Oleh: Khadijah Ibrahim
SELEPAS impiannya untuk meraih kejayaan dalam acara berprestij Anugerah Juara Lagu ke-39 tercapai, kini Marsha Milan sekali lagi mampu menggapai impian memiliki album Borneo yang diidamkan sejak bergelar penyanyi.
Terus menyinari industri muzik, Marsha hadir dengan single terbaharu yang cukup berbeza, “Lintah Darat” sebuah karya istimewa hasil kolaborasi bersama Velvet Aduk.
Lagu ini diperkaya dengan alunan instrumen dan ritma yang mencerminkan identiti masyarakat Sabah, menerusi genre modern folk yang segar dan autentik.

Marsha dan Velvet mula rapat selepas masing-masing menyertai program Akademi Fantasia musim ketiga (2005) dan keempat pada 2006 dan sejak 2018, mereka telah berduet dalam beberapa buah lagu, bermula dengan projek Sumandak Sabah.
Mereka menggelarkan kolaborasi ini sebagai ‘passion project’ dan telah menghasilkan lima buah lagu duet bersama. Kini, mereka kembali dengan “Lintah Darat”, menandakan ‘comeback’ pertama selepas beberapa tahun menyepi.
Mengulas tentang inspirasi di sebalik lagu ini, Velvet berkongsi bahawa Marsha yang mengesyorkan kepadanya untuk menghasilkan lagu Sabahan.
“Ilham lagu ini datang apabila Marsha menghampiri saya dengan idea untuk mencipta sebuah lagu Sabahan yang boleh dinikmati ramai. Saya menulisnya mengikut hala tuju yang Marsha bayangkan, dan kali ini, kami bersepakat untuk mencipta sesuatu yang lebih santai dan menyeronokkan,” kongsi Velvet yang merupakan isteri kepada Rich yang juga peserta AF4.

Berkongsi keterujaannya terhadap projek ini, Marsha berkata, sebelum ini beliau kekurangan bahan untuk menghasilkan album Borneo.
“Sebelum ini, saya kekurangan sumber dan dana untuk merealisasikan impian menghasilkan album Borneo tetapi sebaik sahaja mendengar demo “Lintah Darat”, saya terus setuju. Lagu ini benar-benar mencerminkan arah muzik yang saya dan Velvet bawakan sebagai duo dalam ‘passion project’ kami.
“Velvet ialah tempat saya mengadu setiap kali saya perlukan seseorang. Saya memang selesa bekerjasama dengannya, dan walaupun sudah lepas lagu “Sumandak Sabah” (2018), kami tetap berhubung serta saling bertukar pandangan tentang karier solo masing-masing,” tambah Marsha.
“Lintah Darat” menyampaikan mesej tentang individu yang gemar mengambil kesempatan terhadap orang yang ikhlas dan baik hati. Liriknya bersifat sindiran terhadap individu tamak dan manipulatif, diibaratkan seperti “lintah darat” yang menghisap darah orang lain.

Namun, apabila tiada lagi yang boleh dieksploitasi, akhirnya ia merosakkan dirinya sendiri, seperti dalam baris, “Habis kau mengikis, badan kau sendiri.” Secara keseluruhan, lagu ini menjadi peringatan bahawa sifat hipokrit dan ketamakan akhirnya akan memakan diri.
Keunikan “Lintah Darat” terletak pada liriknya yang sedikit kontroversi serta struktur melodi yang berani, namun tetap santai, menyeronokkan, dan membangkitkan nostalgia dengan vibe poco-poco.
Lagu ini bukan sahaja menghiburkan, malah sesuai dimainkan pada acara istimewa, membuatkan pendengar teruja dan terbawa-bawa untuk menari bersama.
Bercakap lebih lanjut tentang kerjasama dengan Marsha, Velvet berkata, Marsha seorang artis yang sangat rajin dan bersemangat sejak dari awal, serta memiliki vokal yang luar biasa.

“Apabila lagu ini diberikan kepadanya, dia membawakannya dengan caranya sendiri daripada segi feel dan lenggok. Hasilnya ternyata sangat mengagumkan,” kata Velvet memuji kelebihan rakannya itu.
Mereka berharap” Lintah Darat” mendapat tempat di dalam hati pendengar, bukan sekadar hanya di Sabah tetapi di seluruh Malaysia. Mereka juga berharap kerjasama ini berterusan, memandangkan ini ialah lagu rakyat pertama mereka sebagai duo selepas dua tahun.
“Lintah Darat” irama yang penuh dengan jiwa Sabah ini boleh didengari di iTunes atau strim terus di Spotify dan YouTube Music.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.