Kira-kira dua tahun baru KRU setuju menerima pelawaan Icon Entertainment untuk mengadakan konsert.

Oleh: Khadijah Ibrahim

LEBIH kurang dua tahun pengasas Icon Entertainment, Iman Tang merisik trio KRU untuk mengadakan konsert dan akhirnya penantian itu bakal menjadi kenyataan.

Menurut Iman Tang, beliau mula ‘melamar’ kumpulan tiga beradik yang dianggotai oleh Datuk Norman Abdul Halim, Datuk Yusry dan Edry itu pada 1 November 2022. Namun kesabarannya itu berbaloi apabila pada September 2024, ketiga-tiga beradik itu baru bersetuju dengan cadangannya untuk mengadakan konsert.

“Adalah menjadi penghormatan buat Icon Entertainment untu menganjurkan Konsert GenKRU kerana kredibiliti dan sejarah demi sejarah yang telah dicipta oleh KRU sejak tahun 90-an sehingga membentuk gelombang muzik yang cukup berpengaruh kepada semua generasi sehingga kini.

Norman Abdul Halim mahu penonton yang hadir menonton konsert KRU pulang dengan puas hati.

“Saya sebenarnya telah merisik mereka dari 1 November 2022 lagi dan akhirnya pada September 2024, mereka bersetuju dengan pinangan saya. Alhamduillah, usaha saya tercapai juga. Tidak ada banyak janji yang ingin saya berikan kecuali anda akan rugi besar jika tidak menghadiri ini.

“Konsert GenKRU kerana ini merupakan penampilan sulung Norman, Yusry dan Edry selepas sekian lama tidak mengadakan konsert kerana masing-masing sibuk dalam pelbagai aspek industri hiburan tanah air. KRU berjaya mencipta gelombong ‘fanatik’ di kalangan peminat tempata kerana muzik mereka yang diketengahkan berkualiti dan setaraf muzik dunia,” kata Iman Tang.

Bagi peminat KRU yang merindui untuk menonton persembahan mereka jangan ketinggalan kerana Konsert GenKRU akan diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil, pada 3 Mei 2025.

Edry banyak cipta lagu untuk KRU.

KRU mula menularkan virus dan revolusi sebuah kumpulan muzik dengan irama pop dan hip hop di Malaysia pada tahun 1992. Karya-karya KRU dari “Mengerti”, “Apa Saja”, “Fanatik”, “Generasiku”, “Awas”, “Gadis Jelita”, “Terhangat Di Pasaran”, “Janji Tinggal Janji”, “Oh La La” sehingga “Di Dalam Dilema” sentiasa lancar dinyanyikan.

Sementara itu, KRU menyambut baik penganjuran GenKRU kerana ia bersesuaian sekali dengan kembalinya mereka ke dunia hiburan nusantara selepas 33 tahun berada dalam industri.

Kumpulan tersebut baru saja tampil dengan album studio berjudul “Kaset” yang mempunyai nostalgia tersendiri buat KRU dan generasi yang membesar bersama karya-karya hebat mereka. Seiring dengan karya tersebut, KRU siap mempamerkan sebuah konsert mega selepas kali terakhir membuat persembahan di Istana Budaya menerusi Konsert GenerasiKRU25 pada Mei 2018.

Yusry juga seorang pengarah filem.

“Selepas lebih enam tahun tidak membuat konsert berskala besar bersama KRU, kami menerima cadangan Icon Entertainment untuk menganjurkan Konsert GenKRU kerana mempunyai misi dan visi yang sama dengan kami.

“Konsert GenKRU bukan sekadar hiburan semata-mata tetapi akan menjadi sebuah sejarah perjalanan lebih 30 tahun KRU dalam merevolusikan muzik tempatan setaraf dengan muzik Nusantara dan antarabangsa.

“Konsert ini akan menjadi medan peminat melihat transisi KRU dari generasi 90-an sehingga berkembang dan membina empayar kami pada masa kini,” ujar KRU.

Konsert GenKRU pasti mengimbau kembali era populariti KRU dulu.

Baik Norman, Yusry mahupun Edry belum bersedia berkongsi butiran lanjut mengenai konsep dan persembahan yang bakal dipamerkan pada Konsert GenKRU. Namun trio ini berikrar ia akan menjadi sebuah konsert epik di tahun 2025 buat seluruh peminat muzik tempatan.

Dan untuk menjadi salah seorang saksi mata, telinga serta jiwa dalam Sejarah penganjuran konsert paling epik 2025, jangan terlepas membeli tiket-tiket mengikuti kategori harga yang ditetapkan.

Harga tiket bermula dari kategori Ooh! La!La! (RM258), Awas (RM358), Mengerti (RM478), Terhangat Di Pasaran (RM508), Apa Saja (RM548) dan Fanatik (RM588) mula dijual pada jam 11 pagi, 20 Disember ini di www.ticket2u.com.my/kru

Previous article“Bullseye” simbolik kepada usaha, kesungguhan The Gadys
Next articleKhasiat dan manfaat manjakani untuk kecantikan dan kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here