Ayu Damit mula mencipta nama selepas muncul sebagai juara program One In A Million musim kedua.

Oleh: Khadijah Ibrahim
Foto: Ehsan Ayu Damit/Koleksi Syed Wafa

PADA 8 Februari ini jika ada di antara anda menghadiri persembahan ‘Malam Laguan Puisi: Bunyian Irama & Prosa’, jam 9 malam, di Panggung Eksperimen, Akademi Seni Budaya dan Warisan (ASWARA), jangan terkejut jika melihat adanya penyanyi Ayu Damit.

Anak seni kelahiran Putatan, Sabah itu adalah di antara selebriti yang akan menghibur penonton bersama dengan penyanyi lain iaitu Aqasha, Azizul Haqim dan Leaism.

Untuk persembahan anjuran FB Media Ventures, Ayu atau nama penuhnya Norayu Damit, 36, tidak akan menyanyikan lagu popularnya, “Hanya Di Mercu”, sebaliknya beliau akan menyanyikan lagu yang diinspirasikan dari puisi-puisi Sasterawan Negara seperti Datuk Seri A. Samad Said, Dato’ Usman Awang, Profesor Emeritus Muhamad Haji Salleh, Datuk Rahman Shaari, Datuk Baha Zain dan Datuk Dr. Zurinah Hassan.

Kenangan Ayu Damit (Paling Kanan) muncul sebagai juara ptogram One In A Million musim kedua.

Ayu yang merupakan juara program realiti ‘One In A Million’ musim kedua (OIAM2) itu cukup sinonim dengan irama pop dan balada tapi kenapa beliau bersetuju untuk menyertai acara yang mendapat bantuan dana melalui program ArtsFAS, Yayasan Hasanah dan kerjasama dari ASWARA.

“Saya setuju untuk sertai ‘Malam Laguan Puisi’ ini kerana salah satu sebabnya saya seorang pelajar ASWARA dan yang mempelawa adalah pensyarah sendiri, mana mungkin saya menolak. Selama ini saya hanya nyanyi lagu-lagu balada dan pop saja, apa salahnya untuk saya mencuba sesuatu yang baharu.

“Lagi pun sepanjang belajar di ASWARA ada banyak benda lain yang saya belajar dan itulah sebabnya kenapa saya nak sertai ‘Malam Laguan Puisi’ kerana itu sesuatu yang baharu bagi saya. Tak adalah kita asyik nyanyi lagu jerit-jerit saja. Lagu begini lebih kepada jiwa mendayu dengan berpuisi, jadi banyak benda yang saya boleh belajar,” katanya tanpa berselindung.

Album pertama Ayu Damit “Inspirasi”.

Jelas Ayu, untuk persembahan tersebut nanti, Pengarah Projek dan Pengarah Muzik, Shamsul Cairel Abdul Karim memberinya tanggungjawab untuk menyanyikan dua buah lagu.

“Untuk persembahan ini nanti saya akan nyanyi dua lagu. Lagu kumpulan Harmoni, “Sepanjang Jalan ke Pulau Pinang” itu pun saya tak pernah dengar. Kalau “Jentayu” nyanyian Datuk Shiela Majid saya pernah dengar tapi tak pernah tahu verse lagu itu, cuma tahu korus saja.

“Jadi bila dapat tawaran itu memang kena banyak buat latihan tapi “Jentayu” ini senang sebab saya berduet. Jadi kalau yang dua lagu tu saya kena baca dan hafal sebab ia beza dengan lagu pop. Kalau lagu pop saya kena faham muzik dulu dan baru lirik tapi ini kena faham lirik dulu baru lagu sebab dah diolah,” katanya yang bersedia mencabar diri dengan genre yang jarang dipesembahkan.

‘Hanya Di Mercu’ single yang dikeluarkan selepas Ayu menjadi juara OIAM musim kedua.

Terus terang Ayu memberitahu, walaupun beliau adalah seorang penyanyi dan memiliki album studio pertama “Inspirasi” yang dikeluarkan pada 2009 dan mini album “Ayu Damit” pada 2012, sebagai pelajar ASWARA layanan yang diterimanya tetap sama seperti pelajar lain.

“Sebagai pelajar di ASWARA saya dilayan sama seperti pelajar lain. Mungkin ada benda-benda lain mereka nampak saya mendapat lebih sikit layanan tapi setakat ini di ASWARA tak ada pun terima layanan lebih walaupun saya penyanyi.

“Layanannya tetap sama, kalau tak datang kelas masih akan dapat surat amaran walaupun alasan pergi show. Kalau ada job awal saya aka beritahu awal. Kadang-kadang semua itu atas bicara kita dengan pensyarah. Kalau dia lepaskan, okey la kalau tak lepaskan terima saja la.

Dikagumi juga kerana tekun mengusahakan ladang cili padi bersama suami di Hulu Langat.

“Saya okey saja. Kalau ikutkan sekarang ini saya tahun dua dan nak masuk semester empat, ada lagi setahun. Sebenarnya saya pernah gagal dan kena ulang balik. Ada lagi satu tahun,” kata Ayu yang mula mengikuti pengajian peringkat ijazah sarjana muda Program Asasi Seni Kreatif pada Ogos 2021.

Isteri kepada Syed Fauzi Syed Baharuddin sejak 2009 dan ibu kepada Syed Nashrul Haikal, 16, Sharifah Alya Aryana, 13, Syed Aqif Najmi, 10, serta Sharifah Farah Elyana, dua tahun itu berkata, sejak belajar di ASWARA beliau mampu mempertingkatkan kebolehan diri dalam beberapa perkara.

