Image by freepik

Oleh : Asmat Fikri

Masuk sahaja tahun baharu, pastinya yang selalu baru juga adalah azam. Macam biasa, di awal tahun ramai yang set azam baru dan berikhtiar untuk mencapainya. Terdapat pelbagai azam baru, namun yang selalu popular menjadi pilihan ramai mungkin nak meningkatkan amal ibadah, nak mengerjakan umrah, ada juga mungkin nak memiliki rumah pertama yang indah, nak punyai gaji atau pendapatan yang munasabah serta paling ramai juga nak perbaiki berat badan dengan diet makanan sihat.

Biasanya pilihan diet itu tentunya dalam kalangan wanita. Ibaratnya wanita dan kurus berpisah tiada. Tambahan pula Malaysia mencatatkan kadar obesiti tertinggi di Asia Tenggara, dengan 15.6% mengatasi negara-negara jiran seperti Brunei (14.1%), Thailand (10%), dan Indonesia (6.9%).

Jadi, bilamana ramai yang berazam untuk diet ianya bukanlah sesuatu yang di anggap asing.

Sebab wanita berdiet

Wanita memilih untuk berdiet atas pelbagai sebab, bergantung kepada keperluan, matlamat, dan pengaruh peribadi. Ia boleh jadi sama dan boleh jadi berbeza juga matlamat yang ditetapkan oleh seseorang. Berikut adalah beberapa sebab utama:


1. Kesihatan
Mengurangkan risiko penyakit: Wanita ingin mengawal berat badan untuk mengelakkan penyakit seperti diabetes, darah tinggi dan penyakit jantung. Mengatasi masalah kesihatan: Seperti wanita yang meghadapi PCOS atau sebagai salah satu ikhtiar untuk memiliki zuriat.

2. Penampilan dan Keyakinan Diri
Kebimbangan imej badan: Wanita sering dipengaruhi oleh standard kecantikan dalam masyarakat yang mengaitkan kecantikan dengan tubuh yang langsing. Memiliki badan yang langsing dapat membantu wanita lebih berkeyakinan untuk berada di khalayak ramai seperti urusan kerja, waktu perayaan mahupun bercuti keliling negeri.

3. Gaya Hidup Sihat
Pilihan gaya hidup: Diet sering dilihat sebagai langkah untuk mengekalkan kesihatan jangka panjang. Kerap mengah, nafas pendek, tercungap-cungap ketika berjalan antara penyebab seseorang terpaksa berdiet.

4. Nak akhiri zaman bujang
Persiapan perkahwinan: Ramai wanita berdiet untuk kelihatan “sempurna” pada hari istimewa mereka. Ia berkait juga dengan ‘fitting’ baju yang sudah siap dijahit agar muat dan tampil langsing di hari perkahwinan.

5. Perubahan fasa hidup
Selepas bersalin: Wanita sering berdiet untuk menurunkan berat badan yang naik ketika mengandung. Perubahan hormon ketika menopause atau mengambil pil perancang juga menyebabkan berat badan naik, lalu mendorong mereka berdiet.

6. Tekanan media sosial dan kesejahteraan mental
Media sering mempromosikan tubuh “ideal,” menyebabkan wanita rasa perlu berdiet untuk memenuhi standard kecantikan tersebut. Berdiet juga dapat memperbaiki mood, tingkatkan tenaga dan kurangkan tekanan kerana makanan tertentu boleh mempengaruhi emosi seseorang.

Namun, penting di ingat untuk berdiet secara sihat dan tidak mengikut trend yang berbahaya. Diet yang tidak seimbang boleh membawa kesan buruk kepada kesihatan fizikal dan mental.

Ini kerana terdapat beberapa jenis diet yang boleh membahayakan kesihatan jika dilakukan dengan cara yang salah atau jika terlalu ‘strict’ sangat.

#Ikuti sambungan akan datang mengenai Diet yang merbahaya jika diamalkan mereka yang terlalu obses untuk kurus.

Previous articleSecubit garam sebelum makan (Bahagian 1)
Next articleKebaikan berpuasa sunat untuk kesihatan dan kecantikan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here