Dalam tempoh tiga jam saja tiket jualan untuk konsert Rossa habis dijual.
Oleh: Khadijah Ibrahim
BIARPUN kerap menjayakan konsert di Malaysia, penampilan Dato’ Sri Rossa tidak pernah menjemukan peminatnya di sini. Justeru itulah tidak mengejutkan apabila jualan tiket untuk konsert terbaharunya laris dijual dalam tempoh tiga jam sahaja.
Penganjur Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) dan Inspire Production dengan kerjasama SAH Entertainment baru saja membuka tiket pra jualan untuk persembahan Here I Am – Rossa Live in Concert secara eksklusif di platform Ticket2U pada 11 November lalu, jam 3 petang, dalam tempoh tiga jam tiket habis dijual.
Rossa dikenali sebagai penyanyi dengan vokal mantap dan penuh emosi.

Lebih mengujakan, tiket kategori Festival habis dijual dalam masa empat minit membuktikan pengaruh dan populariti penyanyi tersebut yang bakal menggegarkan Axiata Arena, Bukit Jalil pada 14 Jun 2025.

Penganjuran konsert ini adalah sebagai tanda penghargaan buat peminat Rossa yang setia menyokong perjalanan karier beliau. Sudah pasti, Rossa yang dikenali dengan vokal memukau dan balada yang penuh emosi, akan menyampaikan rangkaian lagu hit kegemaran ramai dalam satu malam yang pasti akan menjadi kenangan indah buat para peminatnya.
Bakal beraksi di Axiata Arena Bukit Jalil dengan menampilkan barisan lagu popularnya.

Antara lagu-lagu yang bakal dipersembahkan termasuk hit popular seperti “Nada Nada Cinta,” “Pudar,” dan “Hey Ladies,” selain beberapa persembahan eksklusif yang hanya akan dipersembahkan pada malam istimewa tersebut.

Rossa turut menyatakan kegembiraannya untuk kembali beraksi di pentas Malaysia dan menghiburkan para peminatnya.
“Saya sangat teruja untuk kembali ke Kuala Lumpur dan menyampaikan lagu-lagu yang membawa maksud mendalam buat saya.
Rossa sentiasa menjaga hubungannya dengan peminat, konsert ini tanda penghargaan kepada mereka.

“Sokongan peminat di Malaysia sentiasa menghangatkan hati saya dan saya tidak sabar untuk berkongsi detik istimewa ini bersama mereka setelah 25 tahun berkarya,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN, Dato’ Aizuddin Ghazali, turut menyatakan rasa terujanya terhadap kolaborasi ini.
“Kami di PRIHATIN amat berbesar hati untuk bersama-sama menjayakan konsert ini sebagai satu inisiatif untuk merapatkan hubungan antara Malaysia dan Indonesia melalui platform muzik seterusnya membantu Malaysia bagi mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Rossa adalah ikon seni yang disegani serta dihormati, dan kami yakin konsert ini akan memberikan pengalaman dan memori terindah buat semua peminat beliau serta memperkukuh ikatan persaudaraan serantau,” katanya.
Tiket yang hampr dengan pentas habis dulu dibeli peminat.

Tambahnya lagi, Konsert Here I Am ini adalah susulan kepada tayangan filem dokumentari “All Access to Rossa: 25 Shining Years“ yang ditayangkan pada Oktober lalu.

“Atas permintaan ramai, khususnya Pencinta Rossa di Malaysia, kami membawakan konsert ini untuk mereka yang setia menyokong Rossa selama ini,” kongsinya.
Untuk maklumat lanjut berkenaan konsert Here I Am – Rossa Live in Concert, boleh ikuti saluran media sosial rasmi Rossa dan platform jualan tiket.
Previous articleDaging Babi Tiruan Haram Dimakan? (Bahagian 1)
Next articleAsya’B nak lebarkan sayap ke Malaysia dan Sayang Padamu jadi salam perkenalan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here