JULIE Remie, biduanita yang sentiasa dirindui.

Oleh: SYED WAFA
Foto: KOLEKSI SYED WAFA

Korban Percintaan

Duhai kanda rayuan hati,
Rayuan kasih cinta abadi,
Tiga tahun peristiwa berlalu,
Batin terseksa dipasung rindu.

Tapi kini apakan daya,
Aku hanya insan biasa,
Pada Tuhan aku berserah,
Menyerah diri di atas sejadah.

Aku tahu kau tak bersalah,
Takdir Tuhan tiada terduga,
Hanya doa dan air mata,
Mengiringi perpisahan kita.

Padamu kasih aku berpesan,
Kira jasadku meninggalkan badan,
Di atas nisan tolong tuliskan,
Inilah kubur korban percintaan.

Aku tahu kau tak bersalah,
Takdir Tuhan tiada terduga,
Hanya doa dan air mata,
Mengiringi perpisahan kita.

Padamu kasih aku berpesan,
Kira jasadku meninggalkan badan,
Di atas nisan tolong tuliskan,
Inilah kubur korban percintaan.

MENGHAYATI setiap bait lagu “Korban Percintaan” nyanyian Julie Remie yang cukup popular pada awal tahun 1976 sehingga 1978 bukan sahaja berjaya bertahta di hati para peminat ketika itu malah ia juga telah melonjakkan nama beliau sebagai salah seorang penyanyi cukup popular dan diminati para peminat lagu bertemakan melankolik.

COVER album pertama “Julie Remie” dengan lagu hitsnya “Korban Percintaan.”

Populariti yang diraih melalui EP pertamanya ‘Julie Remie’ yang mengandungi empat lagu dengan di muka pertama “Abang Sayang Adik Sayang” dan “Jalinan Mesra” sementara di muka dua mengabadikan “Renongkanlah dan “Korban Percintaan” bukan sahaja telah meletakkan Julie Remie di tempatnya yang tersendiri dalam dunia ketika itu malah lagu tersebut sentiasa menduduki tempat teratas dalam carta Lagu Pujaan Minggu Ini di Radio Singapura ketika itu.

Sebenarnya bukan mudah untuk seorang penyanyi baru meraih populariti dalam sekelip mata tetapi apabila bakat yang hadir dengan karya yang indah, Julie Remie membuktikan tiada suatu yang mustahil.

COVER album EP kedua Julie Remie, “Perasaan Remaja.”

“Korban Percintaan” yang dianggap para peminatnya sebagai ‘killer song’ adalah ciptaan A. R. Ismail dari Tanjung Ipoh, Negeri Sembilan dengan lirik oleh Hasnin Hassan khabarnya membuatkan Julie Remie menjadi salah seorang penyanyi yang sentiasa menjadi pilihan dalam setiap show sama ada di Singapura ataupun Malaysia.

Bersandarkan kejayaan lagu itu, Julie Remie muncul dengan dua lagi album yang mengabadikan lagu-lagu popular antaranya “Berikan Ku Sinar Harapan” dan “Di Mana Ilham Ku.”

Sayangnya tatkala namanya dipuncak kejayaan, Julie Remie mengambil keputusan meletakkan noktah dalam kerjaya seninya apabila beliau berumahtangga.

FOTO Julie Remie pada awal kemunculan menjadi hadiah paling bermakna buat Syed Wafa serta bertandatangan beliau.

Tahun 1979, setelah mendirikan rumahtangga, nama Julie Remie terus hilang dari radar dunia seni tanahair.

Realitinya, meskipun Julie Remie telah meletakkan noktah pada kerjaya seninya namun lagu-lagu beliau terutama lagu popularnya “Korban Percintaan” masih relevan sehingga hari ini dan para peminatnya menganggap lagu ‘berhantu itu’ akan tetap malar segar dan sentiasa menjadi pujaan ramai!

Ramai yang cuba menjejakkinya tetapi khabarnya amat sukar untuk memujuk penyanyi bersuara lunak dan manja ini.

JULIE Remie bersama komposer album pertamanya, Allahyarham Datuk S. Atan dan isteri, Datin Izan Atan.

Bagaimanapun Wafa rasa amat bersyukur kerana setelah sekian lama cuba menjejakinya akhirnya tidak lama dulu, berjaya berjumpa Julie Remie yang hidup bahagia bersama suami, anak-anak dan cucu, di Singapura.

Julie Remie atau Juriah Haji Juraimi walaupun hanya muncul dengan tiga EP iaitu “Julie Remie, Perasaan Remaja dan Engkau Sinar Hidupku” terbitan komposer Allahyarham Datuk S. Atan namun kehadirannya cukup memeriahkan dunia seni ketika itu.

Pada pertemuan itu, Wafa cuba mendasari hati seorang Julie Remie tentang dunia seni dan mengapa beliau meninggalkan bidang nyanyian ketika namanya di puncak populariti setelah berumahtangga dan dengan penuh tenang beliau berkata;

“Setelah berumahtangga saya mengambil keputusan mengucapkan selamat tinggal pada bidang seni kerana ingin menumpukan perhatian pada rumahtangga dan keluarga.

INILAH imej Julie Remie selepas beliau mengucapkan ‘Selamat Tinggal’ pada dunia seni dan kini beliau lebih bahagia menumpukan perhatian pada rumahtangga, keluarga, cucu dan menghadiri ceramah di masjid serta melakukan kerja-kerja amal.

“Saya berjanji pada diri tidak akan menyanyi lagi. Bagi saya cukuplah tiga tahun bergelar penyanyi dengan mempunyai tiga EP.

“Kalau dahulu saya sibuk di pentas nyanyian, kini saya sibuk tetapi amat bahagia menguruskan rumahtangga dan keluarga disamping menjaga cucu dan memenuhi masa dengan menghadiri ceramah di masjid dan melakukan kerja-kerja amal.”

Apabila ditanya nama ahli keluarganya yang kini cukup membahagiakan hidupnya, Julie Remie berkata;

“Maaf saya tidak dapat berkongsi nama suami, anak-anak dan cucu. Cukuplah peminat sekadar tahu bahawa saya amat bersyukur kerana hidup saya kini amat bahagia disamping mereka semua.”

PENULIS, Syed Wafa mengabadikan kenangan bersama idola beliau, biduanita Julie Remie ketika menemuramahnya di Singapura tidak lama dahulu.

Julie Remie yang mendirikan rumahtangga pada tahun 1979 dan menetap di Singapura, kini lebih selesa mendekatkan diri dengan kerja-kerja amal dan keagamaan.

Bukan itu sahaja, malah beliau berharap anak-anak dan cucu juga melibatkan diri dengan kerja-kerja amal yang berlangsung di Masjid Darul Makmur, Yishun Avenue 2, Singapura.

“Dunia seni sudah lama saya tinggalkan. Kini saya lebih bahagia menjalani hidup seperti orang biasa tanpa publisiti dan tanpa cahaya populariti dan pentas nyanyian.

“Saya minta maaf kerana terpaksa menolak segala undangan menyanyi. Bagi saya sekali saya meletakkan noktah dalam bidang seni, saya tidak akan padamkan!

Kami di Ladybosz mendoakan semoga Julie Remie bahagia disamping keluarga tercinta….Amin.

Previous articleJangan Malu Dengan Diri Anda!
Next articleKonsert Rock Kapak 2 kembalikan populariti muzik rock 1980-an

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here