Image by Ioana Radu from Pixabay

Oleh: Nury Kadir

Pernah tidak apabila solat kita rasa was-was sama ada rakaat kedua atau ketiga? Bila ambil wuduk pula terasa macam ada bahagian anggota wuduk yang tidak terkena air sepenuhnya. Terpaksa ulang sekali lagi mengambil wuduk dan apabila sudah selesai terasa macam terlupa pula menyapu air ke kepala atau dahi. Sekali lagi terpaksa ulang semula mengambil wuduk daripada awal. Asyik was-was akhirnya setelah enam kali mengambil wuduk barulah berpuashati.

Bila hendak mula solat, angkat Takbirratulihram dan niat dipasang. Kali pertama…kedua…ketiga masih tidak berjaya memasang niat. Sampailah kali yang kelima barulah berjaya niat. Itu belum was-was rakaat yang ke berapa? Hati berkata-kata rasanya macam tidak cukup rakaat…eh cukuplah. Hati berbolak-balik.

Yang ini pula bab puasa, was-was sudah niat ke belum? Asyik fikir niat atau tidak akhirnya tidak puasa dengan alasan terlupa niat. Kadang-kadang kita berasa was-was terhadap puasa yang lepas. Adakah puasa yang dilakukan sempurna dan mungkin juga ada kesalahan yang dilakukan semasa berpuasa hingga menyebabkan puasa itu terbatal tanpa disedari. Mula rasa hendak qadha puasa sebulan Ramadhan. Parah…parah!

Malah tidak kurang juga yang mengalami penyakit was-was kronik hingga mengganggu keyakinan dalam beribadat dan kehidupan seharian. Situasinya begini: suatu hari ketika berjalan menuju ke klinik tiba-tiba tapak kasut seperti terpijak sesuatu, sekali pandang nampak macam najis anjing dan macam seketul tanah liat pun ada juga. Tidak pasti itu najis atau bukan. Di dalam hati mula berkata-kata, kalau najis anjing macam mana sebab ia terkena di hujung kasut dan tumit kaki sedangkan kaki dan kasut dibasuh hanya menggunakan air sahaja. Seribu satu macam persoalan bagaimana muncul? Bagaimana jika kalau laluan yang dilalui itu ada najis anjing dan air di atas jalan terpercik pada pakaian?

Image by gpointstudio on Freepik

Apakah cara terbaik untuk merawat penyakit was-was supaya ia tidak menjadi lebih kronik hingga membunuh keyakinan dalam beribadat dan soal taharah?
Di sini adalah himpunan pendapat daripada Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri dan beberapa arikel di dalam www.muftiwp.gov.my. sebagai penyelesaian kepada masalah was-was.

Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri memulakan, sesungguhnya perasaan was-was itu datangnya dari syaitan dan syaitan itu adalah musuh manusia yang teramat nyata. Firman Allah SWT: Maksudnya: “Bukankah Aku telah memerintahkan kepadamu hai Bani Adam supaya kamu tidak menyembah syaitan? Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu. Dan hendaklah kamu menyembah-Ku. Inilah jalan yang lurus.” (Surah Yasin: 60-61).

Musuh manusia yang nyata ini, menggunakan pelbagai cara dalam menyesatkan manusia. Antaranya adalah dengan mencampakkan perasaan was-was kepada manusia itu sendiri. Ini jelas berdasarkan firman Allah SWT, dalam surah Al-Naas ayat 5, Maksudnya: “Yang membisikkan (kejahatan) ke dalam dada manusia.”

Was-was itu bisikan syaitan tetapi bagaimana untuk mengenalinya dan membezakannya?
Firman Allah SWT dalam surah al-Nas ayat 5 dan 6 yang bermaksud: “Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia. (Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia.”
Sayyid Qutb berkata, “Kita tidak mengetahui bagaimana berlakunya bisikan syaitan, tetapi kita merasakan kesan-kesannya di dalam jiwa dan di dalam realiti hidup kita. Kita sedar bahawa pertarungan Adam dan Iblis adalah satu pertarungan yang amat lama.”

“Walaubagaimanapun, Allah tidak membiarkan manusia mengharungi pertarungan itu tanpa senjata, malah ia telah menjadikan keimanan sebagai perisai untuk mereka, zikir sebagai kelengkapan perang dan doa memohon perlindungan sebagai senjata. Andainya manusia itu lupakan perisai, kelengkapan dan alat senjatanya, maka dialah sahaja yang patut dipersalahkan.”

Manakala al-Maraghi mengatakan, “Bisikan was-was itu dinyatakan berada di dalam dada manusia, kerana sudah lazim dalam bahasa orang Arab mengatakan bahawa gurisan jiwa itu ada di dalam hati, sedang hati itu berada di dalam dada.”

Di dalam hadis juga ada disebutkan bagaimana syaitan itu duduk di dalam hati manusia. Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, Nabi SAW bersabda: Maksudnya: “Syaitan itu duduk bercangkung di atas hati manusia, apabila manusia menyebut nama Allah, dia (syaitan) akan mengundurkan diri dan apabila manusia lalai, dia (syaitan) akan membisikkan kejahatan.”

Menurut Ibn Kathir, syaitan akan membisikkan ke dalam hati-hati anak Adam ketika berada dalam keadaan sedih dan gembira. Jika manusia itu berjaya untuk mengingati Tuhannya, maka syaitan itu akan menjauhinya.

Menurut Ibnu al-Jauzi dalam kitab Talbis Iblis, syaitan menjalankan tipu daya pada manusia ketika solat antaranya dengan cara mengganggu seseorang ketika sedang berniat untuk solat. Sebahagian mereka melafazkan usolli… kemudian lalu mengulanginya kerana menyangka niatnya adalah batal sedangkan niatnya tidak batal. Sebahagian yang lain mengangkat takbir kemudian membatalkan lalu mengulang-ulanginya semula maka apabila imam rukuk barulah orang yang was-was itu mengangkat takbir lalu rukuk bersama imam. Hal ini tidaklah melainkan kerana iblis mahu menghilangkan kelebihan (fadilat takbir bersama imam) bagi orang yang was-was itu.

# Ikuti sambungan artikel akan datang berkaitan masalah penyakit was-was ini dan cara mengubatinya.

Previous article“Apa Ertinya Aku” terbaru dari Epik Yovie Widianto Bersama Tiga Diva Muda!
Next articleWow…Tiket Konsert GENKRU Hari Kedua Habis Dijual!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here