Awie dan Jeffrydin berduet mendendangkan lagu "Kenanganku" sebelum persembahan berakhir.

Oleh: Khadijah Ibrahim

AWALNYA penganjur TGJ Entertainment dan MM Entertainment sepakat untuk menganjurkan Konsert Rentas Masa pada 31 Disember 2024 sempena sambutan tahun baharu 2025. Antara artis yang terlibat adalah Datuk DJ Dave, Datuk Jeffrydin, Ziana Zain, Dato’ Awie dan Ara Johari.

Namun kira-kira seminggu sebelum acara berlangsung penganjur mengeluar kenyataan, memaklumkan penangguhan konsert tersebut ke 31 Januari 2025 dengan alasan bencana banjir yang telah melanda beberapa negeri di Malaysia.

Awie tampil dengan gaya yang tersendiri.

Walaupun begitu. penantian peminat irama 60-an, 70-an hingga ke era masa kini akhirnya terubat apabila kesemua artis kecuali Ara Johari yang disenaraikan untuk menghibur penonton di Zepp Kuala Lumpur telah melaksanakan tugasan masing-masing.

Persembahan konsert hampir dua jam itu dimulakan dengan nyanyian oleh kumpulan rock moden iaitu Fly V yang dianggotai oleh Ovie (vokalis/gitar), Kama (gitar utama) dan Mijie (bass).

Penyanyi popular pop yeh yeh, Jeffrydin masih bertenaga menghibur orang ramai.

Kumpulan yang ditubuhkan pada 1997 dan berasal dari Ampang itu adalah kumpulan underground dan berjaya menghibur penonton dengan lagu “Bebas” dan “Samar Bayangan”.
Sebaik saja Ovie dan rakan-rakan selesai menghibur penonton, mereka terus bertukar posisi sebagai pemuzik pengiring persembahan artis pula.

Sebelum DJ Dave tampil, penonton terlebih dahulu dihiburkan oleh pasangan suami isteri Nadia Fharshah dan Arwanz menerusi lagu “Sedangkan Lidah Lagi Tergigit” dan sketsa yang dipetik daripada filem “Tiga Abdul”.

Jeffrydin menyanyikan dua lagu untuk wanita bernama “Siti Haida” dan “Mas Mona”.

Kemudian persembahan diteruskan dengan rangkaian lagu popular DJ Dave iaitu “Denyutan Hati”, “Menjelang Hari Raya”, “Cinta Abadi” dan “Titisan Embun Pagi”. Pada usia 77 tahun, beliau masih bertenaga untuk mendendangkan lagu malar segar yang menaikkan namanya di persada seni sebelum ini.

Persembahan beliau yang penuh bertenaga diteruskan dengan medley kedua merangkumi “Masa Yang Lepas Takkan Kembali”, “Main Shair To Nahin”, “Di Desa Kasihku Tertumpah” dan “Kawan Setia” sebelum disudahi dengan lagu “Ingin Bersua” mendapat tepukan gemuruh penonton yang hadir.

Persembahan daripada Nadia Fharshah dan Arwanz serta rakan-rakan untuk Seniman Agung Negara.

Meneruskan nostalgia era keemasan, Jeffrydin, 78, memulakan persembahan dengan lagu “Termenung” dengan penuh penghayatan, membuktikan kualiti vokal yang konsisten.

Persembahan beliau diteruskan dengan “Siti Haida” dan “Seruling Anak Gembala” yang diserikan dengan persembahan tarian, membawa atmosfera autentik muzik Melayu asli ke pentas moden.
Lagu “Mas Mona” turut mendapat sambutan hangat dengan koreografi yang menambah nilai estetik kepada persembahan.

DJ Dave mengimbas semula lagu-lagu popularnya di hadapan penonton.

Sebaik saja selesai era 60-an persembahan Jeffrydin, kemudian tampil pula Ziana Zain memukau penonton dengan persembahan yang membuktikan statusnya sebagai ikon pop Malaysia.

Membawakan trio hit popularnya iaitu “Putus Terpaksa”, “Anggapanmu” dan “Kekal”, Ziana menunjukkan kehebatan teknikal vokal yang masih relevan, disokong oleh penggunaan grafik dan pencahayaan yang dramatik sesuai dengan persembahannya.

DJ Dave sempat turun pentas untuk bertegur sapa dengan peminatnya.

“Tiap kali buat persembahan, lagu “Putus Terpaksa” harus kena nyanyi kerana itu lagu permintaan peminat. Lagu itu saya rakam pada 1993, sekarang usia saya 57 tahun. Asyik nyanyi lagu frust saja, hidup pun frust,” katanya berseloroh dengan penonton.

Penyanyi terakhir yang menghibur penonton pada malam itu ialah Awie yang membawa dimensi berbeza ke pentas dengan sentuhan rock dalam persembahan hits seperti “Iris”, “Istana Menanti” dan “Di Penjara Janji”.

Tiga lagu yang didendangkan oleh Ziana Zain semuanya bernada tinggi.

“Lagu Iris ini ciptaan Edrie Hashim, dia cipta khas untuk isterinya, saya hanya nyanyi saja. Lagu Istana Menanti pernah dinyanyikan oleh penyanyi lain, sebenarnya lagu itu asalnya adalah milik Wings. Ni lagu “Di Penjara Janji” sesuai untuk ahli politik.

“Saya gembira kerana pada malam ini saya antara penyanyi muda yang menghibur anda semua. Selalu show, saya yang paling tua. Sebenarnya saya teringin nak buat konsert dengan Datuk Jeffrydin,” katanya sebelum menyanyikan lagu “Kenanganku” bersama penyanyi tersebut,” kata Awie yang mampu mendendangkan apa saja lagu mengikut versinya yang tersendiri.

Barisan penyanyi yang menjayakan Konsert Rentas Masa yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kerjasama antara empat artis berlainan era dan genre ini membuktikan muzik Malaysia mempunyai asas yang kukuh dan mampu merentasi sempadan generasi.

Konsert Rentas Masa bukan sekadar platform hiburan, tetapi merupakan satu dokumentasi hidup evolusi muzik tanah air yang disampaikan oleh ikon-ikon industri, sekali gus meletakkan penanda aras baharu untuk konsert-konsert tribut akan datang.

Previous articleSelebriti perlu berhati-hati sebelum terima tawaran – Karyawan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here