Oleh: Khadijah Ibrahim
AGAK lama juga penyanyi Mas Idayu tidak menghasilkan lagu baharu. Dek kerana tidak ada lagu baharu, orang kini lebih mengingatinya sebagai juri program realiti.
Mas Idayu, 52, tidak ada produk baharu mungkin kerana sekarang ini genre dangdut kurang menyerlah di persada seni muzik tanah air seperti dulu.
Kalau dulu sebut saja nama Mas Idayu terus nama penyanyi itu dikaitkan dengan lagu popular dendangannya seperti “Cintaku 100 %”, “Robek Hatiku” dan “Senggol-Senggolan, Cubit-Cubitan” dan “Bolehlah Boleh”.
Malah sepanjang dikenali sebagai penyanyi dangdut seangkatan dengan Amelina, Iwan Syahman dan Sheeda, Mas Idayu pernah memenangi anugerah Album Dangdut Terbaik menerusi album “Dunia Cinta” sewaktu Anugerah Industri Muzik (AIM) 1988 dan kategori yang sama juga pada AIM 2000 untuk album “Bolehlah Boleh”.
Terkini Mas Idayu yang mesra membahasakan dirinya sebagai ‘Mommy’ membuat kejutan kepada peminatnya apabila tampil dengan single baharu, berbeza daripada irama yang mengangkat namanya di persada muzik.
Untuk kesinambungan kerjaya seninya, kali ini ibu kepada Nur Dayini Asyiqah memilih genre pop rock menerusi lagu “Harum Mekar Di Hati” yang dihasilkan oleh komposer Ajai dan lirik oleh Raizo Emires.
Tatkala ditanya apa yang membuatkan beliau bersetuju untuk merakamkan lagu yang bukan genre dangdut selepas sekian lama tidak muncul dengan karya baharu.
“Saya terima lagu ini sebab yang pertama, Ajai adalah kawan saya dan yang kedua Ajai nak buat satu kelainan bukan seperti lagu dulu dan bukan juga untuk mengubah. Dia tahu saya versatil boleh menyanyi macam-macam jenis lagu dan dia nak saya cuba nyanyi rentak pop rock.
“Lagipun saya belum pernah menyanyi lagu ciptaan Ajai dan bila ditawar untuk kerjasama ini, saya mahu mencuba. Yang melamar saya adalah Indigital (pengedar) sebab ini adalah kerjasama antara Ajai dengan Inisiatif Seni Kreatif (ISK) selaku penerbit.
“Apa-apa pun saya kata nak dengar melodi dulu sebab kalau lagu asal-asal saja, tak mungkin saya terima. Saya perlu teliti dalam memilih lagu dan ternyata Ajai memberikan yang terbaik. Sebelum ini bukan tak ada tawaran untuk buat rakaman lagu tapi masa tak mengizinkan kerana saya sibuk.
“Sebenarnya, lagu ini dah dirancang sebelum saya berkahwin dan sekarang ini barulah ada masa buat rakaman dan selesaikan semua. Lagu oleh Ajai dan lirik oleh Raizo Emires. Saya tak kenal siapa penulis lirik, mulanya saya ingat Ajai yang tulis sebab bahasanya yang bunga-bunga. Keseluruhan lirik itu bagi saya sesuai untuk seorang perempuan,” katanya yang ditemui pada majlis pelancaran lagu tersebut di Red Box Karaoke, The Curve, Petaling Jaya, baru-baru ini.
Jelas Mas Idayu, sebenarnya beliau lebih biasa dengan lagu-lagu pop rock daripada irama dangdut kerana awal penglibatannya dalam bidang seni bukanlah dengan album dangdut.
“Walaupun saya bermula dengan album pop yang saya suka tapi tidak dinafikan nama saya naik sebab album dangdut. Saya tak ada masalah kalau diberi lagu apa pun, kalau sebelum naik dulu saya pernah nyanyi lagu untuk filem ‘Gelora Cinta’, lakonan Nurul Ariffin dengan Imuda. Arwah A.Ali yang buat lagu itu untuk saya, itu lagu rock.
“Saya suka mencuba yang baharu, tak ada masalah pun untuk nyanyi lagu “Harum Mekar Di Hati” kerana saya suka irama rock, jaz dan tradisional. Sebagai penyanyi saya tak takut orang menilai dendangan saya kerana saya bukannya bertanding. Lagipun saya tak peduli dengan kata-kata orang.
“Alhamdulillah, single sudah keluar dan sejujurnya saya tak peduli dengan penilaian orang. Yang penting lagunya keluar, saya yang nyanyikan dan membuktikan yang saya masih boleh menyanyi. Saya senang bekerjasama dengan Ajai dan proses rakaman pun tak ambil masa lama,” katanya tak mengharapkan lagu ini dipertandingkan tapi cukup jika lagu ini diterima pendengar.
Bagi Ajai pula, beliau gembira dapat bekerjasama dengan sahabat lamanya yang juga merupakan sorang penyanyi versatil menerusi sebuah karya yang akan menyerlahkan lagi sisi lain penyanyi tersebut.
Jelasnya, tidak ada apa-apa lagi yang perlu dipersoalkan tentang teknik nyanyian dan sebagainya memandangkan Mas Idayu sudah tahu apa yang perlu dilakukan sebaik sahaja menerima karya ini pada peringkat awal rakaman.
“Ada sebab kenapa saya memilih pop rock dan bukannya dangdut. Bagi saya Mas Idayu merupakan nama besar dan perlu dicabar menyanyikan lagu genre lain. Bila saya beri pop rock, dia mengubah penampilan dan cara nyanyian dengan baik.
“Harum Mekar Di Hati” adalah tambahan kepada repertoire sedia ada dan saya pasti beliau akan mencuri perhatian peminat baharu dan mengekalkan sokongan peminat sedia ada dengan apa yang dipersembahkan kali ini,” kata Ajai tentang kelebihan Mas Idayu dan muzik video lagu ini boleh ditonton di saluran YouTube Indigital Music.
Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.