Persembahan tarian tradisional turut ditampilkan sewaktu pembukaan Gebyar Nusantara 2024.

Oleh: Khadijah Ibrahim
Foto: Afhzahafiez Kamaruddin

FESTIVAL Gebyar Nusantara 2024 yang berlangsung selama dua hari hujung minggu lalu tidak sekadar menjadi platform promosi dan mengeratkan hubungan Indonesia serta Malaysia, malah turut meraikan persahabatan insan seni antara dua negara serumpun.

Festival anjuran Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) Kuala Lumpur disifatkan sebagai platform penting bagi Allen Anderson, penyanyi yang sedang mencari populariti di negara ini untuk mendekatkan beliau dengan peminatnya di Malaysia.

Indera Hermono (kanan) dan Khairul Firdaus Akbar Khan melawat kiosk yang ada di Gebyar Nusantara 2024.

Jejaka kelahiran Tahuna, Sulawesi Utara itu berkata, penerimaan ramai terhadap kemunculannya di negara ini membuatkan dia semakin yakin mengatur langkah untuk terus memperkenalkan bakatnya.

Allan yang popular dengan lagu “Rindu” dan “Ku Mau Bahagia Juga” menyifatkan peluang yang diberikan penganjur merupakan kesempatan terbaik untuk berkongsi bakat dan kecintaannya terhadap muzik dengan peminat di Malaysia.

Allen Anderson teruja dapat mengadakan persembahan di tempat terbuka untuk peminatnya.

“Sebelum ini, saya lebih banyak tertumpu pada persembahan tertutup dan hanya dihadiri sejumlah kecil peminat. Apabila dapat beraksi di pentas terbuka seperti Gebyar Nusantara 2024, saya berusaha memberikan yang terbaik kerana setiap panggung memberikan pengalaman berbeza.

“Sebagai penyanyi, saya perlu melunaskan tanggungjawab dengan baik kerana undangan diberikan adalah penghargaan daripada mereka yang mempercayai bakat saya,” katanya.

Dapat melihat pelbagai keunikan budaya Indonesia di Gebyar Nusantara 2024.

Selain Allan, festival dua hari pada 30 November dan 1 Disember lalu itu turut menampilkan bakat tempatan seperti Erul Samah, JZ Vibes, selain persembahan galau yang dijayakan dua band iaitu Kureiji dan Patriots yang mengalunkan lagu-lagu popular Indonesia.

Lebih istimewa, pengunjung juga berpeluang untuk beramah mesra dengan bintang utama drama horror Indonesia, “Zona Merah” iaitu Devano Danendra, Maria Theodore dan Andri Mashadi pada festival yang diadakan di Raintree Plaza, Tun Razak Exchange (TRX) tersebut.

Kumpulan Patriot menghibur pengunjung dengan lagu-lagu popular mereka.
Barisan pelakon drama “Zon Merah” turut hadir memeriahkan Gebyar Nusantara 2024.

Mengulas mengenai penganjuran Gebyar Nusantara 2024, Duta Republik Indonesia ke Malaysia, Dato’ Indera Hermono berkata, acara tersebut selain mempromosikan Indonesia menerusi pelancongan, makanan, kesenian dan ekonomi kreatif, ia juga mengeratkan hubungan dua negara menerusi ikatan budaya.

Kehadiran Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan turut menjadikan penganjuran festival itu lebih bermakna, sekali gus mengukuhkan lagi kerjasama dalam mempromosikan destinasi pelancongan serantau.

Erul Samah penyanyi tempatan menghibur tetamu yang hadir.

Sepanjang tempoh festival berlangsung, pengunjung berpeluang meneroka destinasi pelancongan mengagumkan, menikmati hidangan autentik dan hiburan penuh warna dari Indonesia di bawah satu tempat.

Selain itu, festival ini juga menawarkan aneka juadah Nusantara yang menonjolkan cita rasa unik setiap wilayah di Indonesia seperti Nasi Padang Ampera Raya, Soto Banjar Bang Suhai, Ayam Gepuk Top Global, Mama Medan, Betawi Indonesian Cuisine, selain pilihan variasi kopi popular dari negara tersebut.

Kumpulan Kureiji juga hadir menghibur para pengunjung.
Previous articleKontroversi konsert A Night With Sumandak Stars berakhir dengan kejayaan
Next articleShaheizy Sam nak ajar cara kurus yang sihat

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here