Oleh : Nafsiah Jani
Foto: Afhzahafiez Kamaruddin
Musibah yang menimpa mangsa banjir yang melanda negara nampaknya turut mendapat perhatian ramai termasuk golongan artis dan beberapa persatuan NGO yang bergandingan bahu membantu mangsa-mangsa banjir.
Kemusnahan yang berlaku menyebabkan mangsa kehilangan semua harta benda apabila rumah roboh dan hilang dihanyutkan arus deras. Penternak berputih mata binatang ternakan dihanyutkan air dan begitu juga petani yang musnah tanaman mereka sehingga mengakibatkan kerugian yang besar.
Bersimpati dengan apa yang berlaku, Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA) dengan kerjasama Persatuan Reformis Ulung (PRU), Persatuan Megah Muafakat, Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Ampang (PEKA), Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Cempedak (JPKK) dan Stesen Radio Internet BapakkuFM serta syarikat rakaman mengambil inisiatif menggerakkan Misi Bantuan Pasca Banjir bagi membantu mangsa-mangsa.
Presiden IRAMA, Ayob Abdul Majid berkata, mereka kini sudah membuka beberapa pusat pengumpulan barang-barang untuk membantu mangsa banjir terkini.
“Misi ini bertujuan untuk membantu mangsa banjir yang terkesan dengan menyediakan keperluan harian yang amat diperlukan. Masyarakat sekitar Kuala Lumpur khususnya serta rakyat Malaysia amnya diberi peluang untuk menyumbangkan barangan keperluan dan membantu meringankan beban mangsa-mangsa banjir.
“Barangan boleh dihantar ke Kafe Narateawhat Sungai Buloh, Depan Masjid Bukit Indah Ampang, Dewan Orang Ramai, Jalan Mutiara Taman Bukit Ampang, Hajar Seafood, Kampung Damai, Kuang, Pusat Khidmat MPP Zon 1, Jalan Durian 4/1, Shah Alam dan juga Bangi serta di Pejabat Radio Internet BapakkuFM Gombak,” katanya.
Menurut Ayob lagi, Misi Bantuan Pasca Banjir mengalu-alukan sumbangan pelbagai pihak merangkumi pelbagai bentuk dan cara.
“Barangan yang diperlukan berupa barangan makanan, peralatan pembersihan rumah, water jet, peralatan kebersihan diri, kain batik, kain pelikat, telekung, pakaian dalam, tuala wanita, selimut, toto, tikar, air mineral dan lampin pakai buang.
“Pasukan kami akan bergerak ke Kelantan dan Terengganu mulai 15 Disember ini. Jika anda ingin membantu, bolehlah menghubungi nombor 019 3682548 atau WhatsApp 014 812 9763.”
Penyanyi Datuk Nash dan Amiresa antara barisan artis yang menyatakan persetujuan untuk terbabit dalam misi mulia ini.
“Saya rasa sangat sedih dan terpanggil untuk membantu apabila melihat paparan-paparan video kesukaran, kesusahan dan penderitaan mangsa banjir menerusi pelbagai medium.
“Ada yang sudah berusaha pelbagai cara untuk mengelakkan menjadi mangsa antaranya meninggikan tapak rumah dan memastikan haiwan dalam keadaan selamat tapi kehendak Allah tidak boleh dilawan.
“Jadi saya menyeru kepada semua penggiat seni agar bersatu hati membantu mereka yang terkesan. Inilah tanda solidariti golongan artis kepada masyarakat. InsyaAllah kebaikan kita akan mendapat ganjaran Allah nanti,” kata Nash lagi.
Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita dan Saji terbitan Utusan Karya.