Diana Danielle tampil dengan single "Raja Dusta".

Oleh: Khadijah Ibrahim

SELEPAS melalui beberapa liku dalam rumah tangga yang dibina bersama Farid Kamil, akhirnya Diana Dianelle dicerai talak satu oleh pelakon tersebut di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada 24 Mac lalu.

Kira-kira hampir sebulan kembali menjalani kehidupan tanpa suami, Diana, 33, muncul dengan single berjudul “Raja Dusta”, ciptaan John Jeeves dan Firdaus Rahmat.

Lagu “Raja Dusta”, sebuah karya penuh keberanian dan sindiran nakal yang memberi ruang untuk wanita dan lelaki meraikan kebebasan selepas melepasi hubungan toksik. Apa yang diinterpretasi menerusi lirik tersebut seakan menggambarkan tentang situasi yang dilalui oleh Diana sendiri.

“Raja Dusta” adalah cerminan kepada kekuatan wanita yang sering terperangkap dalam budaya misoginis.

Namun Diana berkata, lagu tersebut adalah cerminan kepada kekuatan wanita yang sering terperangkap dalam budaya misoginis iaitu lelaki yang benci pada perempuan dan sering menjadikan kaum hawa sebagai mangsa penderitaan secara senyap.

“Saya mahu menghasilkan sesuatu yang lebih rancak dan menyeronokkan, sebagai satu sindiran terhadap situasi saya sekarang. Walaupun saya boleh kaitkan lagu ini dengan pengalaman peribadi, ia bukan ditujukan kepada sesiapa secara spesifik.

“Lagu ini mewakili apa yang ramai wanita alami dalam perhubungan seperti janji palsu, harapan yang dimanipulasi dan akhirnya keberanian untuk bebaskan diri,” katanya menjelaskan maksud yang tersirat di sebalik bait-bait lagu tersebut.

Menurut Diana yang juga penyanyi lagu “Bersama Dengan Rindu”, lagu “Raja Dusta” adalah untuk semua, walaupun lirik lagu ini dibawakan dari perspektif seorang wanita.

Menghasilkan sesuatu yang rancak dan menyeronokkan, sebagai sindiran terhadap situasi beliau sekarang.

Ujar Diana, beliau ingin menekankan bahawa mesej lagu ini adalah bersifat universal dan boleh dikaitkan oleh sesiapa sahaja.

“Saya mahu pendengar menikmati lagu ini tanpa rasa benci. Ia mengenai keberanian dan kebebasan untuk membuat keputusan terbaik untuk diri sendiri. Kita semua pernah berada dalam hubungan yang berat sebelah.

“Jadi, lagu ini adalah peringatan supaya jangan tertipu dengan kata-kata manis jika perbuatan tidak seiring,” katanya.

Berkongsi lanjut mengenai lagu ini, Diana berkata, proses rakaman “Raja Dusta” berlangsung dengan penuh keseronokan walaupun ini adalah kali pertama beliau bekerjasama dengan penerbit John Jeeves.

Mesej lagu “Raja Dusta” bersifat universal.

Dalam pada itu, Diana berkongsi yang mana sepanjang penghasilan lagu dan video muzik ini, beliau menerima sokongan tidak berbelah bagi daripada pasukannya termasuk pihak pengurusan Universal Music, pengarah muzik video, para pelakon, kru produksi serta penari latar.

“Saya agak kekok pada mulanya sebab sudah dua tahun tidak muncul dengan lagu baharu. Keyakinan saya sedikit goyah, tetapi semua orang di sekeliling sangat menyokong dan buat saya rasa selesa. Saya harap ini menjadi permulaan yang baik untuk kembali aktif dalam bidang muzik,” katanya lagi.

Diana berkata, rakaman video muzik “Raja Dusta” turut menjadi pengalaman menarik buat dirinya apabila ia membabitkan tarian, pelbagai lokasi dan penggambaran yang panjang di Palm Garden Hotel, Putrajaya.

“Saya ulang banyak kali perkataan ‘seronok’ sebab memang itulah yang saya rasa. Walaupun mencabar dan di luar zon selesa saya, saya tahu saya perlu biasakan diri dengan rentak ini,” katanya.

Diana Danielle enggan toleh belakang, mahu bina kehidupan baharu.

Diana berharap lagu ini bukan sahaja menghiburkan, malah menjadi peneman buat mereka yang sedang atau pernah melalui detik sukar dalam hubungan.

“Saya mahu orang menyanyi lagu ini dengan kuat dalam kereta atau semasa mandi. Muzik adalah satu bentuk perayaan dan saya harap sesiapa yang telah keluar daripada hubungan yang menyakitkan dapat meraikan kebebasan mereka dan menghargai keberanian diri sendiri,” katanya.

“Raja Dusta” boleh didapati di semua platform penstriman digital sejak 18 April lalu dan video muziknya dapat ditonton di YouTube rasmi untuk merrasai sendiri semangat kebebasan yang dibawakan oleh Diana Danielle dalam karya terbaharunya itu.

Previous articleiQIYI perkenal segmen ‘Drama Onz’ untuk peminat drama Melayu
Next article‘Malam Rindu Bayangan’ penghargaan untuk Allahyarham Jay Jay

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here