Oleh: Syed Wafa
Foto: Khairul Rizal Khalid
Bersinar bak kerdipan bintang di langit begitulah perumpamaan yang diberi buat 16 bakat baharu yang hadir pada Malam Tayangan Perdana ‘Kami SZL’ terbitan SZL Pictures hujung November lalu di Dengkil, Selangor.
Bukan sahaja kesemuanya berbusana bagaikan menghadiri majlis anugerah gilang gemilang malah perasaan teruja dapat dilihat di wajah mereka setelah penat lelah menjalani penggambaran pada Jun lalu terbalas dengan malam tayangan cerita yang berformatkan drama yang disiarkan di YouTube pada 24 November yang lalu.
Bertema bebas, acara dimulakan dengan bacaan doa selamat bagi memberkati perjalanan majlis diikuti nyanyian lagu Negaraku disusuli persembahan bertenaga dari bakat baharu, Azzarith dengan tarian lagu Asmaradana dan Siti Qyra dengan lagu Bertakhta di Hati.
Usai tamat persembahan, tayangan perdana Drama YouTube ‘Kami SZL’ bermula selama satu jam dan pelbagai reaksi dapat dilihat daripada pelakon terlibat dengan hilai ketawa, usik mengusik dan senda gurau.
Dicelah bakat-bakat baharu yang menonton, terselit wajah-wajah artis popular yang turut sama menyaksikan tayangan terdiri daripada Azri Iskandar, Kenji Sawahi, Razak Ahmad, Akmal Razak, Zeng Eng, dan Penasihat Persatuan Seni Sezaman, Dr Zainatul Shuhaida Abd Rahman serta Encik Alim dari DMainiza Pictures Sdn Bhd.
Usai tamat tayangan, pertandingan’ Catwalk’ Lelaki dan Wanita serta cabutan bertuah turut diadakan bagi menghangatkan lagi suasana dan kesemua yang terlibat ‘sporting’ untuk memperagakan busana yang digayakan dengan hayunan langkah bagaikan Peragawan dan Peragawati terkenal.
Barisan tetamu selain para pelakon drama YouTube ‘Kami SZL’ dan artis terkenal ianya turut dimeriahkan dengan kehadiran kaum keluarga dan kenalan rapat pelakon terlibat yang dijamu dengan hidangan menyelerakan seperti nasi goreng kampung, mee goreng, nasi lemak daun pisang, kuih muih yang menyelerakan serta minuman yang menyegarkan.
Sejurus tamat tayangan, pelancaran drama YouTube seterusnya dari SZL Pictures tahun 2025 berjudul Dendam Mafia turut diadakan dan barisan para pelakon termasuk artis jemputan terlibat diperkenalkan dalam naskah yang bakal menjalani penggambaran selepas Aidilfitri tahun hadapan.
Team Chinta Event Entertainment turut berkolobarasi dengan SZL Pictures di dalam membuat liputan video termasuk sesi temu bual bersama para pelakon dan artis jemputan.
Bertemu Penerbit SZL, Muhammad Naim Abd Wahab , dia menghargai komitmen yang telah diberi oleh setiap yang terlibat baik para pelakon mahupun tenaga produksi bermula dari pengambilan peserta ,pengambilan pelakon jemputan, pengambilan pengarah, sesi sual kenal, penghasilan skrip, sesi uji bakat, proses penggambaran, proses editing hingga ke malam tayangan perdana karya tersebut.
“Hasil yang ditunjukkan agak baik, gambar (screen) yang ditunjukkan amat cantik (jelas), editing juga bagus, mesej cerita dapat disampaikan dengan baik oleh para pelakon terutama melalui teraju utamanya, Khairul Rizal Khalid dan Mohd Amin . Mereka telah memberikan lakonan yang mantap,” katanya bersungguh-sungguh.
