Oleh: Khadijah Ibrahim
Foto: Ehsan Datuk Amy Search/Koleksi Syed Wafa
CUBA anda berdiri di tengah-tengah orang ramai dan kemudian jerit Phewitt! Automatik orang sekeliling akan mencari di celah-celah keramaian itu, di mana keberadaan Datuk Amy Search. Ini kerana jeritan Phewitt! secara tak langsung sudah menjadi trademark kepada penyanyi legenda Amy Search.
Bukan Phewitt! saja yang sinonim dengan diri Amy, malah lagu-lagu dendangannya seperti “Isabella”, “Fantasia Bulan Madu”, “Mentari Di Ufuk Timur” dan banyak lagi, sekali dengar intro lagu peminat muzik sudah tahu bahawa itu lagu nyanyian Amy Search.

Amy atau nama lengkapnya, Suhaimi Abdul Rahman, 67, dikenali sebagai vokalis utama kumpulan rock Search yang ditubuhkan pada 1981. Bersama kumpulan Search yang dianggotai oleh Hillary Ang sebagai pemain gitar utama, Yazid Ahmad (dram), Nordin Taib (gitar irama) dan Nasir Daud (bass) Search berjaya mencipta nama sebagai kumpulan rock yang paling berpengaruh di Malaysia.
Sebagai kumpulan rock nombor satu Malaysia, Amy dan anggota Search yang lain telah menerbitkan lebih 20 album studio yang terjual laris, berpuluh-puluh lagu dan single yang terlaris, dan puluhan konsert yang sering terjual habis tiketnya.

Populariti Search bukan setakat di Malaysia saja, nama kumpulan tersebut turut menjadi bualan peminat di Indonesia sehingga memberi kesempatan kepada Amy untuk berlakon dalam filem usahasama Malaysia dan Indonesia iaitu “Isabella” yang diterbitkan pada 1990.
Sebelum berlakon sebagai peneraju utama dalam filem “Isabella” bersama Nia Zulkarnaen, Amy terlebih dahulu mencuba bakat sebagai pelakon undangan menerusi filem “Kembara Seniman Jalanan” dan “Rozana Cinta 87” pada 1986.
Amy juga pernah mencabar dirinya dengan berlakon dalam pementasan muzikal “Satu Masa: Amy” anjuran Mentari Channel Network di Istana Budaya dari 26 hingga 28 Mac 2010. Ternyata Amy mampu memikul tanggungjawab itu dengan baik kerana setiap pelakon perlu bermonolog dengan penuh emosi dan beraksi selama sejam lebih bersama iringan muzik Orkestra Simfoni Kebangsaan.

Meskipun Search berjaya meraih populariti kerana lagu-lagu yang diketengahkan mereka sentiasa menjadi siulan ramai dan malar segar, namun di waktu yang sama kumpulan tersebut tidak dapat lari daripada perbezaan pendapat di kalangan anggotanya.
Justeru itu, Amy yang merupakan tonggak utama kumpulan tersebut mengundur diri sekitar tahun 1996. Pengunduran diri Amy daripada Search membuatkan ramai peminat kecewa kerana waktu itu kumpulan tersebut sudah bertapak lebih 10 tahun dalam industri muzik tempatan dan di antara kumpulan rock paling lama bertahan di Malaysia.
Walaupun sudah mengundurkan diri daripada Search, Amy yang terus kekal dikenali sebagai Amy Search bergerak sebagai penyanyi solo dan menghasilkan beberapa buah album studio solo.


Album solo pertama Amy berjudul “Magic” yang menampilkan 10 buah lagu dan dikeluarkan pada 1994 yang memuatkan lagu antaranya, “Aku Dah Bosan” dan “Saat Ku Idamkan”. Kemudian pada 1997 pula, Amy tampil dengan album kedua berjudul “Camaouflage” yang popular dengan lagu “Kerja Gila”.
Seterusnya album solo yang dihasilkan oleh Amy adalah “Amy Search” yang dikeluarkan pada 1999 dan diikuti dengan album “Satu Masa” (2000) dan “Ikon – A rockstar Chronicle” (2006).


