Bagi Elizabeth Tan nama tercalon dalam Top 5 pun sudah membanggakan dirinya.

Oleh: Khadijah Ibrahim

LUAR jangkaan, itulah pendapat penyanyi dan pelakon Elizabeth Tan apabila mengetahui namanya tersenarai dalam Top 5 Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33).
Elizabeth, 31, yang tidak dapat menyembunyikan rasa gembiranya menganggap pencalonan itu sangat bermakna buat dirinya yang masih baharu dalam bidang lakonan.

Pencalonan tersebut adalah hasil lakonannya sebagai watak antagonis dalam filem ‘Sheriff – Narko Intergriti’ yang berjaya menonjolkan sisi berbeza daripada perwatakan lembut dan sopan yang sinonim dengannya.

“Saya tak sangka watak antagonis yang saya lakonkan dalam ‘Sheriff’ akan meninggalkan kesan mendalam kepada penonton dan juri. Sebagai pelakon, saya selalu ingin mencabar diri untuk keluar dari zon selesa, dan watak ini memberi saya peluang untuk berbuat demikian.

 

Acara kemuncak FFM33 akan berlangsung pada 7 Disember ini.

“Jujurnya pencalonan ini sangat bermakna bagi saya kerana ia tanda industri mengiktiraf saya sebagai seorang pelakon dan menjadi impian saya selama ini.

“Ramai orang masih melihat saya sebagai seorang penyanyi dan menganggap lakonan ini sekadar suka-suka, tetapi pencalonan ini adalah satu pengiktirafan yang saya sebenarnya juga seorang pelakon,” kataya terus terang.

 

Elizabeth Tan bersama Zul Ariffin (kiri) dan Datuk Aaron Aziz yang terlibat dalam filem ‘Sheriff -Narko Intergriti’.

Elizabeth yang menyifatkan pencalonan itu sebagai satu penghormatan besar buat dirinya kerana secara tak langsung beliau perlu bersaing dengan nama-nama besar dalam industri filem.

“Saya sangat kagum dengan pelakon lain dalam kategori ini. Semuanya hebat-hebat belaka dan berada dalam kalangan mereka adalah sesuatu yang saya hargai. Empat calon lain mempunyai kelebihan tersendiri dan saya akui sangat kerdil untum berdiri sebaris mereka.

“Menang atau kalah saya tidak mahu ambil kisah kerana apa yang lebih penting adalah meraikan kejayaan setiap pemenang pada penganjuran kali ini,” katanya.

Watak Jennifer Wong dalam filem ‘Sheriff -Narko Intergriti’ arahan Syafiq Yusof melayakkan Elizabeth Tan tercalon dalam kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik FFM33.

Lain-lain pelakon yang tercalon untuk kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik FFM33 adalah Nadiya Nisaa untuk filem ‘Imaginur’, Pauline Tan (Rain Town), Remon Lim (Victim(s) dan Angeline Tan (Duan Nago Bogho).

Mengetengahkan tema Evolusi Sinema Malaysia atau FFM 33 akan bersiaran secara langsung pada 7 Disember ini di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media.

Previous articleApa itu penyakit kelamin STI? (Bahagian 2)
Next articleFestival Filem Malaysia beri impak kepada anak seni.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here