Kat Roshan dan Adam E berkolaborasi dalam lagu "Hey U".

Oleh: Khadijah Ibrahim

DI kalangan peminat muzik tempatan, nama Kat Roshan mungkin kedengaran baharu bagi mereka. Sebenarnya penyanyi berdarah campuran Cina dan Melayu itu sudah pun ada EP sulung berjudul “My Demons” sejak 2021 dan diikuti dengan album pertama, pada 28 Mei 2023 berjudul “Attachments”.

Malah pada 2024, Kat Roshan atau Katrina Cheng Roshan turut mengeluarkan single berjudul “Ku Percaya” ciptaan Chossy Pratama dari Timor Leste. Selain itu, beliau juga tampil dengan single “I’m A Rebel” bersama dengan Asyraf Nasir.

Pada tahun lalu juga, Katrina atau mesra dengan panggilan Kat berjaya mengharumkan nama Malaysia sewaktu mengadakan persembahan untuk ‘Hear Each Other Concert – Sound of the South China Sea’ anjuran CCTV4 di Sanya Hainan, China dengan mendendangkan lagu “Wau Bulan” berduet dengan Meer Nash.

Adam dan Kat Roshan pada majlis pelancaran video muzik “Hey U”, baru-baru ini.

Untuk tahun ini, Kat memilih untuk berkolaborasi dengan anak Datuk Hattan pula iaitu Adam Eman atau Adam E menerusi lagu “Hey U” yang dicipta oleh Radi bersama Jaysontxp, manakala lirik pula oleh Asyraf Nasir, Adam E dan Kat Roshan sendiri.

Kat tidak menafikan bahawa lagu “Hey U” yang berkisar tentang realiti dalam hubungan cinta yang penuh konflik dan ketidakpastian ada kena mengena dengan kisahnya juga.

“Lagu ini sebenarnya mengupas tarikan dan ketahanan dalam hubungan yang penuh ketidaktentuan. Saya pernah berada dalam situasi tersebut dan sebab itulah sewaktu rakaman saya dapat menyampaikan lagu tersebut dengan penuh jiwa.

Lagu terkini Kat Roshan ada kena mengena dengan kisahnya.

“Saya menyampaikan lirik yang mencerminkan kekecewaan dan sindiran seorang wanita yang menyedari kecurangan pasangannya tetapi masih belum mampu melepaskannya,” jelasnya yang memilih Adam sebagai pasangan duet terkini kerana yakin penyanyi serba boleh itu ada aura tersendiri untuk tarik perhatian pendengar muda.

Kat Roshan turut berharap lagu ini mendapat sambutan baik sekali gus menampilkan sisi dirinya yang lebih santai kepada peminat.

“Saya yakin ramai yang boleh kaitkan dengan mesej dalam lagu ini. Harapan saya adalah agar ia dapat menyentuh hati pendengar dan memberikan impak positif,” katanya yang sedang melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah dalam bidang “Criminology” di University College London (UCL).

Adam dan Kat Roshan bukan setakat menyanyi, mereka juga penulis lirik bersama Asyraf Nasir untuk lagu tersebut.

Justeru itulah, pembikinan video muzik lagu “Hey U” yang diarah oleh Tobias Nash, dilakukan di luar negara iaitu di beberapa lokasi indah di Paris, Perancis dalam masa yang singkat.

Bagi Kat, yang sebelum ini bekerjasama dengan Tobias untuk video muzik “I’m A Rebel”, suasana di Paris begitu mempesonakan sehingga mereka berusaha untuk merakamkan sebanyak mungkin pemandangan yang indah.

“Kami hanya mempunyai satu setengah hari untuk merakam video muzik ini, jadi semuanya terasa spontan. Namun, saya sempat mengalami sedikit masalah kesihatan akibat makanan, tetapi saya berjaya menghabiskan penggambaran,” katanya.

Sementara itu, Adam menyifatkan pengalaman menjalani penggambaran video muzik di sana amat menyeronokkan tetapi mencabar kerana mereka perlu bergerak dari satu tempat ke tempat lain dengan pantas.

Adam E lebih senang mencipta nama sendiri tanpa menumpang populariti bapanya, Hattan.

Adam berharap lagu berkisarkan tentang seorang wanita yang begitu mencintai pasangannya, manakala si lelaki pula berusaha mengubah sikap buruknya yang sering curang itu dapat diterima baik oleh pendengar serta kena dengan pengalaman mereka sendiri.

“Saya mahu lagu ini membuatkan orang tersenyum. Ia ringan, menyeronokkan, dan boleh dikaitkan dengan banyak kisah cinta di luar sana. Macam biasa la bila bercinta pelbagai janji ditabur, namun, akhirnya, perubahan yang dijanjikan tidak pernah menjadi kenyataan.

“Lagu ini adalah kisah cinta segi tiga yang tipikal tetapi sangat ‘relatable’. Ramai yang pernah mengalami situasi yang serupa,” katanya mengenai lagu “Hey U” yang kini boleh didengarkan di semua platform penstriman muzik utama.

Previous articleDolla bergandingan dengan Tobii dari Thailand
Next articleAmar Amran “Raya Sehati Sedondon” bersama Jamal Abdillah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here