Oleh: Khadijah Ibrahim
JIKA tahun lalu, HS Event Ent Sdn Bhd menganjurkan Konsert Ijmal Cinta Ramadan dan mendapat sambutan positif daripada peminat, tahun ini syarikat berkenaan menampilkan Ijmal Cinta Ramadan 2.0 di Saloma, Kuala Lumpur pada 21 Mac ini.
Kali ini program tersebut bakal dimeriahkan dengan kehadiran penyanyi ternama iaitu Ramlah Ram, Noorshila Amin, Zur Eda, Man Bai, Ameng Spring, Amir Ukays dan Zamani Slam.

Penganjurnya, Datin Hajjah Ismariza dan rakan kongsi, Mubarak Akhtar berkata, Ijmal Cinta Ramadan 2.0 seperti biasa akan menampilkan persembahan dengan nilai-nilai spiritual yang sesuai dan bermakna dalam suasana Ramadan.
Katanya, orang ramai yang membeli tiket secara tidak langsung juga turut berpeluang untuk beramal menerusi program ini.

“Pada petang hari kejadian, akan berlangsung tadarus al-Quran dan tazkirah yang mendalam sebelum kita semua bersama-sama berbuka puasa. Kemudian, kita akan melaksanakan solat Maghrib secara berjemaah.
“Kita juga akan memberikan sumbangan duit raya kepada anak-anak yatim yang diraikan. Selepas itu, solat Isyak dan tarawih akan diadakan. Dan barulah persembahan artis bermula,” katanya.

Mengulangi kebiasaan, penganjur juga tidak melupakan insan seni yang berdepan masalah kesihatan dan kewangan apabila menghulurkan sumbangan.
“Pada acara ini juga, kita turut meraikan 10 anak seni yang berdepan masalah kesihatan dan kewangan untuk kita berikan sumbangan. Semoga ia dapat membantu meringkan beban mereka menjelang sambutan Aidilfitri,” katanya.
Mengulas berkenaan tujuh artis ini pula, Mubarak berkata, kesemuanya adalah nama-nama besar dan mempunyai kelompok peminat tersendiri dalam industri nyanyian tanah air.

“Selain mempunyai kelompok peminat yang besar, kesudian mereka untuk terlibat dalam program ini juga sesuatu yang luar biasa.
“Saya percaya peminat setia mereka tidak akan melepaskan peluang hadir ke program tahunan ini,” katanya.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.