Shuib artis serba boleh.

Oleh: Nafsiah Jani

Kesusahannya sejak kecil hingga `tidak sempat’ mempunyai cita-cita membuatkan pelakon, penyampai radio, pelawak, penyanyi dan usahawan Shuib bertekad memastikan cita-cita anaknya tercapai.

Demi impian mereka tercapai, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad, 40`cukup keras’ dalam mendidik anak-anaknya Thalita dan Uwais agar berjaya mengapai apa yang diimpikan.

“Kita ni bapak dan apa pun yang anak-anak inginkan kita akan sokong bersungguh-sungguh. Macam anak kedua saya Thalita, sejak umurnya 3 hingga sekarang tidak pernah berubah cita-citanya setiap kali saya tanya ingin menjadi penyanyi.

Filem lakonan Shuib, “Man Sewel Datang KL” yang mendapat sambutan.

“Setiap tahun bila ditanya, penyanyi saja yang keluar dari mulutnya. Sebelum itu memang tak nampak bakatnya, bila suruh menyanyi dekat rumah malu-malu. Kalau malu bagaimana nak jadi penyanyi dan berdepan dengan orang ramai. Kalau dengar dia menyanyi suka-suka, `sumbang’ dan ‘flat’ suaranya.

“Hingggalah umurnya 12 tahun, ketika bercuti ke Jepun barulah Thalita beritahu Watie (mummy) mengenai impiannya nak jadi penyanyi, nak jadi matang…tak nak lagi gaduh-gaduh dengan Martin,’’ katanya yang dipanggil daddy oleh anak-anaknya.

Sekembalinya dari Jepun, Shuib yang sering membuat live tik tok mengajak Thalita menyanyi secara live dalam tik toknya. Waktu itu barulah Shuib sedar yang anaknya memang bersungguh-sungguh ingin menjadi penyanyi. Sebagai ayah, Shuib berjanji pada dirinya akan berusaha memastikan cita-cita Thalita tercapai.

Gambar kenangan…hari pernikahan Shuib dan Siti Sarah pada 2011.

“Mula tu memanglah suaranya `sumbang’ sana sini. Tapi keberaniannya menyanyi secara live dan tak malu itu, saya mula nampak perubahannya. Bagi buat dia lebih yajin, setiap kali live, saya akan ajak dia menyanyi secara live.

“Hingga satu waktu saya bertanya adakah dia memang benar-benar nak jadi penyanyi. Kata Thalita dia memang nak jadi penyanyi dan tak akan kecewakan daddynya. Thalita memang ada bakat dan bait-bait nyanyiannya memang macam emaknya (Siti Sarah).

“Saya cakap padanya nak berjaya dia kena kerja keras, berlatih lapan jam sehari dan kalau mampu berlatih 12 jam tanpa henti macam arwah maknya. Itu sebabnya saya hantar dia p kelas vokal dengan cikgu Syaffi seminggu sekali selama 11/2 jam. Bangun tidur saya pesan cakap pada diri nak jadi penyanyi, balik sekolah mandi makan dan lepas sembahyang berlatih hingga waktu nak tidur,’’ ujar Shuib lagi mengenai rutin latihan dan merancang membuatkan mini album untuk Thalita.

Shuib, Mamat dan Dj Khai bersama (dua dari kiri) Ketua Pegawai Operasi Nuh Travel & Tours, Mohammad Adam Jalalel Din yang akan membawa mereka menunaikan umrah selepas Hari Raya.

Tambah Shuib lagi, Untuk berjaya Thalita disuruh menjadikan artis barat sebagai idolanya.

“Saya nampak dia kearah genre R & B. Kalau boleh saya nak dia jadi macam maknya, itu sebab saya suruh dia berlatih menyanyikan lagu-lagu Mariah Carey, Beyonce, Whitney Houston dan Boyz II Men. Saya tak harap dia menyanyi dengan nada tinggi, bagi saya menyanyi dengan nada rendah pun sudah mencukupi.” katanya lagi.

Menurut Shuib lagi, “Kalau nak tahu, saya akan jadi orang paling sibuk demi anak-anak. Saya tak pernah rasa macam tu…saya anak tunggal dan saya telah melalui zaman kanak-kanak yang tak bagus tapi saya bersyukur. Zaman kanak-kanak saya duduk dengan nenek dan hidup yang susah…susah yang paling susah.

“Sejak kecil saya sudah berdikari, cari duit sendiri. Saya tidak pernah berpeluang nak develop kerjaya diri…memang tak ada peluang. Bila dah besar, saya dah tahu susah itu bagaimana.

Sahabat dunia akhirat…Shuib dan Mamat Sepahtu.

“Saya sering bertanya pada diri sendiri, kenapa hidup aku susah…kenapa aku perlu hidup dalam situasi ni. Orang ada kenderaan aku tak ada, orang ada rumah besar…aku tak ada. Waktu itu apa yang saya fikirkan, bagaimana nak teruskan kehidupan. Kalau boleh saya tak mahu anak-anak saya melalui kesusahan macam saya. Selagi boleh saya kena bantu mereka untuk ada kerjaya sendiri.”

