Mamat berharap dirinya kembali pulih dan sihat sepenuhnya.

Oleh : Nafsiah Jani
Foto : Ehsan Mamat Exist/Koleksi Syed Wafa

Setelah lama tidak berjumpa, cukup kagum dengan penampilan Mamat Exist kini yang semakin berisi wajah dan badannya berbanding sebelum ini. Nampaknya semangat Mamat untuk pulih dan berubah cukup kuat sekali setelah hampir sembilan bulan Mamat berada di bawah pengawasan untuk rawatan dan pemulihan Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) di Kompleks Pengasih Cinta Manis, Bentong, Pahang.

Peluang bertemu Mamat di Pengasih Kuala Lumpur, pertengahan Mac lalu telah diaturkan pihak pengurusan Mekar Management dengan kerjasama Pengasih di Kuala Lumpur

Sejak zaman kanak- kanak Mamat (Dua dari kiri) bersama Exist amat berbakat dalam bidang seni.

Nampaknya Mamat atau nama sebenarnya Mohd Ali Kamarudin, 48, kini semakin pulih daripada ketagihan dadah dan bersyukur kerana masih diberi peluang untuk berubah.

Bercerita lanjut mengenai impiannya yang tidak lagi kesampaian, kata Mamat lagi yang akan berada di sini selama setahun lebih lagi,“Impian saya yang tak kesampaian… impian saya cuma nak pulih dan sihat sepenuhnya. Tak ada impian lain. Syukur saya ‘jumpa’ Pengasih, banyak ilmu yang saya pelajari waktu berada di sini.

Exists antara album terawal mereka iaitu “Anugerah”

“Alhamdulillah, dah sembilan bulan berada di Pengasih semuanya berjalan dengan baik. Berat badan saya pun dah naik. Sebenarnya kesedaran itu datang apabila saya lihat abang saya,keluarga saya dan lihat diri saya sendiri. Terima kasih banyak-banyak pada keluarga saya yang sentiasa menyokong saya dan galakkan yang diberikan ini akan buat saya berubah sepenuhnya.

“Waktu itu saya dah rasa sampai waktunya untuk berubah… jika tidak sekarang bila lagi dan mungkin saya tak akan berubah selamanya. Saya kena perbaiki diri sendiri untuk berubah. Melihatkan anak perempuan saya dah berkahwin dan kini saya dah ada cucu perempuan lagi. Saya juga ada perancangan nak pergi umrah tapi tak tahu bila. Ada juga terfikir nak buat konsert solo tapi kita tengok macam mana nanti.

Mamat (baju hijau) ketika berusia 13 tahun bersama anggota- anggota Exists.

Mamat memulakan kerjaya dalam bidang muzik ketika berusia 13 tahun bersama kumpulan remaja Exist pada tahun 1990an. Beliau kemudiannya meninggalkan Exist pada 1994 dan meneruskan kerjaya nyanyiannya secara solo.

Pada tahun 1995, Mamat muncul dengan album solo pertamanya berjudul Mamat yang diterbitkan oleh Mat Penang di bawah label Jojo’s Production. Lagu hit dalam album ini ialah Salju Di Danau Rindu, Pasrah (1996) dan Seminit Bagiku (2004). Manakala album kompilasi pula ialah Dulu…Sekarang (2003) dan Naluri Kasih (2006).

Kumpulan Exist sehingga kini diminati.

Menurut Mamat lagi dibawah pengurusan Mekar Management, dia kini sudah menyiapkan rakaman sebuah lagu baru.

“Lagu sedih hati ini sebenarnya dah pernah saya rakamkan sebelum ini namun lagu tersebut tak siap lagi sepenuhnya pada waktu itu. Itu sebabnya kami rakam semula lagu tersebut. Saya harap lagu dapat sambutan.

Mamat sering menjadi cover majalah hiburan terkenal tanah air bersama rakan artis.

“Kalau tak ada aral, lagu tersebut akan dilancarkan seminggu selepas Hari Raya. Lagu ini berkisar tentang terang gelap sisi hidup saya sebelum ini. Setakat ini dah ada dimainkan di youtube.”

Mamat menambah lagi,“Setakat ini saya tak sempat berjumpa lagi dengan gang-gang Exists. Bila bebas nanti, benda pertama saya nak buat ialah berjumpa dengan semua anggota Exists. Saya nak tunjukkan bahawa doa mereka nak saya berubah sudah dimakbulkan. Walaupun saya begini namun mereka sentiasa memberikan sokongan moral yang tidak berbelah bagi kepada saya,” kata Mamat yang turut mengucapkan selamat berpuasa kepada semua sahabat-sahabatnya anggota Exists dan mendoakan agar kesemua mereka berada dalam keadaan sihat dan dirahmati Allah.

Mamat memenangi tempat ketiga Gegar Vaganza bersama juara, Ayai Ilusi dan Haleeda.