Ayu masih bersemangat untuk menimba ilmu di ASWARA walaupun sibuk dengan kerjaya seni.

“Apabila saya sambung belajar tak perlu risau pasal vokal sebab setiap minggu ada satu kelas yang akan ajar tentang vokal. Jadi setakat ini saya tak pernah nak kalut-kalut.

“Bila masuk ASWARA ini ada tiga kursus utama iaitu klasikal, moden dan tradisional. Masa awal saya berfikiran yang saya tahu pop dan sudah tentu boleh tradisional tapi bukan klasikal kerana klasikal ini lebih teknikal sebab bila kita sampai klasikal ni kita boleh pukul habis semua lagu pop, balada atau tradisional kerana ia lebih kurang saja.

“Jadi saya masuk kelas klasikal untuk tahun pertama, semester pertama. Sebagai penyanyi balada selama 16 tahun nak tukar ke klasikal bukan benda mudah. Lagi-lagi suara yang dah masak macam ni dan orang kata alto yang dah besar, macam mana buat jadi klasikal memang mengambil masa.

Bersama suami dan tiga daripada empat orang cahaya matanya.

“Saya tak boleh nak pick up dalam masa tiga bulan. Degree kan tahun satu ada dua semester. Semester satu saya dah gagal. Bila gagal tu, pensyarah kata mungkin saya tak boleh buat yang ini. Dia suruh saya ambil kursus lain.

“Apapun saya bernasib baik kerana ada suami yang boleh jaga anak dan tolong saya di rumah. Sebab bila saya ada exam saya tak akan keluar rumah. Banyak mengadap piano buat latihan dan hafal key note itu. Itu yang buat ada kegagalan dan lepas itu saya mula repeat untuk major moden,” cerita Ayu yang tidak mudah putus asa itu.

Masih lagi menerima tawaran menjayakan persembahan untuk acara tertutup.

Ayu yang merupakan pemenang tempat ketiga ‘Gegar Vaganza’ musim ketujuh itu, baru-baru ini juga diajukan dengan soalan adakah beliau melakukan pembedahan di bahagian hidungnya.

Bagaimanapun, katanya, beliau pernah melakukan rawatan sebegitu beberapa tahun lalu, iaitu sebelum menyertai GV7 pada 2020. Malah Ayu juga sudah dapat menjangka apa kata orang apabila video tersebut dimuat naik.

“Sebelum ini, saya pernah buat dan muat naik dalam media sosial, tapi mungkin orang tak perasan. Ini adalah susulan daripada rawatan sebelum ini. Saya ada sinus dan aktif dalam bidang nyanyian. Jadi, saya perlu jaga kesihatan termasuk pernafasan supaya dapat terus menyanyi.

Ayu (dua dari kiri) bersama penyanyi dan pengarah projek Shamsul Cairel (kanan) pada sidang media ‘Malam Laguan Puisi: Bunyian Irama & Prosa’ baru-baru ini.

“Video dimuat naik di akaun pusat kesihatan dan kecantikan itu memang atas persetujuan saya sebab kami ada kolaborasi bersama. Tak perlu nak gembar-gembur pun, kolaborasi itu bersama dengan Imma Serilaris Aesthetic. Tak boleh cakap banyak dan tak nak ada benda berbangkit, tengok jelah video itu,” katanya yang lebih senang bersikap positif.

Selain berkolaborasi dengan pusat kecantikan itu, Ayu juga ada bekerjasama dengan sebuah klinik lain untuk penjagaan berat badan.

Ayu bersyukur kerana suami sering membantunya di rumah apabila dia sibuk dengan pengajian di ASWARA.

“Saya dibawah jagaan Rossa Klinik daripada berat saya 72 kilogram (kg) sampailah sekarang 52 kg. Setiap minggu saya jaga berat badan sebab ia melibatkan kesihatan. Bila kita berisi dan banyak bergerak saya mudah sakit lutut walaupun umur baru 36 tahun.

“Daripada saya sakit lutut baik saya turunkan berat badan dengan mereka yang tawarkan saya. Makanan dan minuman saya dijaga oleh mereka. Alhamdulillah, berjaya kerana saya tidak ambil gula dan nasi sejak empat bulan lalu.

“Sekarang ini dah tak terkesan dengan komen-komen orang sebab saya dah penat. Cakaplah macam mana pun, kalau nak ikut cakap orang ramai pun tak boleh sebab itu masalah kesihatan saya. Apa yang baik kita ambil, yang buruk kita buang,” katanya.

Ayu kini selesa bergerak sendiri tanpa bernaung di bawah label rakaman.

Selain menyanyi, Ayu juga ada mengusahakan ladang cili padi bersama suami di Batu 22, Hulu Langat. Ayu juga pernah menjual cili jeruk, bahaulu rojak, kerepek pisang dan kek pisang. Terkini Ayu juga mempunyai inap desa di Hulu Langat.

Meskipun sibuk dengan pelbagai perkara, Ayu masih lagi mengutamakan kerjaya seni suara selagi kehadirannya diterima ramai kerana beliau adalah di antara penyanyi yang berbakat besar.

Previous articlePerut buncit? Ini 1001 cara mudah nak kempiskan! (Bahagian 2)
Next articleMan Bai rasa masih kurang ilmu agama dan takut nak jumpa Allah!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here