Bercakap mengenai anak sulongnya, Uwais pula bercita-cita nak jadi pemain golf professional satu hari nanti dan kini dah tujuh tahun Uwais bermain golf

“Sebelum ini, Uwais dah cuba banyak benda. Apa yang saya nampak minatnya lebih kepada bermain golf. Dua tahun dia pernah wakili negeri Selangor bermain dan tak tahu apanya sebabnya tahun lepas dia terlepas bermain untuk Selangor dan sukan SUKMA.

“Nak berjaya… banyak yang dia perlu korbankan. Waktu petang, rakan-rakan sebayanya ada masa nak main bola dan basikal, tapi hari-hari di padang golf berlatih dan berlatih selama lima jam setiap hari. Nak berjaya dia tak boleh komplen dan demi pastikan impiannya tercapai saya dapatkannya keahlian di kelab golf di Nilai Spring dan Glenmarie.

Watie, isteri tercinta kini merupakan tulang belakang Shuib untuk terus berkarya.

“Waktu sekolah pula saya minta anak saya balik awal, asalkan dia pandai baca, pandai tulis, bahasa Inggeris dan sains dah cukup pada saya. Saya cakap pada cikgunya yang saya nak jadikan dia pemain golf professional dan bukannya peguam atau saintis. Kalau jadi golfer dia boleh hasilkan banyak duit setiap tahun.” kata Shuib yang sibuk dengan Dol’s Podcast.

Kini Shuib bersama sahabat baiknya Mamat bakal muncul dengan telemovie raya

“Dulu masa dengan kumpulan Sepah, kami akan muncul dengan telemovie raya setiap kali Hari Raya. Kini dah bersama Mamat semula setelah 13 tahun `berpisah’, kami bercadang nak buat macam dulu juga. Dulu drama kami stail budak-budak umur 20 tahun dan sekarang kami dah berusia 40 tahun.

“Tajuk rahsia dulu dan kali ini kami nak guna kan pengarah yang sama macam dulu Daniel. Sudah belasan tahun bersama dan dia faham perangai dan `vibe’ kami berlakon. “

Sepanjang kariernya Shuib bersama kumpulan Sepah yang terdiri daripada Shuib, Jep dan Mamat pernah bergelar juara rancangan realiti Raja Lawak (musim ke 3) pada 2009, Maharaja Lawak 2011 dan Maharaja Lawak Mega 2013. Manakala mendapat tempat ketiga dalam pertandingan Super Spontan 2014 dan bergelar Naib Juara pada Maharaja Lawak Mega 2014.

Keluarga bahagia…Shuib dan Watie bersama anak- anak.

Populariti Shuib bersama kumpulannya Sepahtu membuat Shuib tercalon bagi kategori Artis Komedi Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke 31 (ABPBH 2015) dan tercalon bagi kategori Artis Komedi Popular dan Artis Versatile Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke 31 (2018) .

Selain membintangi puluhan drama, Shuib juga berlakon filem dan antara filem yang dibintanginya ialah Man Sewel Datang KL, Mael Lambong, Sepah The Movie, Oh Mak Kau (O.M.K), Amir dan Loqman Pergi ke Laut, Usin UFO, Rock Bro!, Abang Long Fadil 2, Tyickoouns dan Abang Long Fadil 3.

Selain itu, Shuib juga pernah berkhidmat dengan stesyen radio Era pada 2009-2010 untuk segmen Sepah Malam Era, 2015-2017 bersama Sinar dengan program Sepahtu Sinar, 2019-2021 dengan Hot FM mengendalikan program Geng Pagi Hot dan 2022-2023 Morning Morning Suria di radio Suria.

Shuib mendirikan rumah tangga bersama Siti Sarah Raissuddin pada 2011 dan dikurniakan empat orang anak iaitu Uwais Alqarni, 14 tahun, Dzahirah Talita Zahra,12, Ariq Matin,10 dan Ayash Affan yang berusia 3, Siti Sarah meninggal dunia pada Ogos 2021, akibat covid 19. Pada 23 Jun 2023 Shuib melangsungkan perkahwinan keduanya bersama Watie Hanifiah.

Shuib terus gah dalam dunia seni tanah air.

Di luar kerjaya hiburan, Shuib berkecimpung dalam bidang perniagaan bersama arwah isterinya, Siti Sarah dan rakan kongsi mereka menubuhkan rangkaian teh susu berasaskan madu lebah, Bubblebee yang mula beroperasi pada 2019.

Beliau juga berbakat dalam bidang muzik, pernah berduet bersama isterinya, menerusi lagu “Semakin Benci Semakin Cinta” hasil nukilan Ajai dan single ini dikeluarkan pada Jun 2021.

 

Previous articleMelly Goeslaw yang gemar ‘kelainan’ apabila berkarya
Next articleSelamat Menyambut Bulan Ramadan Yang Mulia 2025!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here