Oleh : Nafsiah Jani
Foto: Afhzahafiez Kamaruddin
Selalunya hanya pada bulan Ramadan saja anak-anak yatim disantuni pihak-pihak tertentu dengan meraikan mereka dalam majlis berbuka puasa. Namun tidak kepada pihak pengurusan, Thai Charoen Seafood, Shah Alam yang mengambil pendekatan awal dengan meraikan anak-anak yatim dari Rumah Titian Kasih Al-Inayah, Kampung Sijangkang, Selangor sebelum tibanya Ramadan.
Dalam majlis tersebut, seramai 25 orang anak yatim bersama enam penjaga mereka diraikan bersama wakil media dan badan amal, Youthcare Malaysia. Selain menikmati juadah lazat, anak-anak ini juga menerima sumbangan khas yang dapat membantu mereka membuat persediaan menyambut Ramadan dengan lebih ceria.
Pengurus Besar Thai Charoen Seafood, Sam Aziz berkata, kami adakan majlis ini untuk memberi peluang kepada anak-anak yatim merasai masakan authentic Bangkok yang sebenarnya.

“Kami tahu anak-anak yatim ini duduk jauh dan jarang dapat jemputan merasai masakan authentic Bangkok yang sebenarnya. Jadi inilah masa yang sesuai untuk kami meraikan mereka. Program ini diadakan lebih awal supaya anak-anak yatim tersebut dapat menggunakan wang sumbangan yang diterima untuk keperluan mereka sebelum Ramadan bermula.
“Seperti kanak-kanak yang ada keluarga, kami juga mahu mereka merasai kegembiraan menyambut kedatangan Ramadan. Majlis ini merupakan inisiatif pertama restoran kami dalam menganjurkan program amal sebegini dan berharap dapat menjadikannya sebagai acara tahunan,” jelasnya yang akan mengadakan lagi majlis sebegini pada bulan Ramadan ini.
Sementara itu, penyelia Rumah Titian Kasih Al-Inayah, Umi Norjia, turut meluahkan rasa syukur atas undangan yang diberikan. Beliau berkongsi bahawa anak-anak yatim di rumah tersebut amat teruja kerana jarang berpeluang menghadiri majlis seumpama ini.
“Kami amat menghargai kesudian pihak restoran berkongsi rezeki dengan anak-anak ini. Melihat senyuman mereka menikmati hidangan benar-benar menyentuh hati kami,” katanya.

Dalam masa yang sama, Thai Charoen Seafood merancang untuk menganjurkan lebih banyak program kebajikan pada masa hadapan, seiring dengan pembukaan cawangan baharu mereka yang bakal diumumkan kelak. Restoran ini juga akan terus beroperasi sepanjang Ramadan dengan menawarkan pelbagai pilihan juadah berbuka puasa yang menggabungkan rasa autentik masakan Thai dengan cita rasa tempatan.
Thai Charoen Sdn. Bhd. dan Medic Venture Global Sdn. Bhd. merupakan sebahagian daripada kumpulan perniagaan yang berkongsi matlamat dalam menyajikan hidangan berkualiti tinggi kepada pelanggan. Sejak penubuhan cawangan pertama mereka pada Disember 2022, kumpulan ini terus komited dalam mengekalkan keaslian, inovasi, dan kualiti dalam industri makanan dan minuman.
Di bawah Thai Charoen Sdn. Bhd., Thai Charoen Seafood menampilkan kepakaran masakan asli Thai dengan menggunakan khidmat tukang masak profesional dari Thailand. Restoran pertama mereka terletak di Menara U, Seksyen 13, Shah Alam, dengan perancangan pembukaan cawangan seterusnya di Atria Shopping Gallery, Damansara.

Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita dan Saji terbitan Utusan Karya.