Oleh: Khadijah Ibrahim
Foto: Ehsan Datuk Yusni Hamid/Koleksi Syed Wafa
BAGI generasi baharu, mereka mungkin mengenali Datuk Yusni Hamid sebagai penyanyi lagu-lagu tradisional seperti irama asli, keroncong atau jaz sahaja.
Sebenarnya penyanyi yang nama sebenarnya Aisah Mohd Shariff, 73, itu berkebolehan menyanyi lagu dalam pelbagai genre. Kalau ada yang pernah mendengar lagu-lagu berirama pop seperti “Kau Yang Ku Nanti”, “Ku Tak Mengerti” atau “Aku Rindu”, pasti tidak percaya bahawa itu adalah lagu dendangannya.
Penyanyi yang mula menunjukkan minat dalam bidang muzik sejak usia 18 tahun itu sebenarnya kaya dengan pengalaman sebagai penyanyi dan penghibur.
Biarpun kerjaya yang dipilihnya tidak mendapat sokongan daripada kedua ibu bapa, Yusni tidak pernah berputus asa sebaliknya beliau menjadikan platform tersebut sebagai usaha untuk membantu keluarga dan demi menggapai Impian sebagai seorang penyanyi.
Bermula dengan “curi-curi” menyanyi tanpa pengetahuan ibu bapa, akhirnya beliau berjaya muncul di televisyen. Oleh kerana beliau lahir dalam keluarga yang kurang berkemampuan dan berhasrat untuk membantu keluarga, solusi yang ada waktu itu adalah menjadi penyanyi kelab malam.
Yusni mula menyanyi di kelab malam pada tahun 1968 dan selama sembilan tahun beliau menjadi penyanyi residensi di Lake Club Tasik Perdana. Beliau beruntung kerana sewaktu menyanyi di situ, persembahannya turut disaksikan oleh isteri Ronald Reagan, Perdana Menteri Amerika Syarikat iaitu Nancy Reagan.
“Keluarga saya bukanlah orang senang. Kami dahulu tinggal di sekitar kawasan setinggan di Kampung Semarang, Kuala Lumpur sebelum berpindah ke Kampung Pandan.
“Saya tidak berpeluang untuk belajar tinggi, hanya sampai tingkatan dua sahaja. Saya terpaksa berhenti sekolah selepas ayah saya, Mohd. Shariff meninggal dunia. Tetapi rezeki saya rupanya Allah SWT lorongkan dalam bidang nyanyian,” katanya dalam satu wawancara dengan sebuah akhbar tempatan.
Karier Yusni sebagai penyanyi rakaman bermula apabila seorang kenalannya dari Australia sudi menaja beliau untuk merakamkan album.
Album sulung Yusni berjudul “Kau Yang Pertama” dikeluarkan pada 1982 dan single pertama daripada album tersebut yang diperkenalkan adalah “Kau Yang Ku Nanti”. Selepas kejayaan album pertama, beliau merakamkan beberapa lagi album yang semuanya meraih kejayaan komersial.
Antara album studio yang dihasilkan adalah “Aku Rindu” (1982), “Kasih Ku Abadi” (1988), album duet bersama Allahyarham Tan Sri SM Salim iaitu “Jeling Menjeling” (1995).
Beliau yang pernah menjadi pengacara untuk rancangan ‘Bintang Undangan’ terbitan Perbadanan Penyiaran Singapura (SBC) selepas lagu-lagu dendangannya mendapat perhatian ramai turut menjadi pilihan utama majlis-majlis eksklusif.
Sewaktu era pimpinan Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, beliau sering diberi penghormatan untuk menghibur raja dan sultan di serata negeri. Bukan itu saja, malah beliau sering terpilih mewakili Malaysia dalam festival lagu antarabangsa.
Sebagai penyanyi diraja, beliau dikurniakan darjah kebesaran yang membawa kepada gelaran Datuk oleh Sultan Pahang pada Oktober 2003. Malah pada 27 Februari 2016, Yusni turut menjayakan Konsert Raja & Rakyat Berpisah Tiada di Istana Budaya sempena meraikan ulang tahun Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahamd Shah yang ke-85 ketika itu.
Meskipun namanya sudah berada di kedudukan tersendiri, Yusni tidak pernah memandang rendah pada penyanyi muda atau baru meningkat naik. Sebaliknya beliau sedia berkongsi pengetahuan dan pengalaman jika ada yang bertanya.
Ibu kepada tiga orang anak itu melahirkan rasa syukur kerana hingga kini kerjayanya masih berterusan walaupun ramai wajah baharu muncul di persada seni tanah air.
Tidak mempunyai sebarang petua atau rahsia untuk mengekalkan kemerduan suara, Yusni berkata, apa yang dimilikinya adalah kurniaan Allah.
“Saya bersyukur kerana Allah kurniakan saya bakat menyanyi. Semua atas inisiatif sendiri. Zaman saya menyanyi dulu mana ada kelas vokal, mungkin ia adalah anugerah yang diberkan secara semula jadi.