Amy yang berasal dari Kampung Bakar Batu, Johor Bahru itu turut menjadi perhatian ramai kerana bukan mempunyai vokal yang memukau tapi juga seorang rockers yang menitikberatkan soal penampilan. Tiap kali muncul di majlis rasmi, imej yang ditonjolkan Amy pasti mendapat perhatian ramai.
Sebagai seorang selebriti ternama, Amy sering menjadi perhatian dan ramai yang mahu mendekatinya. Namun dalam kehidupannya, Amy sempat membina kebahagiaan dengan beberapa wanita istimewa.

Kali pertama, beliau mendirikan rumah tangga adalah dengan Faridah Fadzil pada 1983, sewaktu usianya 25 tahun, dan bercerai pada 1985. Hasil perkahwinan tersebut Amy dikurnikan seorang anak iaitu pelakon Nabila Huda yang lahir pada 1984.
Selepas lima tahun menduda, Amy mengambil keputusan untuk kembali bergelar suami kepada Noorliza Abdul Latiff pada September 1990. Mahligai yang dibina hanya mampu bertahan selama empat tahun sahaja dan tidak mempunyai cahaya mata.
Masih belum serik untuk menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga, Amy kembali bergelar suami kepada Roslisa Ahmad pada 1995 dan sayang jodoh mereka tidak berpanjangan. Amy dan isteri ketiganya itu bercerai pada 2000 dan dikurniakan seorang anak perempuan, Irisha Myra yang lahir pada 1997.

Kini kehidupan Amy bahagia bersama dengan Datin Norhasliza Hassan atau mesra dengan panggilan Nourish yang disatukan pada 2003. Bersama Nourish yang berasal dari Melaka itu, Amy dkurniakan tiga orang anak iaitu Alexander Zulkarnain yang lahir pada 2004, Sania Samara (2005) dan yang bongsu Qaqa At-Tameemi (2009).
Sepanjang Amy melayari dunia seni, beliau telah menerima beberapa anugerah hasil daripada usaha gigihnya sebagai anak seni. Antara anugerah yang diterima oleh Amy adalah Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Magic) sewaktu Anugerah Industri Muzik ke-2 (AIM2) pada 1995.
Ternyata penampilan Amy sebagai penyanyi solo membawa tuah kepadaya apabila album “Camouflage” dipilih sebagai Album Rock Terbaik, pada AIM5 yang diadakan pada 1998 dan pada AIM7 yang berlangsung pada 2000, sekali lagi karya Amy menerusi album “Aku” terbitan bersama Datuk M.Nasir itu diangkat sebagai Album Rock Terbaik.

Malah Amy juga penah dinobat sebagai pemenang untuk kategori Persembahan Vokal Terbaik Di dalam Album (Suatu Masa) sewaktu AIM8 yang diadakan pada 2001. Manakala untuk Anugerah Juara Lagu pada 1989, Amy dipilih sebagai Juara Persembahan Terbaik sewaktu mendendangkan lagu “Isabella”.
Populariti dan sumbangannya kepada bidang seni tanah air sekali gus melayakkan beliau untuk menerima Darjah Pangkuan Seri Melaka yang bergelar Datuk daripada Kerajaan Melaka sempena hari jadi Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam yang ke-73 pada pada 2022.
Konsert solo pertama selepas 44 tahun
BUKAN tidak ada promoter atau penganjur yang menawarkan Amy untuk mengadakan konsert sewaktu beliau bergerak solo sebelum ini. Memang ada tapi penyanyi rock legenda itu tidak mudah gelap mata kerana beliau lebih memikirkan konsekuensi yang bakal berlaku jika menjayakan konsert tanpa persiapan rapi.

