Oleh: Khadijah Ibrahim
KALAU kita menonton filem Bollywood, durasi tayangannya adalah tiga jam lebih berbanding filem Hollywood atau tempatan. Rupa-rupanya konsert dari artis Bollywood pun sama. Kebanyakan konsert yang penulis hadir, penyanyi akan menyampaikan lagu paling banyak adalah kira-kira 30 lagu, itupun ada penyanyi undangan.
Lain ceritanya sewaktu penulis hadir di konsert “Arijit Singh Live in Malaysia” yang berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil pada 10 November lalu, durasi persembahannya mengambil hampir empat jam. Nasib baik penonton duduk, kalau berdiri mesti penonton lenguh kaki.
Bayangkan Arijit, 37, memulakan persembahan kira-kira jam 8.10 malam dan hanya mengundur diri pada 11.45 malam. Walaupun terpaksa terpaku lama di tempat duduk, penonton sekitar 10,000 orang itu tidak rasa jemu sebaliknya dari awal hingga akhir mereka terhibur dengan persembahan daripada komposer dan penyanyi latar untuk filem Bollywood masa kini.
Ini bukanlah kali pertama Arijit mengadakan persembahan di Malaysia, terakhir beliau menjayakan konsert di sini kira-kira 10 tahun lalu di Dewan Wawasan Convention & Exhibition Centre. Dalam tempoh tersebut sudah berapa lagu yang dirakam oleh Arijit untuk filem-filem Bollywood.
Jadi tidak hairanlah untuk konsert “Arijit Singh Live in Malaysia” yang dibawa khas oleh Hitman Solutions bersama syarikat penganjur konsert dari Australia, Cinestar Events, Arijit mendendangkan hampir 50 lagi popularnya.
Bagi penulis, hanya dua lagu saja yang biasa di pendengaran iaitu “Gerua” dan “Janam Janam” kerana kedua-dua lagu tersebut adalah dari filem “Dilwale” lakonan Shah Rukh Khan dan Kajol. Lain-lain lagu dendangan Arijit pada malam itu adalah “Ae Dil Hai Mushkil”, “Tum Hi Ho” (Aashiqui 2), “Bekhayali” “Kesariya” (Brahmastra), “Chaleya” (Jawan) dan banyak lagi.
Biarpun begitu penulis tetap teruja menonton persembahan Arijit yang menyanyi sambil memetik gitar dan bermain piano untuk segmen tertentu kerana penyanyi tersebut mempunyai vokal yang menggamit perasaan dan beliau menyanyi dari hati.
Seperti mana kita menonton filem di layar lebar yang penuh dengan keceriaan dan warna-warni tatkala adegan nyanyian atau tarian, begitulah yang ditampilkan sepanjang konsert Arijit berlangsung yang diringi oleh pemuzik profesioanal, penyanyi latar dan penari.
Produksi penerbitan konsert Arijit yang sering mengadakan persembahan di peringkat antarabangsa dan berpengalaman luas itu berjaya memastikan perjalanan konsert dari segi sistem bunyi, reka bentuk pentas termasuk penataan cahaya amat mengujakan.
Menonton konsert Arijit yang tidak banyak berceloteh itu seolah-olah mendengar secara langsung lagu-lagu dendangannya dari corong radio atau Sportify.
Arijit yang teruja dengan maklum balas daripada penonton yang turut menyanyi bersamanya untuk sesetengah lagu masih sempat melayan permintaan peminat yang mahu mendapatkan tandatangannya sewaktu beliau menyanyi.
Ada yang menghulur kertas untuk ditandatangani dan mungkin peminat tersebut tidak ada kertas, sebaliknya menghulurkan beg tangannya untuk ditandatangani oleh penyanyi tersebut. Dari reaksi Arijit, nampak beliau adalah seorang penyanyi yang mengutamakan peminat dan sempat turun ke bawah untuk bersalaman dengan penonton.
Arijit berjanji akan datang lagi ke Malaysia untuk menghibur para peminat yang tidak pernah jemu dengan lagu-lagu dendangannya itu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif & Pengasas Hitman Group, Rohit Rampal berkata, pihaknya sangat teruja melihat sambutan yang luar biasa daripada peminat Arijit Singh di Malaysia.
“Konsert “Arijit Singh Live in Malaysia” benar-benar menggegarkan Malaysia dan melampaui jangkaan kami. Ini merupakan kali ketiga kami berpeluang untuk membawa Arijit Singh ke Malaysia dan sangat teruja melihat muziknya yang sangat mempengaruh peminat-peminatnya.
“Kejayaan konsert ini adalah hasil kerjasama erat dengan Cinestar Events dan kami sebagai penganjur berbangga dapat melakar pengalaman yang luar biasa buat semua yang hadir. Kita dapat lihat yang Arijit memberikan pesembahan yang mantap dan penuh emosi dan setiap dendangannya itu sampai kepada peminat di Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif & Pengasas Cinestar Events, Yogesh Sharma berkata, pihaknya merasa bangga kerana dapat menjadi sebahagian daripada kejayaan “Arijit Singh Live in Malaysia” di Kuala Lumpur.
Ujarnya, konsert tersebut membuktikan bahawa peminat muzik Bollywood di Malaysia amat mengagumi karya-karya Arijit Singh.
Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.