Penampilan terkini Zed Zaidi untuk watak terbarunya dalam sebuah filem ketenteraan.

Oleh: Nafsiah Jani
Foto: Ehsan Zed Zaidi/Koleksi Syed Wafa

Langit tidak selalunya cerah. Itu sebabnya kita perlu berjaga-jaga dan sentiasa ingat untuk masa depan. Begitulah kisahnya dengan pelakon, penyanyi, pengacara dan usahawan Zed Zaidi atau nama sebenarnya Rozaidi Abdul Jamil, 45.

Memang sejak dulu selain berlakon, Zed Zaidi memang aktif dengan dunia perniagaan dan pelbagai jenis bisnes yang telah diusahakannya. Ini dilakukan bagi menjamin masa depannya bersama keluarga jika tiada lagi sebarang tawaran berlakon.

Zed Zaidi dari remaja lagi berwawasan tinggi untuk kerjaya seninya.

“Saya memang minat buat bisnes ini sejak dulu lagi. Bidang bisnes inilah yang jadi penyelamat saya kalau tak ada tawaran berlakon. Bisnes terbaru saya ialah bantu rakyat Malaysia terutamanya golongan B40 yang nak memperbaharui cukai jalan dan insuran kenderaan secara digital, murah, mudah dan cepat.

“Alhamdulillah sejak KawKaw Sdn. Bhd. ditubuhkan Julai lalu, kami sudah memiliki lebih 100,000 pelanggan. Sasaran tahun ini kami nak sejuta pelanggan pula,” kata Zed Zaidi yang memulakan bisnes ini bersama dua rakan kongsinya dengan bermodalkan RM20,000.

Di awal kerjaya seni Zed Zaidi dan menjadi cover majalah “Remaja”.

Kemenangannya sebagai Hero Remaja pada 2001/2002 telah membuka peluang untuk Zed Zaidi terjun ke dunia lakonan menerusi drama bersiri Sembilu dan Sembilu Kasih bergandingan dengan pelakon Hetty Sarlene.

Sebelum berlakon , Zed Zaidi merupakan bekas vokalis kumpulan Seven Signs yang ditubuhkan pada tahun 2000. Anak muda yang cukup berwawasan tinggi dengan kelantangan suaranya ketika berbicara membuatkan ramai yang tidak begitu menyukai Zed Zaidi.

Drama Sembilu lakonannya bersama Hetty Sarlene telah menaikkan nama Zed Zaidi di persada seni.

Namun ini membuatkan Zed Zaidi semakin bersemangat dalam menyuarakan sesuatu yang dirasakannya perlu bagi membantu nasib para penggiat –penggiat seni tak kira pelakon mahu pun mereka yang berada di belakang tabir.

Bermula sebagai Ketua Biro SENIMAN Muda, Zed Zaidi telah dilantik sebagai Timbalan Presiden SENIMAN dan akhirnya menjadi Presiden SENIMAN sejak 2012/2013 sehingga kini.

Wajah kegembiraan Zed Zaidi bersama isteri, Natalia selepas majlis konvokesyen di City Universiti Malaysia (City- U).

Banyak perkara kebaikan yang telah dilakukannya demi untuk anak-anak seni membuatkan Zed Zaidi terus berjaya mempertahankan jawatan selaku Presiden Seniman Malaysia (SENIMAN) dan juga telah diberikan mandat semula sebagai Ahli Lembaga Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) untuk membantu Menteri bagi tujuan penambahbaikan Ekosistem dan Kebajikan Industri Kreatif Malaysia.

Semenjak beliau memimpin SENIMAN banyak perubahan telah berlaku dan perjuangannya mengenai rumah dan Skim Insuran SENIMAN untuk artis telah membuahkan hasil. Lantaran diujudkan Perumahan Khas artis di bawah Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) dan Perumahan Rakyat (PPR).

Keluarga bahagia Zed Zaidi bersama isteri dan anal-anaknya.

Selaku Ahli Lembaga Pengarah Finas, kini sudah setahun sembilan bulan, Zed Zaidi bertanggungjawab sebagai Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan dan Data Industri Finas.

