Oleh: Khadijah Ibrahim
SEBELUM ini ramai penganjur berlumba-lumba menganjurkan konsert, namun siapa sangka perancangan yang dibuat tidak dapat dilaksanakan dengan jaya.
Setakat ini terdapat kira-kira empat konsert yang terpaksa ditunda pada tarikh lain kerana sebab yang tidak dapat dielakkan. Antara konsert yang sepatutnya berlangsung tapi ditunda adalah Konsert A Lovely Night With Udit Narayan di Setia Space Arena, Pulau Pinang yang sepatutnya berlangsung pada 28 November lalu.
Begitu juga dengan Konsert Rentas Masa yang awalnya dijangka berlangsung pada 31 Disember ini tapi ditunda kepada 31 Januari 2025.
Sementara itu Konsert Tsunami Mawi World Live In Kuala Lumpur yang sepatutnya diadakan pada 25 Januari 2025 ditangguhkan oleh penganjur Showtag Asia untuk tempoh enam bulan mendatang.
Terkini pemegang tiket untuk konsert Maliq & D’Essentials “Can Machines Fall In Love” Album Tour Live in KL yang teruja untuk menonton persembahan mereka pada 29 Disember ini di Megastar Arena Kuala Lumpur pasti kecewa kerana konsert tersebut ditunda ke tarikh yang belum ditetapkan.
Maliq & D’Essentials yang dianggotai Angga Puradiredja, Indah Wisnuwardhana, Widi Puradiredja, Jawa, Lale dan Ilman Ibrahim dalam satu kenyataan menyatakan bahawa menggubah tarikh konsert bukanlah satu perkara mudah.
Namun disebabkan mereka sudah berjanji dengan peminat di Malaysia, apabila sudah ada tarikh terkini mereka pasti bertandang ke sini untuk bertemu dengan peminat.
“Dengan penuh rendah hati, hormat dan empati, kami ingin memaklumkan bahawa persembahan yang akan datang di kota anda perlu dijadualkan semula. Tarikh baharu akan diumumkan sebaik sahaja ia disahkan.
“Pertama sekali, ingin kami maklumkan bahawa apa yang kami lakukan ini adalah kerana anda. Setiap tiket yang dibeli, setiap perancangan dibuat dan setiap detik diluangkan untuk bersama kami amat bermakna.
“Untuk makluman, keputusan ini tidak dibuat dengan mudah. Walaupun pasukan kami berusaha tanpa henti, begitu juga penganjur dan semua yang terlibat, siapa kita untuk menolak takdir hingga memaksa kami untuk mengubah rancangan.
“Kami boleh meluangkan masa untuk mencari alasan atau menyalahkan sesiapa, tetapi itu bukanlah prinsip kami. Apa yang penting sekarang ialah memastikan supaya kami dapat berikan yang terbaik untuk anda,” jelas kenyataan itu.
Melalui kenyataan sama, kumpulan yang ditubuhkan pada 2002 itu memberi jaminan bahawa setiap tiket yang sudah dibeli sah dan terpakai untuk tarikh baharu konsert.
“Semua tiket yang sudah dibeli akan tetap sah untuk tarikh konsert yang baharu. Jika anda tidak dapat hadir ke acara yang dijadualkan semula, pilihan pemulangan wang akan disediakan.
“Kami akan berkongsi maklumat lanjut mengenai tarikh baharu dan proses pemulangan wang secepat mungkin. Ini bukanlah pengakhiran, ia hanya sementara. Apabila kembali, kami berjanji ia akan menjadi persembahan yang setimpal dengan kesabaran, pemahaman dan sokongan tidak berbelah bahagi anda.
“Terima kasih kerana sentiasa bersama kami, mempercayai kami, dan kerana memberikan kami keistimewaan untuk berkongsi muzik kami dengan anda.
“Kasih sayang dan sokongan anda lebih bermakna daripada yang dapat diungkapkan dengan kata-kata. Sehingga bertemu lagi, jaga diri, teruskan berinspirasi dan ketahuilah bahawa kami akan berjumpa anda tidak lama lagi,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Kharisma Music selaku penganjur konsert Maliq & D’Essentials di Malaysia turut memaklumkan penundaan konsert itu dan tarikh baharu akan diumumkan kelak.
Maliq & D’Essentials buat kali pertama mengadakan konsert secara besar-besaran di dua negara, Indonesia dan Malaysia menerusi siri jelajah mempromosikan album baharu berjudul Can Machines Fall In Love? yang dilancarkan pada Mei lalu. Ini adalah album kesembilan Maliq & D’Essentials selepas 22 tahun berada dalam industri muzik.
Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.