Oleh: Khadijah Ibrahim
PADA tahun ini pemilik Rumah Produksi Merah yang diketuai oleh Dato’ Awie dan Dato’ Eddy Amir Salim mengumumkan beberapa perancangan utama produksi tersebut.
Antara perancangan yang diatur oleh Rumah Produksi Merah adalah menjayakan siri mini konsert di penjara seluruh Malaysia. Sebagai permulaan, Penjara Kajang menjadi lokasi pertama.
Terdapat lebih daripada 40 buah penjara di Malaysia dan pelaksanaan program ini memerlukan dana serta sokongan daripada pelbagai pihak.
“Kami percaya muzik mempunyai kuasa untuk memberi inspirasi dan harapan, walaupun dalam persekitaran yang paling mencabar. Kami mengajak penaja dan pihak berkepentingan untuk turut serta dalam usaha ini,” kata Awie.
Tambahnya, sempena meraikan ulang tahun ke-40 Wings dalam industri muzik tanah air, satu acara besar iaitu Wings Fest, akan diadakan pada bulan Oktober atau November 2025.
Selain itu, Awie turut berkongsi perancangan untuk membawa Wings ke London bagi membuat persembahan, yang kini masih dalam perbincangan untuk kelulusan bersama pihak berkaitan.
“Empat dekad dalam industri adalah satu pencapaian yang luar biasa. Wings Fest bukan sekadar meraikan kejayaan kami, tetapi juga penghargaan kepada peminat setia yang sentiasa menyokong,” ujar Awie.

Rumah Produksi Merah juga merancang untuk mengadakan Konsert Tribute di mana Awie akan menyanyikan lagu-lagu klasik dari era 60- an, 70-an, dan 90-an. Sebuah album khas akan dirakam, dan sebahagian royalti daripada album tersebut akan dikongsi bersama artis asal serta waris mereka.
Perancangan Rumah Produksi Merah bukan sekadar muzik dan nyanyian saja, kata Awie, pihaknya juga bercadang untuk menerbitkan drama untuk siaran di RTM.
“Rumah Produksi Merah telah menjalankan penggambaran drama bersiri 20 episod untuk RTM yang dibintangi oleh Hazama, Roy Azman, dan beberapa pelakon lain. Tajuk drama tersebut masih dirahsiakan dan akan diumumkan kelak,” jelasnya.
Selain drama, Eddy Amir Salim turut memberitahu bahawa Rumah Produksi Merah juga bakal menerbitkan dokumentari berkaitan perjalanan kerjaya seni Wings selama 40 tahun.
Katanya, dokumentari filem tersebut merakamkan perjalanan Wings sepanjang 40 tahun dalam industri muzik tanah air, termasuk cabaran dan rintangan yang dihadapi oleh kumpulan legenda itu.
“Setelah mendengar kisah dari Dato’ Awie berkenaan jatuh bangun sebuah kumpulan legenda yang telah mewarnai industri muzik Malaysia selama empat dekad. Kami ingin berkongsi perjalanan ini dengan peminat serta generasi akan datang,” ujar Eddy.
Tegasnya, suka duka anak seni tersebut perlu diketahui oleh orang ramai kerana ada pihak tidak bertanggungjawab sering mengambil kesempatan di atas penat lelah artis seperti isu cetak rompak moden.
“Terdapat individu yang membeli tiket konsert dan melakukan siaran langsung berbayar di YouTube, sekali gus melanggar hak cipta serta menjejaskan penganjur.
“Ini adalah satu bentuk pencabulan hak cipta yang serius dan perlu ditangani segera. Kami sedang mempertimbangkan tindakan perundangan untuk melindungi hak serta kepentingan industri muzik tempatan,” tegas Eddy.
Dengan pelbagai perancangan besar yang diumumkan, Rumah Produksi Merah berharap mendapat sokongan berterusan daripada semua pihak bagi memastikan kejayaan setiap inisiatif yang dirancang.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.