Oleh : Asmat Fikri
“Mengandung lagi ke Cik Kak?”
Aduh! Kalau kena soalan itu ditanya, memang biru muka dibuatnya? Malu dan bengang juga dalam masa yang sama. Lalu dijawab dalam hati,
“Tahulah perut aku buncit, tak perlulah tanya macam-macam…”
Sebab dalam bentuk badan kita, perut adalah anggota yang paling menonjol ke depan hinggakan ramai beranggapan kita sedang mengandung. Walhal, kalaulah ramai orang tahu betapa susahnya nak kempiskan perut sendiri.
Gara-gara nak kempiskan perut, pelbagai cara dan usaha dilakukan dengan minum air detoks, air halia, air lemon dan buat senaman itu dan ini. Semua kita dah buat, tapi tak juga turun-turun berat badan. Degil sungguh lemak di perut.
Tapi tahukah kita betul ke perut buncit tu sebab kegemukan atau disebabkan ada penyakit? Wanita banyak berdedah dengan pelbagai penyakit yang boleh datang dari perut. Antaranya cyst yang menyebabkan perut makin buncit apabila cyst semakin membesar.
Jadi untuk lebih jelas berkenaan isu perut buncit, mari kita tengok beberapa sebab perut seseorang wanita itu membuncit walaupun tidak mengandung. Antaranya adalah:
1. Pengumpulan Lemak
Faktor ini disebabkan pola makan tidak sihat iaitu kerap mengambil makanan yang tinggi lemak, gula dan kalori berlebihan.
2. Kurang bersenam. Hinggakan tiada pembakaran kalori.
3. Hormon
Perubahan hormon: Saat menopause, kadar estrogen menurun, yang boleh menyebabkan pengumpulan lemak di bahagian perut.
4. Sindrom Ovarium Polikistik (PCOS): Gangguan hormon ini dapat menyebabkan perut terlihat buncit.
5. Masalah Pencernaan. Ia menjadikan perut kembung disebabkan gas berlebihan dalam perut akibat tidak membuang dengan konsisten.
6. Stres
Tahukah kita stres juga boleh menyebabkan perut menjadi buncit. Ini disebabkan apabila kita berdepan dengan tekanan, tentunya lebih sukar untuk kita makan secara sihat. Kadangkala ada juga orang yang lagi banyak makan apabila dia mengalami tekanan,. Tabiat ini dikenali sebagai binge eating.
Stres juga ada kaitan antara hormon kortisol untuk menaikkan berat badan. Setiap kali mengalami tekanan, kalenjar adrenal akan melepaskan hormon ke dalam saluran darah.

7. Kehamilan dan selepas melahirkan. Perut buncit dalam kalangan wanita juga boleh disebabkan oleh perubahan tubuh selama kehamilan dan sisa lemak selepas melahirkan.
8. Diabetes. Ia disebabkan gastroparesis. Gastroparesis merupakan gangguan terhadap sistem pencernaan tubuh, di mana makanan dimakan kekal berada di dalam perut untuk satu tempoh masa yang lama. Hal ini berlaku kerana saraf yang menggerakkan makanan melalui saluran pencernaan sudah mengalami kerosakkan.
9. Masalah kalenjar tiroid. Gangguan tiroid boleh mempengaruhi metabolisma, fungsi mental, tahap tenaga, berat badan, kulit dan rambut serta sistem penghadaman. Penambahan berat badan menjadikan perut juga semakin buncit.
10. Fibroid. Ada fibroid menjadikan ketidakselesaan di bawah perut terutamanya dalam kes fibroid yang besar. Sebenarnya ia lebih kepada bengkak hingga menampakkan ia buncit.
# Ikuti sambungan pada artikel akan datang berkaitan cara mengempiskan perut secara klinikal dan juga tradisional.

ASMA Fikri ialah bekas wartawan Majalah Al-Islam.