Menurutnya lagi, walaupun majoriti yang terlibat adalah muka baharu namun kemampuan merealisasikan watak yang diberi adalah berdasarkan kebolehan dan keupayaan serta perbincangan di antara Penerbit dan juga Pengarah.
“Pemilihan watak berlaku secara spontan, peserta yang terlibat dinilai ketika pertengahan projek ini ( uji bakat), watak yang mereka dapat, itulah yang perlu dibuat oleh mereka, bagi saya itu satu permulaan yang baik bagi pendatang baharu,” jelas Muhammad Naim.
Mengulas mengenai pandangan artis-artis popular yang hadir pada malam itu mengenai kemampuan bakat baru di dalam Drama YouTube “Kami Szl” ini jawapan Muhammad Naim,
“Mereka menyokong hasrat SZL Picture untuk memperluaskan bakat-bakat baharu dalam seni lakon, mereka juga memberi ruang dan peluang kepada SZL Picture untuk menjemput mereka berlakon bersama pendatang baharu ini dalam naskhah yang seterusnya berjudul ‘Dendam Mafia,”katanya.
Kepada pendatang-pendatang baharu yang dilahirkan melalui karya ‘Kami SZL’ , Muhammad Naim memberikan pesanan agar mereka tidak berputus asa dan tidak mudah berpuas hati dengan apa yang telah ditonjolkan melalui lakonan masing-masing.
“SZL Picture akan memberi peluang kepada mereka untuk menjalani uji bakat melalui Production House di luar sana dan mungkin akan dapat peluang yang lebih baik melalui pengalaman mereka ketika menyertai akademi SZL,” ,jelasnya.
Sementara itu, Pengarah ‘Kami SZL’, Nik Mohd Suriadi Affendi berharap kesemua bakat baharu tersebut perlu membina daya kefahaman dan mendalami skrip yang diberi untuk membina jati diri yang mantap dalam bidang lakonan.
“Cabaran saya dalam merealisasikan naskah ini ialah dari segi lakonan kerana majoriti yang terlibat adalah muka baharu, Usaha yng dilakukan oleh SZL Pictures untuk menaikkan bakat-bakat baharu ini wajar dipuji,”kata Nik ketika dihubungi.
Nik yang bakal mengeluarkan karyanya ‘”Clown Town” tahun hadapan akan terus menghasilkan cerita-cerita yang lebih berkualiti kerana sasarannya adalah untuk bekerja di dalam bidang produksi hingga ke peringkat antarabangsa.
Pendatang baharu yang ditampilkan melalui drama YouTube ‘Kami SZL “terdiri daripada Mohd Amin, Yuz JB, Syarafuddin, Iwan, Al Kaushar, Anuar, Haziq Irfan,Alya, Scha Zara, Aina, Azarith, As, Zue Idayu, Adriana, Humaira, dan Hana.
Pelakon Jemputan pula terdiri daripada Khairul Rizal, Reez Farez, Shah Samurai, Adan Putra, Abdul Halim Zainal, Bonda Zainab , Ninu, Queen Nad dan Qayum.
Drama YouTube terbitan SZL Picture arahan Nik Mohd Suriadi Affendi berdurasi hampir 40 minit bertemakan kekeluargaan masyarakat mengisahkan mengenai sekumpulan anak-anak flat yang mencintai bidang lakonan namun tidak mendapat bimbingan yang betul hingga mereka menemui Rizal yang akhirnya setelah dipujuk bersetuju untuk membimbing mereka.
Rizal yang mempunyai latar belakang yang baik dalam bidang lakonan melalui pelbagai cabaran di dalam mendidik anak-anak flat itu disamping menyelesaikan pelbagai konflik dan masalah yang berlaku di kawasan flatnya melibatkan penduduk di situ.
SYED Wafa pernah menulis dan melukis di Utusan Malaysia (sisipan Remaja), URTV, Mangga, Hai serta pernah menjadi Editor Majalah Oh-Gee.