Oleh : Asmat Fikri
Aku `datang bulan’ atau lebih mudah disebut haid! Itu nampak macam biasa bagi wanita yang sudah semestinya `datang bulan’. Tapi yang peliknya kalau `datang bulan’ itu tak henti-henti selama lebih dua minggu atau lebih 15 hari. Seperti mana yang ramai dalam kalangan kita tahu, jika darah yang keluar itu melebihi tempoh 15 hari, ia dikatakan darah istihadah atau darah penyakit.
Jika itu terjadi, kita sebagai wanita wajib menunaikan kewajipan seperti solat dan puasa walaupun darah masih keluar. Namun, ada adab atau cara-cara yang perlu dibuat bagi memastikan kebersihan terjaga ketika menunaikan ibadah, antara salah satunya, tuala wanita harus ditukar setiap kali ingin solat.
Jadi, jika kita dalam kategori darah istihadah ini, apakah penyakit yang memungkinkan kita hadapi kalau haid atau darah yang keluar berpanjangan tanpa henti?
Anda tidak perlu risau jika darah keluar melebihi tempoh haid. Darah haid bukan darah segar yang keluar dari tubuh. Bagi mereka yang bimbang kenapa darah haid bertukar merah terang, sebenarnya keadaan itu disebabkan bercampur dengan cecair putih yang keluar dari faraj.
Selain tempoh lama, warna darah serta bau juga perlu diberi perhatian khusus kerana perbezaan serta perubahan ketara bagi setiap kes, itu memberi tanda awal jangkitan penyakit. Sekiranya darah haid ada merah gelap, coklat pekat, coklat cair, merah cerah, merah jambu, bau tidak menyenangkan, terlalu banyak, darah membeku, bertukar warna daripada kebiasaan dan cecair faraj bertukar kuning kehijauan atau seperti nanah keadaan ini memerlukan perhatian serius.
Kepelbagaian warna ini, lazimnya menimbulkan kebimbangan kerana dilihat sebagai tanda awal individu mendapat penyakit yang memerlukan pemeriksaan segera. Warna ini mungkin petanda 9 penyakit akibat haid yang berpanjangan seperti fibroid, endometriosis, sindrom ovari polisistik (PCOS), polip, kanser rahim atau pangkal rahim.
Faktor gaya hidup yang menyebabkan haid tidak teratur
1. Tekanan- Kitaran haid seseorang dipengaruhi oleh kortisol iaitu hormon tekanan. Kortisol boleh menyebabkan haid tidak teratur, keluar sedikit dan banyak kerana ianya bergantung pada cara badan seseorang mengendalikan tekanan yang dihadapinya.
2. Senaman melampau- senaman melampau boleh menyebabkan perubahan hormon yang membawa kepada keruntuhan endometrium rahim. Ini mengakibatkan darah merah gelap atau terang yang mengalir lebih sedikit daripada haid biasa. Ketiadaan haid kerana senaman yang melampau dipanggil amenorea akibat senaman.
3. Penurunan berat badan yang ketara- Amenorea hipotalamus berlaku apabila hipotalamus berkurangan atau menghentikan pelepasan hormon pelepas gonadotropin (GnRH) hormon yang penting untuk mengawal kitaran haid. Masalah ini sering dikaitkan dengan faktor masalah berat badan yang rendah (10% di bawah berat ideal), peratusan lemak badan yang rendah, gangguan pemakanan seperti anokreksia nervosa atau bulimia nervosa, tekanan emosi, senaman fizikal yang keterlaluan dan masalah kesihatan atau penyakit tertentu.
Bilakan haid tidak teratur perlu dirisaukan?
Anda disyorkan segera berjumpa doktor sekiranya haid anda berlainan daripada kebiasaannya.
• Haid mula menjadi tidak teratur selepas kitaran haid tetap
• Keputihan yang berbau busuk
• Kekejangan teruk yang berlaku dan berpanjangan sebelum, semasa atau selepas haid.
• Pendarahan faraj atau berlakunya titisan darah kecil sebelum atau selepas menopaus.
• Pendarahan berat yang luarbiasa atau keluarnya darah beku yang besar.
# Ikuti sambungan artikel akan datang antara kemungkinan masalah yang dihadapi oleh wanita yang mengalami haid yang berpanjangan kerana ini tanda 9 Penyakit akibat haid.
ASMA Fikri ialah bekas wartawan Majalah Al-Islam.