Tahun ini Siti Nurhaliza muncul dengan single raya, gubahan Aishah Retno dan adiknya, RADi.

Oleh: Khadijah Ibrahim

HUH! Tahun ini banyak sungguh lagu raya baharu yang dikeluarkan oleh pelbagai lapisan penyanyi. Salah seorang yang turut tampil dengan lagu raya pada tahun ini ialah Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Sebelum ini lagu-lagu raya dendangan Biduanita Negara itu seperti “Sesuci Lebaran”, “Nazam Lebaran”, “Anugerah Aidilfitri” dan “Air Mata Syawal” sehingga kini masih menjadi pilihan orang ramai setiap kali Syawal menjelang.

Bersama Aisha Retno yang mencipta lagu “Raya Nak Ke Mana?”.

Bagi meneruskan tradisi lagu raya, tahun ini Siti, 46, kembali dengan single “Raya Nak Ke Mana?”. Jika sebelum ini Siti sering bekerjasama dengan komposer Allahyarham Pak Ngah atau Suhaimi Mohd Zain, untuk single terbaharu raya kali ini, Siti memilih karya Aisha Retno dan RADi pula. Manakala lirik lagu digarap oleh Aisha Retno bersama Amylea Azizan.

Ujar Siti, beliau mengeluarkan lagu raya pada tahun ini bukan untuk bersaing dengan penyanyi muda. Malah beliau gembira kerana ramai penyanyi tampil dengan single raya dan sekali gus merancakkan lagi industri muzik tanah air.

Lirik untuk lagu”Raya Nak Ke Mana?” dihasilkan oleh Amylea Azizan bersama Aisha Retno.

“Saya keluakan lagu raya kerana mahu mengekalkan konsep lagu raya yang pernah dibawakan sebelum ini. Untuk itu saya bekerjasama dengan pencipta muda seperti Aisha Retno dan adiknya, RADi.

“Jujur, pertama kali dengar demo lagu ini saya sudah tertarik dan tidak fikir lama untuk merakam lagu ini. Lagu raya berentak zapin ini mengembalikan nostalgia lagu raya yang pernah saya nyanyikan sebelum ini,” katanya.

Keluarkan lagu raya sebab nak kekalkan konsep yang dibawa sebelum ini.

Sebagai artis berpengalaman, Siti gembira kerana dapat bekerjasama dengan anak muda kerana yakin setiap pengkarya mempunyai kelebihan mereka tersendiri.

“Lagu raya cukup sinonim dalam kerjaya saya dan tahun ini saya berasa bertuah kerana dapat menyanyikan sebuah lagi karya yang mempunyai keistimewaan dan berpotensi malar segar.

Siti Nurhaliza tiada masalah bekerja dengan komposer muda.

“Raya Nak Ke Mana?” adalah bukti di mana pencipta muda juga mampu menghasilkan lagu raya yang enak didengar, mudah diikuti serta memberikan aura kemeriahan hari raya yang dirindui.

“Sekali dengar, lagu ini terus memikat hati apatah lagi lagu berunsurkan irama tradisional sentiasa melekat di hati saya. Saya sangat berharap agar lagu ini akan diterima pendengar dan peminat seperti koleksi lagu raya lain yang pernah saya nyanyikan,” kata Siti tentang lagu terbitan SN Legacy Sdn. Bhd., dan Universal Music Sdn. Bhd., itu yang boleh ditonton di saluran YouTube rasmi Siti Nurhaliza.

Previous articleSalam Nuzul Al-Quran 2025/1446H!
Next articleCubaan Iman Fandi nyanyi lagu Melayu, “Hari Raya Raya Raya”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here