Segmen-segmen yang disiarkan di Suria FM sentiasa menceriakan pendengar di tanah air.

Oleh: Khadijah Ibrahim

BERDASARKAN kaji selidik GfK Pengukuran Pendengaran Radio, Wave 2 2024, stesen radio Suria FM berjaya mencatat prestasi cemerlang apabila mampu menarik lebih 3.3 juta pendengar seminggu.

Angka tersebut menunjukkan peningkatan signifikan sebanyak 292,000 pendengar atau 10% berbanding kajian sebelumnya.

DJ Lin mengelolakan segmen ‘Suria Cinta’ pada setiap malam Ahad hingga Jumaat.

Antara segmen yang mencatat peningkatan jumlah pendengar mingguan tertinggi di kalangan pendengar Suria FM ialah segmen ‘Suria Cinta’ yang dikendalikan oleh DJ Lin setiap Ahad hingga Jumaat, bermula jam 8 malam hingga 1 pagi.

Segmen yang menyiarkan madah cinta dan diiringi dengan lagu romantis itu berjaya mencatatkan peningkatan jumlah pendengar mingguan tertinggi iaitu sebanyak 341,000 pendengar (33%) di Suria FM.

Selain itu, segmen Gaya Suria dan Muzik Top Suria kelolaan Cik Piah setiap Isnin hingga Jumaat, bermula jam 10 pagi hingga 3 petang pula mencatat peningkatan pendengar sebanyak 303,000 (23%).

Cik Piah sentiasa menceriakan pendengar dengan teka-tekinya.

Manakala, segmen Morning Morning Suria kendalian Ajak, Dato’ Fizz Fairuz dan Suraya setiap Isnin hingga Jumaat, bermula jam 6 pagi hingga 10 pagi mencatatkan peningkatan sebanyak 170,000 pendengar (12%) dan segmen Suria Petang yang dihoskan oleh Sharifah Shahirah, Chiwan dan Kai Hassan setiap Isnin hingga Jumaat, dari jam 3 petang hingga 7 malam meningkat sebanyak 152,000 pendengar (9%).

Bukan itu saja, Suria Cinta turut mencatatkan peningkatan pendengar eksklusif antara stesen radio berbahasa Melayu yang ketara sebanyak 184,000 pendengar (32%), diikuti oleh segmen Suria Petang, dengan peningkatan sebanyak 175,000 pendengar (29%), segmen Gaya Suria dan Muzik Top Suria sebanyak 143,000 (25%) juga segmen Morning Morning Suria mencatatkan peningkatan sebanyak 92,000 pendengar (15%).

Selain itu, Suria Cinta kekal uggul kerana turut meraih jumlah masa mendengar mingguan tertinggi (Weekly Time Spent Listening) selama 3 jam 11 minit dalam kalangan segmen utama di Suria.

Ajak, Suraya dan Tok Fizz menjadi peneman mereka yang dalam perjalanan ke pejabat.

Suria FM juga menunjukkan peningkatan yang luar biasa pada segmen hujung minggu yang berjaya meraih peningkatan jumlah pendengar sebanyak 231,000 (11%) berbanding Wave 1, 2024, sekali gus memperkukuhkan lagi posisi Suria FM sebagai salah satu radio pilihan utama pendengar di Malaysia.

Mengulas mengenai pencapaian ini, Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abdul Majid (DJ Lin), meluahkan rasa syukur dan terima kasih kepada semua pihak dan pendengar setia atas sokongan yang diberikan terhadap Suria FM.

Rara selalu menjadi ‘ibu’ kepada Chiwan dan Kai memang heboh.

“Kami amat gembira dengan keputusan kaji selidik bagi Wave 2, 2024 yang menunjukkan Suria FM terus menjadi pilihan utama pendengar radio di Malaysia. Pencapaian ini adalah hasil komitmen padu dan kerja keras team Suria yang sentiasa berusaha memberikan yang terbaik untuk para pendengar.

“Kami komited untuk terus memperkukuhkan jenama Suria agar kekal relevan dan menjadi pilihan pendengar di Malaysia sekali gus terus berusaha menghasilkan kandungan yang menarik dan dekat di hati pendengar,” katanya dalam satu kenyataan.

Suria FM banyak menyiarkan lagu-lagu popular dari era 80-an hingga kini. Pemilihan lagu-lagu yang malar segar itu membuatkan pendengar sentiasa memilih stesen tersebut sebagai pilihan kerana ia mampu mengimbau nostalgia mereka.

Previous articleChuari Selamat “Raja Pantun” yang disegani!
Next articleTemui pelakon Korea dan Malaysia di ONE Astro Fest

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here