Oleh : Nury Kadir
Daging babi tiruan (fake pork) haram dimakan sekalipun bahan-bahan yang digunakan dalam penghasilannya adalah halal. Hal ini adalah kerana mengambil langkah Sadd al-Zarai’ iaitu menutup jalan yang boleh membawa kepada menggalakkan mendekati produk berasaskan babi iaitu dengan merasa daging babi tiruan halal.
Perkara ini seterusnya boleh membawa kepada kekeliruan dalam kalangan masyarakat Islam dan dikhuatiri mereka akan terjebak memakan daging babi yang sebenar (real pork) dengan sangkaan ia adalah daging babi tiruan (fake pork).
Begitu juga, daging babi tiruan tersebut berkemungkinan besar bertujuan sebagai strategi pemasaran untuk mempromosikan daging babi yang sebenar. Memakan daging tersebut secara tidak langsung menyebabkan umat Islam terjebak dalam bersubahat menggalakkan memakan daging babi atau perkara-perkara yang diharamkan di dalam agama.
Ketika membahaskan senarai perkara-perkara yang tidak boleh dizahirkan kepada orang-orang Islam oleh orang-orang kafir zimmi, Ibnu Hajar al-Haitami mengatakan :
ومن إظهار منكر بيننا نحو خمر وخنزير وناقوس
Maksudnya : “(Termasuk yang ditegah) ialah menzahirkan mungkar dalam kalangan kita orang-orang Islam, seperti arak, babi dan loceng gereja.”
Menurut Ibnu Hajar di dalam Tuhfqah al-Muhtaj, antara sebab tegahan itu kerana ia boleh membawa kepada pelbagai kemungkaran. Selain daripada itu, perkara yang turut dilarang sama sekali tidak boleh dizahirkan ialah syiar atau lambang kekufuran dan kemungkaran.
Selain itu, umat Islam juga diperintahkan supaya berpegang dengan prinsip tidak melakukan sesuatu perbuatan yang menyerupai orang kafir pada sesuatu yang dilarang melakukannya. Lantaran itu, Rasulullah SAW melarang umat Islam menyerupai golongan kafir dalam hal yang merupakan amalan dan tradisi dalam agama mereka. Daripada Ibn Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya : “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum dia adalah dari kalangan mereka.”(HR Abu Daud)
Sheikh al-‘Azim Abadi di dalam ‘Aun al-Ma’bud menukilkan pandangan al-Munawi dan ‘Alqami. Kata mereka : “Yang dimaksudkan dengan hadis ini ialah berpakaian dengan pakaian mereka, juga menyerupai cara mereka serta menyerupai perlakuan dan perbuatan mereka.”
Al-Imam al-San’ani menyebut di dalam Subul al-Salam Syarh Bulugh al-Maram, “Hadis ini menunjukkan sesiapa yang menyerupai atau meniru orang yang fasiq, orang kafir, atau pembuat bidaah maka dia adalah dari kalangan mereka (sama seperti mereka). Di mana dia meniru apa yang khusus bagi mereka seperti pakaian, tunggangan atau gerak-geri mereka.”
Perbuatan memakan daging babi adalah merupakan perbuatan dan makanan biasa bagi orang kafir, sedangkan ia jelas terlarang dalam agama Islam. Maka umat Islam dilarang sama sekali meniru walaupun sekadar gaya perbuatan mereka yang memakan daging babi.
Fatwa Majlis Ulama Indonesia (MUI)
Ini pula fatwa yang dikeluarkan Majlis Ulama Indonesia (MUI) dalam Standard Fatwa Halal. Meat vegan atau daging babi tiruan walaupun dihasilkan daripada tumbuh-tumbuhan namun tidak boleh diiktiraf sebagai halal. Dan, umat Islam disarankan untuk tidak mengambilnya. Larangan itu adalah sebagai langkah berhati-hati agar umat Islam tidak mendekati dan mengambil makanan yang haram iaitu daging babi sebenar.
