Oleh: Khadijah Ibrahim
LAGU-LAGU dendangan kumpulan Exists dan Slam sejak dulu hingga kini tetap menjadi pilihan pendengar muzik tempatan tanpa mengira musim. Itulah kelebihan lagu-lagu lama berbanding lagu zaman sekarang yang ‘trending’ pada waktu tertentu sahaja.
Jika penyanyi lain atau bakat baharu bertungkus lumus untuk mengeluarkan lagu terkini bagi meneruskan kerjaya seni, tidak bagi Exists dan Slam kerana lagu lama mereka masih terus diminati hingga kini.

Tidak dinafikan kedua-dua penyanyi iaitu Ezad yang mewakili Exists dan Zamani bersama Slam, mempunyai aura tersendiri. Bayangkan apabial kedua-dua penyanyi ini bersatu dalam satu pesembahan yang bakal menggegarkan pentas.
Untuk menyaksikan Ezad bersama anggota Exists dan Zamani bersama ahli Slam beraksi, jangan lupa untuk menempah tiket bagi menonton konsert ‘Slam X Exists-Our Journey’ anjuran bersama SS Karya Venture dan Republic Mokhmah Records yang bakal berlangsung di Mega Star Arena, pada 26 Julai ini.
Konsert ‘Slam X Exists-Our Journey’ adalah sebuah perjalanan panjang daripada dua buah kumpulan legenda tanah air ini dalam sepak terajang memperkenal muzik sekali gus membina reputasi sehingga berdekad lamanya.

Slam dan Exists sendiri mempunyai ‘pertalian’ sejak awal penubuhan kerana kumpulan Slam dibentuk oleh salah seorang anggota Exists, Shah yang akhirnya mencipta sukses bersama anggota yang lain termasuk Lili, Man, Zamani dan Eddie.
Sementara Exists lebih dua dekad bermuzik dengan beberapa anggota bersilih ganti termasuk vokalis daripada Mamat, Ezad, dan kini Ezad sebagai tulang belakang kumpulan yang berasal dari Johor Bahru itu bersama Ajai, Ujang, Along dan Musa.
“Judul Slam X Exists adalah sangat signifikan dengan penganjuran daripada Republic Mokhmah Records dan SS Karya Venture kerana apa yang kami ketengahkan menerusi konsert ini adalah perjalanan panjang Slam dan Exists dalam karier seni mereka.

“Slam dan Exists bukan sekadar kumpulan muzik tetapi menjadi jenama kukuh dalam industri hiburan Nusantara menerusi karya-karya mereka yang bermutu.
“Maka setelah perbincangan demi perbincangan dilakukan bersama Slam dan Exists kerana mereka tidak mahu memberi konsert yang sama tanpa konsep yang jelas, akhirnya kami mencapai kata putus bahawa ‘bercerita’ tentang perjalanan panjang mereka menerusi ‘Slam X Exists-Our Journey’,” ujar pengasas SS Karya Venture, Shah Nizam Abdul Halim.
Tentu sahaja apabila memilih tema ‘Slam X Exists-Our Journey’, selain konsep, hal yang dititik beratkan adalah seleksi lagu yang akan dipersembahkan. Selain akan menyampaikan hit-hit mereka seperti “Rindiani”, “Gerimis Mengundang”, “Mentari Muncul Lagi “(Slam) atau “Julia”, “Langkah Seiringan”, Jesnita (Exists), kedua-dua kumpulan ini akan menghiburkan peminat dengan pemilihan karya penuh nostalgia yang tidak akan mengecewakan.

“Besar harapan kami ‘Slam X Exists-Our Journey’ akan menjadi satu momen buat peminat melihat perjuangan kami, menikmati karya kami dan menghargai bukan hanya satu kumpulan atau seorang pemuzik tetapi juga sentiasa menyokong pemuzik dengan sihat.
“Sebab muzik bukan tentang perjuangan seorang tetapi melalui muzik dengan pelbagai latar belakang tetap bertujuan menyatukan kita semua,” ujar Shah Slam.
Tiket-tiket dijual pada harga RM168 (PS 4 LANGKAH SEIRINGAN), RM268 (PS33 RINDIANI), RM368 (PS2 JULIA), RM388 (PS1 JESNITA), RM448 (VIP MARIA MARIANA), RM3000 (GRAND VIP KEMBALI TERJALIN) boleh diperoleh menerusi www.ilassoTicket.com/slamexists.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.