Oleh: Khadijah Ibrahim
KUMPULAN muzik rock alternatif, Neon, kini kembali dengan single baharu berjudul “Biar” bergenre rock moden yang penuh emosi dengan mengetengahkan tema kesedaran dan keinsafan.
Lagu ini juga menandakan langkah pertama Neon dalam penghasilan lagu dan sekali gus membuka jalan untuk lebih banyak lagu yang bakal diterbitkan pada masa hadapan.
Kumpulan yang ditubuhkan tahun 2017, dianggotai oleh Boy selaku vokalis, Naim Sapuan (bass), Shafique Shariff (gitar), Adam Svl (gitar), Azuad Abdullah (dram), dan Danial Firdaus (keyboard), yang dikenali dengan pendekatan muzik rock alternatif menggabungkan elemen pop, balada, jazz, dan eksperimental.
Band ini beraspirasi untuk menghasilkan muzik rock yang mengadunkan unsur moden dan alternatif, mencipta pengalaman yang unik dan baharu buat pendengar.

Mengimbas kembali langkah pertama kumpulan Neon dalam industri, lagu debut mereka, “Cinta Yang Telah Mati”, hasil karya KR dan komposer terkenal Ippo Hafiz, menerima sambutan luar biasa. Lagu tersebut berjaya menembusi Top 10 dalam carta stesen radio tempatan, malah meraih lebih 1.1 juta tontonan di YouTube dengan maklum balas positif yang meluas daripada peminat dan pendengar.
“Biar” mengisahkan cinta terindah yang pernah dimiliki, namun musnah akibat kesilapan diri sendiri. Hati yang hancur itu terus dihantui bayang-bayang penyesalan, terperangkap dalam ikatan rasa bersalah.
Oleh itu, jiwa yang terluka itu kembali berpaling kepada Tuhan dan mula menyedari bahawa selama ini ia lebih mengejar cinta sesama manusia, tetapi lupa mencari dan mengharapkan kasih Yang Maha Esa.
Dengan lirik yang menusuk kalbu dan mesej yang mendalam, “Biar” jelas bukan sekadar kisah cinta seorang kekasih, tetapi sebuah pengisian jiwa dan cinta daripada seorang hamba kepada Tuhan.
Menurut Adam, “Biar” merupakan sebuah lagu yang agak berat, tapi sangat dekat dengan karakter dan gaya muzik Neon. Malah menerusi lagu ini mereka banyak bereksperimen.
“Disebabkan kami banyak bereksperimen untuk lagu ini, sebab itulah rakaman mengambil masa lebih dua bulan. Sejujurnya, proses penerbitan lagu ini juga sedikit terbantut kerana kesukaran untuk mengumpulkan semua ahli yang masing-masing sibuk dengan komitmen dan tanggungjawab peribadi.
“Namun, akhirnya, segala usaha dan kesulitan yang kami tempuhi menjadikan kejayaan lagu ini lebih bermakna dan kami semakin bersemangat untuk terus berkarya,” kata Adam.

Tambahnya lagi, antara cabaran lain yang dihadapi mereka, semua orang perlu fahami maksud lagu ini dan hayati mood serta menyampaikannya yang tepat.
“Ia bukan sekadar tentang vokal, tetapi juga melibatkan seluruh aspek muzik, cover art, dan video muzik yang selari dengan mood yang ingin disampaikan dalam lagu ini,” ujarnya yang berharap Neon
dapat menarik lebih ramai pendengar muzik baharu melalui “Biar”.
Selaku komposer, penulis lirik dan vokalis bagi Neon, Boy atau nama sebenarnya, Mohd Firdhaus Mahadzir pula berkata, kumpulan tersebut digambarkan seperti Neon, Bold dan Revolution.
“Setiap daripada kami mempunyai kekuatan tersendiri yang memudahkan pembikinan lagu. Bagi saya, “Biar” ialah karya yang sangat sentimental kerana kisahnya terinspirasi daripada pengalaman hidup saya sendiri.
“Biar” adalah single pertama Neon di bawah Alternate Records, kami berharap akan ada lebih banyak projek bersama selepas ini. Selain memberi peminat muzik Malaysia sebuah karya yang lebih segar dan moden, kami juga bertekad untuk memartabatkan karya seni tempatan, memperkenalkannya kepada pencinta muzik bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di Singapura, Brunei, dan Indonesia,” tambahnya lagi.
Lagu “Biar” boleh didapati menerusi iTunes atau strim terus melalui platform seperti Spotify dan YouTube Music.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.