Sebab itulah diletakkan syarat sebelum sesuatu produk makanan itu boleh diiktiraf halal, antaranya:
1. Produk tersebut tidak boleh menggunakan nama atau simbol-simbol makanan atau minuman yang mengarah kepada kekufuran dan kebatilan.
2. Produk itu tidak boleh menggunakan nama dan simbol-simbol makanan atau minuman menyerupai nama-nama benda atau binatang yang diharamkan terutamanya babi dan khamr kecuali sesuatu yang sudah menjadi tradisi dan sudah dipastikan bahawa tidak mengandungi unsur-unsur yang diharamkan seperti nama bakso, bakmi, bakwan, bakpia dan bakpo.
3. Produk itu tidak boleh menggunakan bahan campuran bagi kompenen makanan atau minuman yang menimbulkan rasa atau aroma benda-benda atau binatang-binatang yang diharamkan seperti mi segera perasa babi, bacon flavour dan lain-lain.
4. Produk tersebut tidak boleh menggunakan nama-nama produk yang haram seperti wiski, brandy dan bir atau sebagainya.
Kriteria Sistem Jaminan Halal (SJH) menetapkan bahawa bau atau ciri-ciri produk tidak boleh memiliki kecenderungan bau atau rasa menyerupai produk haram atau yang telah difatwakan haram oleh MUI.
Begitu juga dengan nama-nama produk yang menggunakan nama babi dan anjing serta yang berkait dengannya seperti babi panggang, babi goreng, beef bacon, hamburger, hotdog tidak boleh diiktiraf halal. Meskipun tidak menggunakan bahan yang bersumber daripada babi.
Larangan itu sebagai langkah berhati-hati agar orang Islam tidak mendekati dan mengambil produk yang tidak halal. Apabila sudah terbiasa mengambil produk yang haram, dikhuatiri seseorang itu akan terbiasa dengan rasa, aroma dan teksturnya. Sehingga suatu peringkat mereka tidak mampu membezakan antara produk yang halal dan haram kerana rasa yang sangat serupa atau sukar dibezakan.
Selain menyerupai yang haram, sumber atau bahan yang digunakan untuk menghasilkan daging babi tiruan adalah daripada enzime mikroorganisme yang belum jelas kehalalannya. Jika mengikut kajian, kandungan produk daging babi tiruan terdapat` whey protein’ dan `vegetarian essence’.
`Whey Protein’ adalah hasil sampingan penggumpalan dari industi pembuatan keju. Namun, sumber bahan penggumpalan yang berasal dari enzime mikroorganisme mengakibatkan status kehalalan `whey protein’ sangat diragukan kehalalannya.
Manakala `vegetarian essence’ pula terdiri daripada bermacam-macam sebatian kimia yang harus diperiksa secara teliti status kehalalannya. Di sisi lain, produk vegan tidak mensyaratkan bebas alkohol arak pada kandungan produknya dan ada kemungkinan arak dicampurkan semasa proses pembuatannya.
Semoga kita lebih faham dalam memilih makanan, yang tidak ada sumber babi di dalam makanan tersebut tidak semestinya halal dimakan. Jika rasa ragu-ragu hendak makan lebih baik ditinggalkan.
Rasulullah SAW bersabda :
دَعْ مَا يَرِيبُكَ إِلَى مَا لاَ يَرِيبُكَ فَإِنَّ الصِّدْقَ طُمَأْنِينَةٌ وَإِنَّ الْكَذِبَ رِيبَةٌ
Maksudnya : “Tinggallah apa yang menjadi keraguan kepadamu kepada yang tidak meragukan. Maka sesungguhnya kebenaran itu adalah satu ketenangan dan sesungguhnya dusta itu adalah satu keraguan.”(HR al-Tirmizi)
NURY Kadir, ialah penulis untuk ruangan Agama Ladybosz. Beliau juga adalah bekas editor Majalah Al-Islam.