Kini Zed Zaidi dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia sedang sibuk menambah keahlian Briged Seni Kreatif yang terbuka untuk artis dan sesiapa sahaja yang terbabit dengan industri seni. Kerja-kerja sukarelawan ini nanti akan bersiap sedia untuk membantu mangsa-mangsa banjir yang sering berlaku di negeri-negeri Pantai Timur.

Zed Zaidi sentiasa memberi sokongan aktif bagi menjayakan industri seni tanahair.

“Buat masa ini kami sudah mempunyai ahli seramai 300 orang dan kami juga ingin tunaikan hasrat Menteri Komunikasi Malaysia, Datuk Fahmi Fadzil agar kesukarelawan beruniform ini dapat disertai 1200 orang ahli lagi dalam kalangan pengiat seni,” ujar Zed kini yang berpangkat Kolonel Bersekutu (PA).

Zed Zaidi juga merupakan Timbalan Pengerusi Gabungan Persatuan-Persatuan Karyawan Filem Malaysia (GAFIM) dan Ahli Majlis Kerja Gabungan Persatuan Perfileman Malaysia (GAFEMA).

SIBUK DENGAN FILEM KETENTERAAN

Bisikan Remaja merupakan filem pertama Zed Zaidi pada tahun 2004 diikuti Gila-Gila Pengantin Remaja, Bicara Hati, Aku No. 1, Sembilu 2005, Pontianak Menjerit, Tentang Bulan, Semerah Cinta Stilleto, Nyang Rapik, Cuti-Cuti Cinta, Senjakala, Mat Tudung Begins dan Bukan Hantu Biashe-Biashe.

Zed Zaidi suka dengan kerjaya beruniformnya sebagai Kolonel Bersekutu (PA), Briged Seni Kreatif dalam Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Berbanding penampilannya yang dulu kelihatan ‘berisi’ dan kini terlihat banyak perbezaan daripada segi fizikal Zed yang kini kelihatan tampan dan fit untuk disesuaikan dengan watak barunya dalam sebuah filem yang bertemakan ketenteraan.

“Saya terima tawaran ini sebab inilah percubaan saya nak buat comeback dan ceritanya pula melibatkan watak yang beruniform. Lagilah saya menyukai watak-watak sebegini.

“Nak ikut kami shooting bulan Mei ini, itu sebabnya sejak Februari hingga April lalu saya dah mula siapkan badan dengan pergi gym buat latihan. Saya tak suka makan-makan ubat dan fokus utama saya hanya makan produk nutrition yang bakal saya hasilkan tidak lama lagi.

Gambar kenangan…Zed bersama isteri, Natalia ketika menerima pingat Kesatria Mangku Negara (KMN) pada 2016.

“Kini saya berlatih dengan jurulatih yang pernah membantu Shaheizy Sam dan Hairul Azreen dapatkan badan yang ideal ketika berlakon. Kalau tak ada aral, kami bakal menjalani penggambaran pada Ogos nanti,” jelas Zed Zaidi lagi.

Dalam kesibukannya berlakon dan menunaikan tanggungjawabnya bersama Finas, Zed Zaidi berkesempatan melanjutkan pelajarannya di City University Malaysia (City-U) dan kini sudah berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Pendidikan Kepimpinan dan Pengurusan (Masters of Education Leadership and Management).

Zed Zaidi (Paling Kiri) bersama ahli- ahli GAFEMA ketika bersama Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Sebelum ini, Zed Zaidi juga sudah memiliki Diploma Sains Komputer dari Universiti Putra Malaysia (UPM) pada tahun 1999, Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Undang-Undang dari Universiti Teknologi MARA dan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dari Universiti Utara Malaysia (UUM).

Pada 2016, bapa kepada tiga cahaya mata dan suami kepada Natalia Datuk Mustafa ini menerima pingat Kesatria Mangku Negara (KMN) sempena hari keputeraan Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

 

Previous articleEja masih dicari walaupun sudah lama tidak berlakon
Next articleSyawal Yang Penuh Barakah!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here