Bercerita mengenai rutin hariannya dalam Pengasih, ujar Mamat lagi yang popular dengan lagu Salju Di Danau Rindu dan Hanya Engkau Kekasih,“Di Pengasih kami ada pelbagai program, kami ada seminar dan macam-macam lagi program. Kami solat berjemaah pada setiap waktu, mendengar tazkirah, dan mengadakan bacaan yasin.

“Dalam pada itu kami juga ada program dalam berkumpulan contohnya Fasilitator akan tetapkan kami berbincang pasal dadah. Kalau ada program yang saya kena hadir, saya juga perlu hadir ke Pengasih. Macam bulan puasa ini kami akan solat terawih beramai-ramai, moreh dan jam 11 malam barulah kami dibenarkan tidur berbanding kalau bukan di bulan puasa, jam 10 kami sudah tidur.

Mamat bersama tropi kemenangannya merangkul tempat ketiga program realiti Gegar Vaganza dan Persembahan Terbaik pilihan Penonton.

Ditanya lebih lanjut adakah dia memberontak ketika mula-mula di tempat di Pengasih, Bentong, jelas Mamat lagi,“Saya tak ada perasaan macam itu waktu mula-mula ditempatkan disini kerana saya pernah duduk di tempat yang lagi teruk dari Pengasih. Sebenarnya nak masuk sini, kita kena ikhlas, kalau tak ada sikap jujur memang tak boleh belajar dekat Pengasih. Setakat sembilan bulan dah berada di sini., saya rasa okay dan Alhamdulillah.

“Saya juga bersyukur, walaupun berada dalam Pengasih namun saya dibenarkan membuat persembahan sambil diiringi escort dari pihak Pengasih. Saya tak kisah, rasanya lebih selamat begitu.

Mamat (tengah sekali) bersama kumpulan Exists ketika bergabung mengadakan Konsert Exists Reunion 2019.

“Bagi mereka yang ingin menjemput saya menyanyi, perlu dapatkan kelulusan daripada Pengasih. Banyak orang jemput untuk majlis makan malam dan sebagainya. Mereka yang nak menjemput saya sila hubungi pihak pengurusan saya, Mak Cik Manis di talian 0148850501.”

Seperti insan lain, Mamat juga menyimpan hasrat untuk berkahwin dan mempunyai keluarga lagi.

Mamat hadir dimajlis persandingan anak sulongnya, Aleeya Mysara.

“Buat masa ini saya masih single. Insya-Allah kalau ada seruan dan jodoh saya tak tolak. Kalau ada jodoh, tak banyak yang saya minta…saya harap dapat wanita yang soleh, pandai jaga diri, jaga saya, bertanggungjawab dan sanggup hidup susah senang bersama.”

Sebagai penyanyi yang berkaliber, Mamat juga merupakan salah seorang peserta Gegar Vaganza musim pertama peserta pada 2014. Dalam program realiti tersebut, Mamat berjaya merangkul tempat ketiga sekaligus membawa pulang wang tunai sebanyak RM15,000. Selain tempat ketiga, Mamat juga memenangi Persembahan Terbaik Pilihan Penonton dan membawa pulang wang tunai sebanyak RM5,000.

Mamat teringin nak kerjakan umrah

Exists ditubuhkan pada 1991,dianggotai anak-anak kelahiran Johor iaitu Mamat selaku vokalis, Ajai (keyboard), Musa (bass), Ujang (dram), Shah (gitar) dan Along (gitar).

Mereka mencipta fenomena apabila popular menerusi lagu Untukmu Ibu dan Rahsia Pohon Cemara yang dipetik daripada album pertama mereka berjudul Exists yang terjual sebanyak 250,000 unit ketika itu.

Mamat kini nampak cergas dan begitu berisi tubuh badannya.

Bagaimanapun Mamat mengambil keputusan meninggalkan Exists pada 1994 sebelum Ajai mengambil tindakan serupa tiga tahun kemudian. Tempat Mamat kemudiannya digantikan oleh Ezad Lazim yang berjaya membawa nama kumpulan itu sehingga ke Indonesia.

Malah album mereka Diammu Gunung Berapi (1995) terjual 600,000 unit di negara itu selain selain tiga lagi album mereka Mencari Alasan (1996; 750,000 unit), Buih Jadi Permaidani (1997; 600,000 unit) dan Dirantai Digelangi Rindu (1999; 100,000 unit).

Mamat (tengah) bersama Presiden PENGASIH Malaysia, Hafizi Harun (baju purple) Makcik Manis, Bai (Berdiri dua dari kiri yang mengatur pertemuan ini) serta pegawai pengurusan PENGASIH yang banyak membantu proses temuramah ini.

Mamat pernah berkahwin dengan Marshila Mustapa Kamal pada 2001 dan dikurniakan tiga anak, iaitu Aleeya Mysara, 23, Mohd Eiki Daniel, 21, dan Dylea Mysara,19. Perkahwinan mereka hanya bertahan selama 9 tahun apabila mereka bercerai talak dua pada 29 Oktober 2009.

Previous articleShiha tak pernah putus asa, nama melonjak di persada seni

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here