Oleh : SYED WAFA
Foto : Ehsan Aida Khalida/ Koleksi Syed Wafa
AIDA Khalida bukanlah satu nama asing dalam filem dan drama tempatan kerana berilah apa sahaja watak kepadanya pasti beliau mampu menyantuninya dengan baik.
Bukan itu sahaja, malah beliau yang memulakan kerjaya sebagai pelakon dengan melakonkan watak Sofiah dalam filem “Rimba Malam”(1992) bukan sahaja membuktikan bakatnya tidak perlu dipertikaikan. Sebaliknya berilah apa jua watak kepadanya daripada seorang gadis sehinggalah nenek apa yang pasti beliau bukan sahaja tidak pernah menghampakan malah kejelitaannya tetap terserlah.
Kini pada umurnya mencecah 67 tahun wajah Aida Khalida bagaikan tidak dimamah usia malah tetap cantik dan menawan.
Ini dapat dilihat dalam drama rantaian terbaharu “Dhia Kasyrani” sebanyak 24 episod terbitan Tanah Beris Film Production lakonannya yang mula bersiaran di TV3 mulai 22 November lalu.
Aida Khalida yang melakonkan watak Nek Zahrah drama yang diadaptasi daripada novel “Adanya Dhia” karya Sophilea yang memaparkan kisah penuh misteri yang disimpan kemas oleh Nek Zahrah agar tidak diketahui oleh anak saudaranya, Mursyid dan cucu-cucunya Dhia Kasyrani dan Kak Long.
Nek Zahrah terpaksa merahsiakan sejarah hitam yang menyelubungi keluarganya demi cucunya, Dhia Kasyrani yang mewarisi syarikat peninggalan arwah ibubapanya.
Walaupun Aida Khalida sebagai nenek dengan penampilannya yang sangat simple ramai peminat yang mengkagumi kerana ada yang berkata beliau tetap cantik seperti dahulu.
Aida Khalida ketika dihubungi dan bertanya rahsia awet mudanya tanpa berahsia berkata;
“Syukur alhamdulillah semua ini adalah anugerah Allah SWT dan semua itu hanya pinjaman.
“Bagaimanapun apabila usia kita mencecah 60-an dan dengan kerja kita sebagai artis yang berdepan dengan kamera tidak mengira waktu dengan nasihat mereka yang pakar, saya sentiasa mengamalkan pengambilan supplement yang sesuai dengan diri dan umur saya.
“Itu sahaja yang saya amalkan demi kesihatan dan tenaga kerana ‘berkerja’ sebagai pelakon bukan seperti kerja di pejabat.
“Disamping itu, saya juga menjaga pemakanan demi kesihatan dan penampilan diri kerana saya tidak mengamalkan sesuatu yang akan memudaratkan kesihatan saya,” akui Aida Khalida.
Meskipun sudah lebih tiga dekad melayari hidup sebagai anak seni dan boleh dianggap sebagai pelakon berpengalaman, Aida Khalida tidak pernah meletakkan syarat untuk berlakon dalam sesebuah penerbitan.
Ini terbukti apabila beliau bersedia melakonkan ‘watak hitam’ sebagai Puan Sri Rafidah, ibu mertua yang kejam dalam drama rantaian 40 episod “Hijrah Jannah” yang bersiaran di Astro Ria pada 5 Jun 2023.
Sebagai Puan Sri Rafidah yang kejam, Aida Khalida bukan sahaja dibenci malah
penampilannya yang cantik tetap menjadi perhatian.
“Bagi saya untuk menjadi seorang pelakon yang versatile kita tidak harus meletakkan syarat. Jika kita bagus berilah apa jua watak kita akan mampu menyantuninya dengan baik,” kata Aida Khalida.
Bersandarkan kejayaan itu, Aida Khalida dijangka akan muncul dalam drama rantaian dengan mengekalkan watak hitam yang pasti membuatkan penonton membencinya.
Penggambaran drama rantaian 50 episod itu dijangka akan memulakan penggambaran pada Disember ini.
“Wataknya memang mencabar, jahat yang amat sangat tetapi penuh misteri.
Semoga saya dapat melaksanakan tugas yang diberikan dengan jayanya,” kata Aida Khalida.
Apakah dalam drama rantaian 50 episod itu akan mengekalkan Aida Khalida tetap maintain cantik menawan?
Aida yang ditanya mengenai persoalan itu hanya ketawa kecil sambil berkata;
“Biarlah ia menjadi rahsia tetapi yang pasti perwatakan dan penampilan saya akan membuatkan penonton tidak senang duduk kerana title drama itu cukup ‘daring’, “ kata Aida Khalida sambil ketawa kecil.
SYED Wafa pernah menulis dan melukis di Utusan Malaysia (sisipan Remaja), URTV, Mangga, Hai serta pernah menjadi Editor Majalah Oh-Gee.