Oleh : Asmat
Melihat kos untuk rawatan gigi sampai beribu ringgit, mungkin ada dalam kalangan kita yang masih tidak berkemampuan. Sebenarnya masih banyak cara yang boleh dilakukan untuk memutihkan gigi khususnya menggunakan bahan yang sedia ada di dapur dengan kos yang rendah dan berpatutan.
Di sini kami paparkan cara mudah untuk memutihkan gigi yang kekuningan menggunakan bahan-bahan semulajadi seperti di bawah:
Arang
Arang adalah bahan semulajadi yang digunakan oleh orang tua dulu-dulu untuk memutihkan gigi. Meskipun arang itu fizikalnya hitam legam,namun ia mampu membersihkan kerana di dalamnya terkandung kalium hidroksida. Disebabkan itu arang dijadikan sebagai salah satu bahan utama dalam pembuatan ubi gigi.
Jika ingin menggunakan arang secara semulajadi, boleh ambil arang atau kayu arang, tumbuk halus dan simpan dalam bekas bersih. Gosokkan pada gigi setiap pagi selama 2-3 minit. Namun penggunaan itu jangan berlebihan, gunakan secara sederhana sahaja.
Guna kayu sugi (siwak)
Selari dengan sunnah Rasulullah SAW sebagaimana sabdanya Riwayat dari Imam Bukhari yang bermaksud:
“Kalaulah tidak menyusahkan umatku nescaya aku akan perintahkan mereka bersiwak pada setiap sembahyang.”
Bersiwak menggunakan kayu sugi nampak mudah tapi ramai yang gagal menjadikannya sebagai rutin. Kayu sugi bukan sahaja mampu memutihkan gigi, tetapi mampu menguatkan gigi, menghilangkan kotoran yang melekat pada gigi sekali gus menjadikan gigi sihat dan putih bersinar.
Biji asam
Sama seperti arang, petua menggunakan biji asam popular dikalangan nenek moyang kita. Caranya ambil biji asam dan sangai (goreng tanpa minyak) hingga kehitaman. Setelah sejuk, tumbuk halus dan serbuknya kita sapu pada gigi. Amalkan sekerap mungkin untuk kesan yang optimum.
Putihkan gigi dengan garam
Percayakah kita garam mampu memutihkan gigi? Caranya mudah sahaja, siapkan garam secukupnya ke dalam mangkuk. Kemudian basahkan berus gigi dengan air dan celup ke dalam air yang mengandungi garam tadi. Berus gigi seperti biasa. Anda boleh lakukan cara ini sebelum tidur atau selepas makan.
Guna lemon dan garam
Dua bahan ini agak terkenal dengan fungsinya yang pelbagai. Campuran lemon dan garam juga bermanfaat untuk mencerah dan memutihkan gigi. Kesegaran pada lemon dan kuasa garam yang ‘membersih’ juga dapat mengawal bau nafas. Campurkan jus lemon ke dalam garam dan kacau hingga larut. Jadikannya seperti ubat gigi dan gosok seperti biasa. Namun diingatkan, jangan amal selalu kerana ia boleh menghakis enamel gigi. Anda juga boleh menggantikan lemon dengan limau nipis.
Putihkan gigi dengan kunyit dan mint
Tuangkan sedikit serbuk kunyit dan sedikit ekstrak daun mint pada sebuah mangkuk. Basahkan berus gigi dengan air dan celupkan berus gigi pada mangkuk yang berisi campuran kunyit tersebut. Gosok seperti biasa dan biarkan seketika selama lima minit dan selepas itu bolehlah berkumur-kumur.
Kulit limau atau kulit oren
Siapa sangka, sisa buangan dapur ini juga berkesan merawat masalah gigi kuning. Caranya juga mudah, gosok sahaja kulit limau atau kulit buah oren itu pada gigi setiap hari. Mungkin pada awalnya akan merasa pahit sedikit, namun lama kelamaan ia akan jadi biasa. Bagaimanapun, anda yang menghidapi masalah gigi sensitif agar berwaspada kerana ia boleh memudaratkan gigi kerana kandungan vitamin C yang tinggi pada kulit limau.
Putihkan gigi dengan soda bikarbonat
Bahan ini boleh menghilangkan plak dan memutihkan gigi. Ambil satu sudu soda bikarbonat dan campur dengan ubat gigi anda. Caranya gosok dan bilas seperti biasa. Awas, jangan amalkan selalu kerana ia boleh menghakis enamel gigi.
Kaedah lain yang boleh digunakan
Menerusi Hello Doktor pula, dikongsikan beberapa kaedah memutihkan gigi. Berikut adalah seperti yang dikongsikan dan anda boleh cuba gunakan kaedah ini untuk dapatkan gigi yang putih, bersih dan menawan.
1. Kaedah oil pulling merupakan sejenis remedi tradisional yang berasal dari India. Ia bertujuan untuk meningkatkan kebersihan mulut dan membuang toksin daripada badan. Amalan ini melibatkan sapuan minyak di dalam mulut anda untuk membuang bakteria, yang menjadi punca pembentukan plak dan menyebabkan gigi anda kelihatan kuning.
Minyak kelapa adalah pilihan yang popular kerana ia mempunyai rasa yang menyenangkan dan menawarkan banyak manfaat kesihatan. Minyak kelapa juga tinggi dengan asid laurik, yang berupaya untuk mengurangkan keradangan dan membunuh bakteria.
2. Memberus dan flos gigi menggunakan ubat gigi. Lakukan dengan kerap agar gigi kekal putih, bakteria dalam mulut anda dapat dikurangkan dan mencegah pembentukan plak. Membersihkan gigi secara berkala juga boleh membantu gigi untuk kekal bersih dan putih.
3. Makan banyak buah-buahan dan sayur-sayuran. Diet tinggi buah-buahan dan sayur-sayuran juga mungkin baik untuk badan dan gigi putih anda. Walaupun ia bukanlah pengganti kepada berus gigi, namun buah-buahan dan sayur-sayuran mentah yang rangup boleh membantu menghilangkan plak semasa anda mengunyahnya. Strawberi dan nanas adalah antara dua jenis buah yang dikatakan dapat membantu memutihkan gigi anda.
Penutup
Setelah dikongsi pelbagai cara dan kaedah untuk merawat serta memutihkan gigi, pastikan anda yang mempunyai masalah gigi kekuningan atau gigi tidak sekata lakukan seperti yang disarankan. Pastikan anda sentiasa menjaga kebersihan gigi dan jika nampak ia memudaratkan, boleh terus berhubung atau berjumpa dengan doktor yang bertauliah.

ASMA Fikri ialah bekas wartawan Majalah Al-Islam.