“Alhamdulillah, dengan bakat yang ada dan pengalaman menyanyi di kelab malam selama 20 tahun sedikit sebanyak membantu nyanyian saya,” katanya yang mengamalkan kesederhanaan dalam kehidupan seharian.
Selain itu, beliau juga seorang yang suka mengikuti peredaran zaman kerana baginya seorang penyanyi perlu tahu apa yang disukai oleh penonton dan sebaliknya.
“Saya hanya menyanyi mengikut apa yang penonton minta. Apabila orang sudah mengundang kita untuk menghiburkan mereka, pastinya kita harus akur dengan lagu-lagu yang mereka gemari. Sebelum hari persembahan juga saya akan membuat kajian mengenai pemilihan lagu yang sesuai.
“Paling penting jangan syok sendiri dengan menyanyikan lagu yang kita suka saja, kerana sebagai penghibur, kita perlu menghiburkan orang dan pastinya perlu bijak memilih lagu-lagu yang orang suka dengar dan bukan kita sendiri saja yang suka,” katanya terus terang.
Pada usia sekarang, Yusni masih tampak sihat dan mengakui beliau
amat menitik berat soal pemakanan dan tidak lupa membuat senaman ringan untuk mengekalkan stamina. Selain itu, beliau juga mengurangkan pengambilan makanan yang terlalu pedas dan sejuk seperti ais serta menjaga waktu tidur yang cukup.
Selain menyanyi, Yusni juga pernah mencuba bakat dalam bidang lakonan. Beliau pernah berlakon dalam Panggung RTM dan pementasan bangsawan untuk siaran TV.
Beliau ditawarkan menjayakan pementasan teater “Kasih Menanti” arahan Datuk Ahmad Tarmimi Siregar dengan memegang watak sebagai ibu angkat sewaktu pementasan di Panggung Sari, Istana Budaya pada 9 hingga 18 Mei 2008.
Harap keroncong setanding irama lain
Meskipun Yusni mampu menyanyi pelbagai genre lagu, namun irama keroncong tetap tidak boleh dipisahkan dengannya. Beliau yang sering membawa lagu keroncong, berharap genre tersebut boleh berkembang di kalangan generasi muda.
Sebagai penyanyi yang sering menyanyikan lagu irama begitu, Yusni risau jika tiada usaha memartabatkan irama itu, tidak mustahil keroncong yang suatu ketika dahulu cukup diminati, bakal lenyap ditelan zaman.
Tegasnya, demi kelangsungan melodi indah itu, perlu ada inisiatif diambil pihak bertanggungjawab untuk menyuburkan keroncong, termasuk mempromosikan irama itu secara berterusan.
“Ada yang berpendapat irama keroncong hanya untuk orang tua sahaja. Saya tidak setuju dengan pandangan itu kerana genre muzik tiada batasan dan irama keroncong juga sesuai untuk orang muda, sama seperti lagu tradisional lain.
“Apapun, pihak yang bertanggungjawab kena pandai mempromosikan keroncong agar anak muda dapat menghargainya. Pada pandangan saya, antara usaha yang boleh diambil adalah menganjurkan pertandingan lagu keroncong.
“Kalau kita boleh anjurkan pertandingan nyanyian lagu tradisional, kenapa kita tak boleh adakan pertandingan sama untuk irama keroncong. Usaha untuk memartabatkan irama keroncong boleh dilakukan dengan memperbanyakkan lagu ciptaan baharu, bukan sekadar bergantung kepada lagu lama sahaja,” katanya dalam satu sidang media sebelum ini.
Tambahnya, salah satu faktor menyebabkan irama keroncong kurang diminati adalah kerana tidak banyak lagu ciptaan baharu dihasilkan. Beliau juga berpendapat yang dunia seni tempatan ketandusan penyanyi irama keroncong dalam kalangan lelaki.
Menyedari penyanyi ada pengaruh, Yusni mempunyai cara tersendiri untuk memastikan lagu keroncong terus mendapat tempat di hati pendengar.
“Saya ada cara tersendiri untuk memastikan irama keroncong terus relevan. Setiap kali diundang untuk membuat persembahan, saya pasti selitkan satu atau dua lagu keroncong. Kadang-kadang saya nyanyikan lagu moden, tetapi susunan muzik digubah menjadi irama keroncong.
“Bukan sahaja terhad kepada lagu Melayu, malah, lagu dalam bahasa Inggeris. Antara lagu kegemaran saya yang diubah muziknya menjadi irama keroncong adalah “Can’t Help Falling In Love With You”,” katanya yang pernah menjayakan Konsert Apresiasi Irama Keroncong Malaysia di Panggung Sari, Istana Budaya 5 Ogos 2023.
Yusni bangga kerana penganjur berani menganjurkan konsert khas untuk irama keroncong dan melihatnya sebagai suatu inisiatif untuk memartabatkan irama tersebut.
Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.