Oleh : Nafsiah Jani
Foto : Ehsan Normah Damanhuri/Koleksi Syed Wafa
Berilah apa saja watak kepada pelakon veteran, Normah Damanhuri pasti dia dapat menjiwainya dengan begitu baik sekali, Begitu juga dengan watak sebagai ibu tiri atau ibu mentua yang kejam, begitu real lakonannya sehingga ada juga yang membenci dan memarahinya gara-gara watak lakonannya.
Tetapi itulah hakikatnya, jika seseorang itu dibenci kerana lakonannya, bermakna dia berjaya membawakan watak tersebut dengan begitu baik sekali. Itulah dia pelakon hebat dan versatile Normah Damanhuri, 71, yang juga merupakan ibu kepada Kak KM atau mesra dengan panggilan Sayang oleh emaknya.
“Watak wanita jahat, ibu tiri yang kejam, ibu mentua yang kejam, mak ayam lorong dan banyak lagi watak telah saya bawa. Namun sehingga hari ini hanya watak hantu saja yang belum saya buat. Bukan tak ada tawaran tetapi saya yang menolaknya kerana saya memang seorang penakut. Takut nanti watak tersebut terbawa-bawa hingga ke luar set,’’ kata Normah sambil ketawa.
Bercerita mengenai dunia lakonan Normah nak kelahiran Johor ini berkata, sepatutnya kini dia sudah bersara dan duduk berehat-rehat sahaja di rumah.
“Nak ikut anak-anak dah suruh saya berehat dan bersenang-senang sahaja. Malah duit belanja pun saya tak perlu risau kerana semua anak-anak saya memberi wang saku kepada saya. Tapi apa boleh buat, dah jiwa seni, memang saya tak boleh nak duduk berehat tanpa berlakon. Itu sebabnya hingga kini saya masih minat untuk berlakon. Syukurlah juga hingga kini ada juga tawaran yang datang.”
Normah cukup bertuah kerana lima anaknya iaitu Uji, Rose Azlin, Lydia, Kak KM (Liana Rosli), dan Ahya cukup menjaga dan menatangnya bagaikan minyak yang penuh.
“Saya rasa, sayalah ibu paling bertuah dalam dunia ini kerana anak-anak saya tidak kedekut langsung dan selalu memberi saya hadiah. Setiap tahun mereka seakan wajib buat sambutan harijadi untuk saya. Namun, bukan untuk saya saja kerana ulang tahun kelahiran 15 cucu, menantu dan adik-beradik juga akan disambut sama.
“Hinggakan ada yang minta tips cara saya besarkan anak-anak. Memang saya dengan anak-anak sangat berkasih sayang dan saya memanggil mereka dengan gunakan nama dan bukannya…engkau…engkau. Mereka tak pernah melawan atau bercakap kasar dan saya bersyukur sangat-sangat dikurniakan anak yang baik-baik dan tahu menghargai emak mereka,” katanya yang menerima pelbagai hadiah daripada anak-anaknya ketika sambutan hari jadinya.
Dalam usianya sebegini namun kelihatan Normah mampu menjaga tubuh badannya yang kelihatan `maintain’ daripada dulu hingga sekarang.
“Tak ada apa yang saya amalkan untuk jaga kesihatan sama ada dengan makan ubat atau vitamin. Bila makan, saya hadkan pengambilan nasi dalam kuantiti yang kecil sahaja dan banyak makan ulam-ulaman. Selain itu saya juga makan jamu Sweet Dara anak saya dan kurang minum air-air manis.
“Saya nak ingatkan ibu-ibu yang baru lepas bersalin, sebenarnya nak sihat, betul-betullah berpantang. Itu yang saya amalkan sejak dulu lagi dan syukur Alhamdulillah hingga sekarang saya terhindar daripada penyakit kencing manis, darah tinggi dan lain-lain lagi,” ujarnya lagi yang kini sedang sibuk dilokasi penggambaran.
Kerjaya seninya sebagai pelakon bermula sejak 1983 sehingga kini. Jadi tidak hairanlah pada Mei 2019, akhbar Harian Metro menyenaraikan beliau yang juga adik kepada pelakon Aripah Damanhuri sebagai salah seorang daripada 10 pelakon veteran Malaysia paling laris sepanjang zaman.
Lakonannya yang mantap dan bersahaja ketika berlakon membuatkan Normah sering ditawarkan watak yang cukup mencabar di dalam filem. Antara filem pertama lakonannya, Tsu Feh Sofiah (1986), Nadia (1992), Perempuan, Isteri& …..?, Jeritan Batinku, Jogho, Embun, Damping Malam, …Dalam Botol, Songlap, Ombak Rindu, Penanggal, Manisnya Cinta di Cappadoccia, Suamiku, Encik Perfect 10!, Bravo 5, Kapsul, Langit Cinta, Hanyut, Kimchi Untuk Awak, Pinjamkan Hatiku dan lain-lain lagi.
Manakala lebih 40 buah drama yang pernah dibintanginya antaranya PJ Holding (1983), Rafflesia, Diari Ramadhan Rafique, Si Capik, Ahmad Durrah, Suria Di Cordoba, Patahnya Sebelah Sayap, Rintihan Nek Mis, Suri Hari Mr. Pilot, Misteri Wan Peah, Halalkan Hati,Kuali Mentua Lauk Menantu, Setelah Terlafaznya Akad 2, Angkara Cinta dan Titian Takdir.
Kehebatannya dilayar perak juga melayakkan Normah Damanhuri memenangi gelaran Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Filem (Jogho) pada Anugerah Skrin 1998/99. Manakala Anugerah Skrin 2008 pula memenangi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama (Tuhan Pun Tahu), Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Filem (Pinjamkan Hatiku -Anugerah Skrin 2018 (ASK 2018) dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik ( Songlap) Festival Filem Malaysia Ke-25.
Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita dan Saji terbitan Utusan Karya.