Oleh: Khadijah Ibrahim
KALAU anda adalah peminat irama disko, pasti sudah biasa mendengar lagu berentak sedemikian. Bagi ‘kaki disko’ apabila mendengar lagu-lagu seperti “Daddy Cool”, “Sunny”, “Ma Baker”, “Rasputin”, “Hooray! Hooray! It’s a Holi-Holiday” dan “Brown Girl In The Ring” pasti nak menari saja.
Jangan risau anda boleh menari sepuas-puasnya dengan penyanyi asal lagu-lagu tersebut secara langsung di Mega Star Arena, KL pada 12 Januari 2025 (Ahad), jam 8 malam.
Ini kerana kumpulan legenda Boney M bakal menemui peminatnya di sini sempena ‘Jelajah Ulang Tahun ke-50 Boney M di Kuala Lumpur’, sebagai sebahagian daripada sambutan jubli emas mereka.
Kehadiran mereka di sini dibawa khas oleh Lo-Fi Entertainment dengan Front Row Entertainment selaku penganjur bersama. Sudah pasti kehadiran mereka bagi mengembalikan nostalgia kumpulan yang ditubuhkan pada 1974 oleh penerbit rekod Jerman iaitu Frank Farian yang merupakan pencipta lagu utama Kumpulan tersebut.
Boney M yang diketuai oleh anggota asal, Maizie Williams bersama Marica Barrett, Liz Mitchell dan mendiang Boby Farrell berjaya meletak nama Kumpulan tersebut di puncak dunia.
Dari Eropah, gaya dan muzik Boney M terus menarik perhatian dunia hinggakan jualan album mereka memecah rekod dan berjaya mencatat nama sebagai penghibur tangga teratas.
Lima puluh tahun kemudian, Boney M masih lagi mempunyai tarikan setiap kali mengadakan konsert jelajah. Maizie Williams yang mengetuai persembahan tersebut mampu memikat penonton tanpa mengira usia dengan rangkaian lagu-lagu hits Boney M yang tidak jemu didengar, begitu energetik dan gerak tari yang menggetarkan.
Bagi yang ingin menonton dan mengimbau nostalgia bolehlah membeli tiket di www.ticketingtix.com dan www.frontrow.asia dengan harga RM688 (VIP), RM438 (CAT 1), RM388 (CAT 2) dan RM188 (CAT 3), tertakluk kepada yuran pemprosesan RM4.
Untuk perkembangan terkini, ikuti Lo-Fi Entertainment di Instagram (www.instagram.com/lofi.entertainment) dan Facebook (www.facebook.com/lofi.entertainmentkl)
Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.