuju ke Axiata Arena, boleh dikira beberapa orang saja yang menuju ke arah yang sama dengan penulis.

Pada usia 67 tahun, baru Amy Search berkeyakinan untuk menjayakan konsert solonya yang pertama.

Sebaliknya, ramai penumpang mengatur langkah ke Stadium Nasional Bukit Jalil, yang terletak bersebelahan dengan Axiata Arena untuk menonton perlawanan akhir Unifi Piala Malaysia antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sri Pahang FC.

Di luar Axiata Arena tidak semeriah seperti konsert yang penulis pernah hadiri sebelum ini. Apapun konsert perlu diteruskan kerana perancangan telah diatur begitu lama.
Meskipun jumlah penonton untuk ‘Amy Search Magic Konsert Solo Pertama’ kurang berbanding di stadium sebelah, namun persembahan Ikon Rock Malaysia itu tidak menghampakan.

Datuk Amy Search atau Suhaimi Abdul Rahman, 67, memulakan persembahan pada jam 9.10 malam dengan lagu “Gita Rama Sita” yang dimuatkan dalam album ketiganya iaitu “Aku” yang diterbitkan pada 1999. Kemudian diikut dengan lagu “Aku” dan “Apa Saja” dari album “Camouflage”, keluaran 1997.

Hillary Ang bertanggungjawab membawa Amy Search ke Kuala Lumpur untuk menggapai impiannya sebagai penyanyi rock.

“Phewitt! Terima kasih pada semua peminat yang hadir dalam pelayaran saya sebagai penyanyi pada penghujung karier seni saya pada usia 67 tahun ini,” katanya yang kemudian meneruskan persembahan dengan lagu “Suralaya Dalam D Major” yang terdapat dalam album “IKON – A Rockstar Chronicle”, keluaran 2006.

Pada pemerhatian penulis untuk lagu pertama sehingga ketujuh termasuk “Mengintai Kelawar”, “Ghairah” dan “Kau Bukan Saduran”, penonton yang hadir kurang memberi reaksi ‘keterujaan’ mereka, walaupun persembahan Amy begitu bertenaga.

Amy sempat berkongsi pengalaman bagaimana beliau boleh terlibat dalam bidang seni sewaktu masih berada di Johor Bahru lagi. Menerusi tayangan video tersebut, Amy bercerita sewaktu mendapat gaji pertama sebagai pekerja kontrak, beliau membeli sebuah gitar kapok dan belajar sendiri.

Tanpa lagu ‘Isabella’, persembahan Amy dikira tidak lengkap walaupun sudah berulang kali mendendangkan lagu tersebut

“Kita orang Johor waktu itu suka dengar lagu-lagu rock. Apabila bertemu dengan Hillary Ang, impian nak jadi penyanyi rock makin kuat. Hillary ajak saya ke Kuala Lumpur untuk merealisasikan impian menjadi penyanyi rock.

“Hillary adalah pencetus utama untuk saya kuatkan semangat mahu jadi penyanyi rock waktu itu. Dia juga adalah pengasas Search dan konsert ini adalah untuk kawan-kawan Search yang turut berada dalam pelayaran seni saya,” katanya.

Tamat saja tayangan video tersebut, Hillary tampil di pentas bersama Amy. Kali ini suasana bertukar menjadi lebih meriah kerana dengan petikan gitar Hillary, Amy mendendangkan lagu medley berjudul “Kau Pergi”, “Gadisku” dan “Rozana” yang merupakan lagu popular Search.

Kata Amy, album ketiga Search iaitu “Mentari Merah Di Ufuk Timur” yang dikeluarkan pada 1987 merupakan album klimaks untuk kumpulan Search kerana lagu “Fantasia Bulan Madu” ciptaaan Dato’ M.Nasir menjadi siulan ramai hingga kini.

Jika di stadium sebelah tidak ada final bola sepak, mungkin jumlah penonton yang hadir menonton konsert Amy meningkat.

“Sambutan hangat yang diberikan untuk album tersebut, membuatkan Search cuba mencari pasaran di Indonesia untuk mencari peminat baharu,” kongsi Amy tentang perjalanan karier seninya bersama Search sebelum meneruskan persembahan dengan lagu “Pawana”.

Di pentas tersebut juga, Amy turut berkongsi dengan penonton antara lagu kesukaannya dan mendendangkan lagu-lagu tersebut secara medley dengan gayanya yang tersendiri iaitu “Suatu Masa” (M.Nasir), “Ku Di Halaman Rindu” (Lefthanded) dan “Sejuta Wajah” (Sweet Charity). Amy juga turut menyanyikan lagu “Rentak Lagu Ku” yang dipopularkan oleh kumpulan Bunkface.

Amy secara peribadi memberitahu, jika bukan kerana gesaan daripada isteri, Datin Norhasniza Hassan atau Nourish tidak mungkin beliau dapat realisasikan impiannya untuk mengadakan konsert solo.

“Memang ada tawaran untuk saya buat konsert solo sebelum ini tapi saya tak berani, kata tunggulah. Isteri pula kata, sampai bila nak tunggu, umur semakin meningkat. Kerana gesaannya dan sokongannya itulah, akhirnya saya memberanikan diri dan siapa sangka pada usia 67 tahun saya berada di pentas ini dapat membahagiakan hati anda semua,” kata Amy selepas mendendangkan lagu “Aku Dah Bosan”.

Amy berterima kasih kepada penonton yang hadir menyokong pelayaran seninya dari dulu hingga kini.

Amy yang mendendangkan 21 buah lagu itu sebelum menutup tirai pesembahan kira-kira jam 11. 48 malam itu, sempat mengusik penonton.

“Kalau saya tak menyanyikan lagu ini kira tak lengkaplah persembahan saya. Pergilah ke mana sekalipun, kalau buat persembahan, lagu ini perlu dinyanyikan. Anda semua pasti tahu,” katanya menyanyikan “Isabella” sebagai penutup konsert sulungnya itu.

Ratu Rock Ella, antara penyanyi yang turut mengadakan persembahan di perlawanan akhir Unifi Piala Malaysia, masih sempat hadir ke konsert Amy sebagai tanda sokongan.

Lain-lain rakan artis yang hadir adalah Man Kidal, Datuk Sheila Majid, Ning Baizura, Adlin Aman Ramli, Che Puan Sarimah Ibrahim, Azharina, Akim Ahmad dan Aweera.

Previous articleSawan jangan anggap sebab demam panas sahaja! (Bahagian 1)
Next articleRezeki Fattah Amin semakin bertambah selepas bercerai

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here