Oleh: Syed Wafa
Foto: Syed Wafa
Beliau memang dikenali seorang yang begitu dermawan dan sering melakukan kerja amal dalam membantu masyarakat. Itulah insan berhati mulia, Tan Sri Syed Yusof Tun Syed Nasir, atau lebih dikenali Tan Sri Jojo merupakan seorang usahawan terkenal tanah air. Beliau juga merupakan promoter konsert yang berjaya membawa “Megastar” Michael Jackson ke Kuala Lumpur pada tahun 1996 melalui syarikat beliau JoJo Entertainment sempena “Michael Jackson HIStory World Tour ’96”, sehingga kini konsert tersebut merupakan penganjuran konsert luar negara paling terbaik di Malaysia.
Dalam semangat bulan Ramadan yang penuh keberkatan dan barakah ini Syed Yusof bersama Concorde Hotel Shah Alam telah menganjurkan sebuah majlis berbuka puasa khas bagi meraikan 104 anak yatim dari tiga rumah kebajikan. Acara yang berlangsung di Grand Ballroom hotel ini bukan sekadar memberikan pengalaman berbuka puasa yang istimewa, tetapi juga menyuburkan nilai kemanusiaan dan kasih sayang dalam masyarakat amnya.


Majlis kali ini, tiga rumah kebajikan yang terlibat ialah Rumah Jagaan Amal Assyura (Sungai Buloh), Pusat Jagaan Nursakinah (Subang), dan Rumah Kasih Harmoni (Paya Jaras). Anak-anak yatim yang berusia antara 1 hingga 12 tahun hadir dalam pakaian tradisional seperti Baju Melayu dan Baju Kurung, menambahkan lagi seri suasana majlis pada hari tersebut.
Majlis bermula dengan bacaan tahlil dan doa selamat yang dipimpin oleh S.F. Dato’ Ustaz Mohd Farhan Wijaya, diikuti dengan bacaan al-Quran oleh Muhammad Abdurrouf Mohd Nidzomuddin. Suasana menjadi lebih meriah apabila anak-anak yatim serta tetamu dengan penuh keterujaan menikmati hidangan berbuka puasa yang disediakan, terdiri daripada pelbagai juadah tempatan dan Barat yang lazat.

Presiden Dewan Perniagaan Datuk Dato Malaysia ( DPDDM) iaitu Datuk Sri Nor Hasnal Hasmi (Paling Kanan)

Salah satu detik paling dinanti oleh anak-anak yatim adalah pemberian duit raya yang disampaikan oleh Syed Yosof yang juga merupakan Pengerusi Shah Alam Hotel Sdn Bhd, bersama YAM Tengku Laksamana Selangor, Tengku Sulaiman Shah Alhaj. Turut serta dalam penyampaian sumbangan ialah Encik Adrian H. Rasum, Presiden Adabi Consumer, Mr. Felix Yeo, Pengurus Besar Concorde Hotel Shah Alam dan En. Zutir Ahmad Kehan, Penolong Pengurus Eksekutif hotel tersebut.Turut hadir di majlis yang penuh berkat ini Presiden Dewan Perniagaan Datuk Dato Malaysia ( DPDDM) iaitu Datuk Sri Nor Hasnal Hasmi.
Majlis berbuka puasa ini tidak akan berjaya tanpa sokongan daripada pelbagai pihak serta penaja antaranya Adabi Consumer Industries Sdn Bhd, Tiara Mass Shipping & Logistics Sdn Bhd, Aba Zahar Syed Mohd Fuad & Partners, Sysmantech Technology Sdn Bhd, Khal Fatz Amin & Co, Maritime Network Sdn Bhd, Suria Harmoni Resources Sdn Bhd, KLIAT Media, Dewan Perniagaan Datuk-Datuk Malaysia, Yayasan Dato’ Malaysia Progress Sdn Bhd, Illusion Works, dan Johawaki Group.

Di penghujung majlis, wajah ceria anak-anak yatim jelas terpancar, membawa pulang bukan sahaja hadiah dan juadah, tetapi juga kenangan manis yang pastinya akan dikenang sepanjang hayat. Syed Yusof bersama Concorde Hotel Shah Alam berharap acara seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang, bagi memastikan Ramadan terus menjadi bulan yang membawa kebahagiaan kepada mereka yang memerlukan.
“Saya amat gembira melihat wajah ceria anak-anak ini dan saya berharap ada sinar aidilfitri buat mereka semua,” kata Syed Yusof bersungguh-sungguh.


SYED Wafa pernah menulis dan melukis di Utusan Malaysia (sisipan Remaja), URTV, Mangga, Hai serta pernah menjadi Editor Majalah Oh-Gee.