Namun tatkala TheWhiteGroup dengan kerjasama Perbadanan Stadium Malaysia mempelawanya untuk menjayakan konsert solo, Amy yang berpuluh kali melakukan konsert berskala besar bersama Search itu tidak menolak.
Konsert yang diberi nama Amy Search Magic Konsert Solo Pertama ini dijangka menjadi salah satu detik paling penting dalam perjalanan seni Amy yang telah berkelana selama lebih empat dekad dalam industri muzik.

Selepas 44 tahun mencipta fenomena bersama kumpulan Search, Amy kini bersedia untuk menonjolkan sisi berbeza dan langkah ini dilihat sebagai satu usaha untuk mempersembahkan kehebatannya secara lebih mendalam dan intim kepada peminat.
Bagi Amy, konsert yang bertemakan ‘Magic’ ini bukan sahaja simbol pencapaian peribadi, tetapi juga penghormatan kepada semua peminat yang menyokong perjalanan seninya sejak awal.

“Setiap lagu yang akan saya nyanyikan nanti adalah cerminan daripada warna kehidupan saya. Setiap nota dan lirik membawa kisah yang berbeza, melambangkan suka duka yang saya lalui dalam industri ini.
“Saya berharap konsert ini akan memberi ruang kepada peminat untuk merasai segala perasaan yang saya alami sepanjang perjalanan ini. Melalui konsert solo ini, saya ingin mempersembahkan bukan sahaja muzik, tetapi juga jiwa saya.
“Lagu-lagu yang akan saya bawakan adalah bukan sekadar hits, tetapi juga pengalaman hidup yang telah membentuk siapa saya hari ini. Peminat akan dapat melihat sisi peribadi saya yang jarang mereka ketahui.

“Saya percaya konsert ini akan menjadi satu kenangan yang sukar dilupakan, kerana ia akan dipenuhi dengan warna kehidupan saya yang penuh dengan pelbagai emosi. Dengan tema ‘magic’, saya berharap peminat akan merasakan betapa istimewanya perjalanan ini, yang telah memberi saya segala kejayaan yang saya nikmati hari ini,” katanya meluahkan apa yang tersirat di hati.
Konsert solo ini turut mendapat sokongan penuh daripada anggota Search lain, iaitu Nasir, Hillary, dan Man Kidal. Sokongan ini menegaskan hubungan antara Amy dan kumpulan Search kekal erat meskipun beliau menjayakan konsert tanpa kehadiran rakan seperjuangan.

Jelas Amy, konsert ini bukan sekadar persembahan biasa. Barisan pemuzik yang bakal mengiringi beliau adalah antara yang terbaik dalam industri, memastikan setiap lagu yang dipersembahkan mencapai standard tertinggi.
Melalui konsert ini, Amy berharap dapat memberi inspirasi kepada generasi baharu pemuzik untuk terus memperjuangkan seni muzik tanah air. Semangat beliau untuk terus berkarya menjadi bukti bahawa usia bukan penghalang untuk mencapai Impian
Konsert ini turut mendapat sentuhan kreatif daripada Jennifer Thompson, seorang pengarah konsert yang disegani di Malaysia dan pimpinan muzik akan diketuai oleh Rie Tsuji. Penonton bakal disajikan dengan perjalanan karier Amy sepanjang lebih empat dekad yang kaya dengan pelbagai lagu hits dan kenangan manis.

Menurut Jennifer, Amy adalah ikon rock tanah air yang tidak memerlukan pengenalan. Konsert ini adalah peluang untuk peminat meraikan kariernya yang luar biasa dan penonton yang hadir nanti, pasti bakal menimba pengalaman yang penuh emosi dan keajaiban.
Tiket untuk konsert ini yang berharga RM188 (Cat 6- Tiada lagi), RM288 (Cat 5 – Gita Rama Sita), RM388 (Cat 4 – Kerja Gila), RM538 (Cat 3- Kamilah Cinta), RM608 (Cat 2 – Saatku Idamkan) dan RM788 (Cat 1- Rock Royalty) boleh dibeli menerusi sesawang www.wowtix.com.my.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.