Vishal dan Anjali sebagai Madhavi dalam salah satu adegan nyanyian.

Oleh: Khadijah Ibrahim

JIKA anda menonton filem Tamil “Madha Gaja Raja” yang sedang ditayangkan di pawagam tempatan sejak 16 Januari lalu, jangan terkejut kalau melihat pelakon dalam filem arahan Sundar C itu menggunakan telefon bimbit jenis lama.

Itu bukan adegan imbas balik kerana filem aksi komedi itu memulakan penggambaran sekitar Jun 2012 di Chennai, Palani, Jaipur, Hyderabad dan Australia. Malah muzik untuk filem lakonan Vishal, Anjali, Varalaxmi Sarathkumar, Santhanam, Sonu Sood, Manivannan, Subbaraju, Nithin Sathya, Sadagoppan Ramesh, Munna Simon dan John Kokken pun telah siap.

Vishal (kiri) sebagai Madha Gaja Raja dan Santhanam melakonkan watak Kalyanasundaram.

Namun filem yang diterbitkan oleh Gemini Film Circuit hanya ditayangkan kepada orang ramai di pawagam pada 12 Januari lalu di India kerana masalah kewangan dan undang-undang.

Meskipun Madha Gaja Raja terperap selama 12 tahun, namun ia tetap mendapat pujian daripada penonton dan pengkritik filem hingga menjadi filem pecah panggung di India kerana karya tersebut menampilkan penceritaan dan lakon layar yang baik.

Antara barisan pelakon yang membintangi filem pecah panggung ini.

Justeru itu, MSK Cinemas turut kerjasama dengan syarikat produksi terkenal dari India itu bagi mengedar tayangan filem tersebut di Malaysia dan Singapura.

Pengarah MSK Cinemas Sdn. Bhd., Saradha Sivalingam berkata, filem tersebut berjaya menarik perhatian penonton ke pawagam kerana ia membawa elemen komedi.

“Walaupun pembikinannnya menjangkau 12 tahun, apa yang penting jalan cerita “Madha Gaja Raja” ada mesej yang boleh dijadikan pengajaran untuk penonton. Selain itu, filem ini juga boleh membuat penonton tertawa dengan aksi komedi yang ditonjolkan,” katanya.

Pengarah “Madha Gaja Raja”, Sundar C (kiri) bersama pelakon utama filem tersebut, Vishal.

Sementara itu, produser Gemini Film Circuit, Radhakrishnan yang hadir sewaktu tayangan untuk pihak media di Malaysia berkata, beliau gembira kerana penerbitan filem ini berjaya dilaksanakan dan akhirnya ditayangkan kepada umum.

“Banyak perkara berlaku membabitkan pelakon utama, perubahan jadual penggambaran dan akhirnya siap. Ia sebenarnya 12 tahun masih baharu bukannya lama kerana apabila pelakon itu sendiri menonton filem ini mereka kelihatan muda dari aspek pemikiran, fizikal dan ton filem itu sendiri,” katanya.

Pengarah MSK Cinemas Sdn. Bhd., Saradha Sivalingam (kanan) bersama produser Gemini Film Circuit, Radhakrishnan (kiri) yang hadir mempromosi filem tersebut.

Tambahnya, beliau mengambil keputusan menayangkan filem ini ketika musim menuai iaitu perayaan Pongal yang disambut kali ini.

“Pengarah yang juga penulis skrip dan pembikin filem, Sundar C mahu memaparkan nilai hiburan untuk seisi keluarga yang boleh ditonton semua termasuk kanak-kanak.

“Filem ini menduduki tempat pertama dengan mencatat pencapaian filem pecah panggung di India dan mula ditayangkan bermula 16 Januari 2025 di Australia, New Zealand, Malaysia, Singapura dan Sri Lanka termasuk UAE, Oman, Qatar dan Mauritius,” terangnya.

Filem “Madha Gaja Raja” adalah filem aksi komedi.

Ujarnya, beliau juga menerima komen positif daripada penonton sebagai filem menghiburkan untuk seisi keluarga di mana filem ini akan menjelajah ke seluruh dunia merangkumi Amerika Syarikat, Kanada dan Eropah.

Radhakrishnan juga berkata, filem ini juga sesuai untuk ditonton oleh penonton Melayu kerana mempunyai sari kata dalam bahasa Melayu yang menjanjikan elemen komedi yang menghiburkan.

Filem Madha Gaja Raja mengisahkan sekumpulan rakan yang berkawan sejak zaman kanak-kanak bertemu semula selepas beberapa tahun dalam satu majlis perkahwinan.

Boleh ditonton di pawagam tempatan sejak 16 Januari lalu.

Ketika majlis tersebut berlangsung, sesuatu perkara yang dramatik berlaku menyebabkan mereka bersatu untuk menyelesaikan masalah bersama. Ia bukan saja menguji semangat setia kawan antara mereka tetapi ia menjadi proses dalam mengatasi masalah peribadi sesama mereka sendiri.

Seperti biasa filem Tamil pasti akan ada isu berkaitan korupsi yang melibatkan pemerintah (ahli politik) atau penguatkuasa (polis). Apa yang penting filem ini memberi kesedaran kepada penonton bahawa setia kawan perlu diutamakan dan bukan berkawan sewaktu senang sahaja.

Bagi peminat filem Tamil, anda juga boleh mengikuti perkembangan filem tempatan dan antarabangsa menerusi media sosial MSK Cinemas di Facebook https://www.facebook.com/mskcinemas, Instagram https://instagram.com/official_mskcinemas, Twitter X: https://twitter.com/mskcinemas dan Tik Tok: https://www.tiktok.com/@mskcinemas.

Previous articleSelamat Menyambut Tahun Baru Cina 2025
Next articleDasha meneruskan “Legasi” Alleycats bersama David Arumugam

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here