Oleh: Khadijah Ibrahim
Foto: Afhzahafiez Kamaruddin.
TAHUN ini merupakan kali ketiga program Seloka Legasi Legenda Seni diadakan. Sebelum ini program yang serupa diadakan di MATIC pada 2022 dan 2023 dengan nama Seloka Seniwati Silam dan Seloka Legenda Waris Seni.
Masih mengekalkan objektif yang sama iaitu nemberi peluang untuk menampilkan Legasi Legenda Seniman dan Seniwati Filem Melayu yang mengikuti jejak kerjaya sebagai anak seni yang masih aktif.
Untuk tahun ini, program anjuran Ade Abe Intertainment dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Persatuan Melodi Kenangan Artis dan Penggiat Seni Malaysia (PEMEKAR) dengan sokongan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) serta rakan strategik Yayasan Artis Veteran Malaysia (YAVM) dan Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM) itu diadakan di Grand Barakah Hotel (GBH), Ampang.
Peneraju PEMEKAR iaitu pelakon Amran Nasruddin yang bertindak sebagai penyelaras program berkata, antara lain objektif program adalah untuk mengangkat dan menggerakkan aktiviti anak seni melalui ikon lakonan, muzik dan tarian sebagai usaha mengenali lebih dalam bintang serta tokoh seni negara.
“Program ini mendokumentasikan tokoh legenda warisan seni kepada waris seni melalui rakaman video sebagai bahan rujukan semasa hayatnya sebagai tokoh artis dan penggiat seni.
“Mereka turut berkongsi pengalaman dan pengorbanan sebagai anak seni dalam mewarnai industri seni negara. Antara yang terbabit dalam program kali ini adalah pelakon dan penyanyi Ebby Saiful, Norlie dan Nora Tamam Idris, Dr. Norzizi beserta adiknya, Sazleen Zulkifli, Rozita Rohaizad, Melissa Saila dan Shasha serta Adlin Aman Ramli,” jelasnya.
Tambahnya, setiap daripada waris kepada bintang legenda berkenaan akan berkongsi cerita yang belum pernah diuar-uarkan kepada orang ramai sebelum ini.
“Selain waris ditemu bual oleh Hilal Azman yang bertindak sebagai moderator, turut ditayangkan video lakonan atau nyanyian seniman dan seniwati berkenaan.
“Saya harap program sebegini dapat diteruskan setiap bulan atau sekurang-sekurangnya setahun sekali bagi memberikan terapi diri kepada seniwati dan seniman yang masih hidup.
“Setidak-tidaknya program sebegini membolehkan orang ramai mengenali siapa waris legasi seni (anak/suami/isteri) yang selama ini menghibur mereka di layar kaca dan layar perak.
“Sekali gus menerusi bual bicara dengan moderator, waris legasi dapat mengangkat karier ayah atau ibu mereka ketika mereka tiada nanti. Bukan semua anak seni yang mengikut jejak langkah ayah ibu mereka. Hanya yang betul-betul berbakat dan berani sahaja tampil mengekalkan pepatah Melayu, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi,” kata Amran panjang lebar.
Betullah hanya insan terdekat sahaja yang mengenali hati budi orang tersayang berbanding orang luar. Sebagai penonton filem Melayu, kita selalu melihat ketangkasan Tamam Idris bersilat. Namun secara peribadi kata anak-anaknya, iaitu Norlie dan Nora, bapa mereka adalah seorang yang kelakar.
Begitu juga siapa tahu di kalangan anak-anak, Ruminah Sidek atau Mak Mah digelar ‘Black Widow’ kerana bila berkahwin ada di antara suaminya yang meninggal dunia dan kemudian wanita akan akan berkahwin lagi.
Program sebegini patut didokumentasikan atau dibuat podcast sebagai khazanah untuk mengenang insan-insan yang berbakti dalam bidang seni. Menariknya cerita berkenaan seniman atau seniwati tersebut dikongsikan oleh orang terdekat dengan mereka.
Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.